MILO® UBAH RATUSAN RIBU PEK MINUMAN JADI PERALATAN SUKAN!
DALAM meraikan ulang tahun ke-75 MILO® di Malaysia, Nestlé Malaysia dan MILO® telah berjaya menamatkan tahun pertama program perintis ‘Tenaga Untuk Kebaikan’, membuktikan bahawa kelestarian dan gaya hidup aktif boleh seiringan dalam mendidik generasi muda.
Inisiatif transformatif ini bukan sekadar kempen kitar semula, tetapi platform yang memperkasakan pelajar untuk mengubah sisa buangan menjadi sumber pembangunan sukan di sekolah mereka.
Melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan dan Tetra Pak Malaysia, program yang dilancarkan pada April 2025 ini telah menjangkau lebih 200 sekolah dan melibatkan melebihi 250,000 pelajar di seluruh negara.
Kejayaan besar dicatatkan apabila sekolah-sekolah terlibat secara kolektif berjaya mengumpulkan sejumlah 4.2 tan Pek Karton Minuman Terpakai (UBC), bersamaan dengan kira-kira 300,000 pek minuman—yang dilaporkan lima kali ganda lebih tinggi daripada kutipan biasa.
Program ‘Tenaga Untuk Kebaikan’ menggunakan sistem berasaskan mata di mana kutipan UBC oleh sekolah membolehkan mereka menebus peralatan sukan mesra alam dan perabot bilik darjah.
Yang menariknya, buat kali pertama, MILO® bekerjasama dengan AFN Sports Equipment untuk memproses semula karton terpakai ini.
Menurut sumber lain yang berkaitan, produk yang dihasilkan daripada bahan kitar semula PolyAI ini adalah anti-karat dan tahan lama, menjamin ketahanan walaupun terdedah kepada cuaca panas dan hujan.
Sebagai contoh, set bola keranjang boleh dibina daripada kira-kira 22,026 UBC, manakala meja Ping Pong memerlukan 11,452 UBC.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, menegaskan bahawa inisiatif ini menukar tabiat kecil menjadi kemenangan besar dengan menghidupkan kitar semula dalam cara yang relevan.
“Sambil MILO® meraikan ulang tahun ke-75 di Malaysia, program ini berdiri sebagai bukti yang kuat bagaimana perkongsian boleh memperkasa generasi muda Malaysia untuk menjalani kehidupan aktif dan memperjuangkan kelestarian.
‘Melihat pelajar menyambut program ini dan mengumpul lima kali ganda lebih banyak daripada biasa adalah bukti tindakan kolektif berkesan. Visi kami jelas, iaitu untuk memperluaskan inisiatif ini ke seluruh negara dan membina generasi yang memperjuangkan kelestarian sama seperti mereka bersukan,” katanya pada majlis
Pengiktirafan dan Penghargaan MILO® Tenaga Untuk Kebaikan yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

DARI kiri: Norkhayati, Juan Aranois, Zainal Abas, Ahmad Haridan dan Michael Wu.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan, Zainal Abas; Norkhayati Mohamed Hashini, Pegawai Eksekutif Perniagaan Minuman Sedia Diminum, Nestlé Malaysia; Ahmad Haridan Haji Mohammed, Timbalan Pengarah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Seni, Kementerian Pendidikan dan Michael Wu, Pengarah Urusan Tetra Pak Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.
Sebagai sebahagian daripada majlis sambutan, MILO® turut memberi penghormatan kepada lapan sekolah di seluruh negara atas pencapaian luar biasa mereka.
SK Putrajaya Presint 18(1) dari WP Putrajaya telah diumumkan sebagai pemenang trofi keseluruhan atas kutipan UBC tertinggi, manakala SJKC La Salle (WP Kuala Lumpur) dan SK Panggong (Kelantan) turut diiktiraf sebagai antara pengitar semula utama.
Sekolah lain termasuk SJKC Beng Teik (Pusat Pulau Pinang), SK Sri Kelana (Selangor), SK Cheneh Baru (Terengganu), SK Taman Selasih (Kedah), dan SK Temerloh Jaya (Pahang).
Sementara itu, Zainal Abas pula, menggalakkan semua sekolah untuk mengambil bahagian secara aktif dalam gerakan kebangsaan ini.
Beliau turut berkongsi kisah kejayaan pelajar seperti Puteri Marsya Darwisya binti Mazadi dari SK Durian Burung, yang telah berjaya meraih pingat emas pertama di peringkat Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) berkat akses dan bantuan peralatan sukan daripada MILO®.
Ini membuktikan bahawa program ini bukan sahaja membentuk amalan positif, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup dan peluang pelajar dalam bidang sukan.
Program ‘Tenaga Untuk Kebaikan’ merupakan kesinambungan kepada inisiatif kitar semula jangka panjang Nestlé yang dikenali sebagai Projek CAREton (dilancarkan pada 2012), yang telah berjaya mengitar semula lebih 5,400 tan karton minuman terpakai, bersamaan dengan 450 juta pek UHT, dalam usaha membudayakan amalan kitar semula yang baik.
#KitarSemula #Milo #NestleMalaysia #TenagaUntukKebaikan #Sekolah2 #fyp





Tiada ulasan:
Catat Ulasan