PROGRAM PEMERKASAAN BELIA MADANI BENTUK GENERASI MUDA BERDAYA SAING!
SERAMAI 60 belia, termasuk empat peserta OKU berusia dari 12 hingga 17 tahun berpeluang memupuk kemahiran kepimpinan, keusahawanan dan digital melalui Program Pemerkasaan Belia MADANI 2025 yang dianjurkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Program dua hari yang berakhir semalam, (24 Disember 2025) di Dewan Masjid Jamek Kampung Bharu itu memberikan platform kepada belia membina keyakinan diri, kreativiti dan jati diri, sejajar dengan aspirasi membentuk generasi muda berdaya saing dan berakhlak.
Sepanjang program yang berlangsung, para perserta telah didedahkan dengan empat modul utama yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan pasaran masa hadapan.
Antaranya termasuklah bengkel Pengenalan Asas Teknologi Maklumat yang memberi fokus kepada kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi Canva, selain Bengkel Keusahawanan serta Bengkel Kemahiran Efektif dan Pemimpin Muda.
Aktiviti ini membolehkan mereka mempelajari kemahiran digital, pemikiran inovatif, komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan kepimpinan.
Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan platform penting untuk memperkasa potensi belia secara holistik.
“Program ini bukan sekadar membina kemahiran teknikal, tetapi juga mengasah nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan belia, menjadikan mereka individu berakhlak dan berdaya saing,” ujarnya.
Kejayaan penganjuran ini turut disokong oleh barisan penceramah dan fasilitator yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Antara individu yang terlibat memberikan perkongsian ialah Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohammad Yassir bin Hamidun serta Pegawai Pentadbir Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara, Zulkifly Mohd Yunus.
Turut menyumbang kepakaran ialah Mohamad Afiq bin Mohd Kamal yang mewakili Persatuan Tunas Usahawan Nasional bagi memupuk semangat keusahawanan dalam diri para belia.
Berkongsi lanjut, Dr. Abdul Basir memaklumkan penguasaan kemahiran digital dan pemikiran kritis adalah kunci utama untuk belia mendepani dunia yang semakin kompetitif dan berasaskan teknologi.
Sehubungan itu, YWP juga merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, termasuk Masjid Jamek Kampong Bharu, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.
“Saya amat berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan sebagai platform utama membentuk belia yang berkeyakinan, berdaya tahan serta bersedia memikul peranan sebagai pemimpin masa hadapan,” akhiri Dr. Abdul Basir.
#YayasanWilayahPersekutuan #ProgramPemerkasaanBeliaMADANI2025 #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan