MISI BANTUAN PERSEKOLAHAN, MYDIN SASAR ENAM NEGERI!
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini disasarkan untuk meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dengan menyalurkan bantuan persekolahan bagi sesi 2026 kepada lebih 1,000 pelajar daripada golongan B40 di seluruh negara.
Ia sekali gus mencerminkan peranan aktif sektor swasta dalam menyokong kebajikan masyarakat, khususnya dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif untuk generasi muda.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin berkata, setiap pelajar yang terpilih menerima kelengkapan persekolahan lengkap merangkumi pakaian seragam, alat tulis, beg sekolah serta keperluan asas lain bagi membantu mereka memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin dan bersemangat.
“Program tahunan ini dilaksanakan dengan kerjasama wakil-wakil rakyat setempat bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada pelajar yang benar- benar memerlukan,” ujar Hj Ameer Ali kepada media di majlis Jelajah Generasi Pintar bertempat di Mydin USJ pada 23 Disember 2025, semalam.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari yang turut menyampaikan bantuan kepada 50 orang murid di MYDIN Subang Jaya bersama Ketua Pegawai Operasi ABARO, Kevin Soh dan Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd selaku Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd.
Dalam ucapannya, Anfaal Saari menegaskan bahawa penekanan terhadap pendidikan dan kebajikan kanak-kanak merupakan pelaburan jangka panjang kepada masa depan negeri dan negara.
Beliau berkata, setiap bantuan yang diberikan kepada seorang anak hari ini sebenarnya membina harapan untuk masa depan masyarakat secara keseluruhannya.
Menurut beliau lagi, tanggungjawab membesarkan dan melindungi kebajikan kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama semua pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat.
Pendekatan tanggungjawab sosial korporat yang diamalkan MYDIN, tambahnya, dilihat berasaskan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat, bukan sekadar pematuhan kepada polisi atau arahan.
“Prinsip ini selari dengan pepatah “it takes a village to raise a child” serta pendekatan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor yang menekankan konsep perkongsian tanggungjawab penjagaan bagi membentuk ekosistem berteraskan rahmah dan kebajikan, demi memastikan anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera,” ujar Anfaal.
Selepas Subang Jaya, siri Jelajah Generasi Pintar ini akan diteruskan ke beberapa lokasi strategik Mydin lain di seluruh Malaysia, termasuklah Kuala Terengganu (Terengganu), Tunjong (Kelantan), Samariang (Sarawak), Jengka (Pahang), dan MiTC (Melaka), melibatkan komuniti setempat termasuk keluarga berpendapatan rendah dan kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Usaha murni ini merupakan sebahagian daripada platform MYDIN Prihatin yang dijayakan bersama rakan perniagaan dan pembekal.
Platform ini berfungsi sebagai wadah utama MYDIN dalam menyantuni golongan memerlukan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan yang dilaksanakan secara berterusan bagi memberi impak positif kepada komuniti.
![]() |
| DARI kiri: Kevin, Anfaal, Ameer dan Siti Hawa. |
#MYDINMohamedHoldingsBerhad #JelajahGenerasiPintar #BantuanPersekolahan





Tiada ulasan:
Catat Ulasan