Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

APABILA SENI BERTEMU INSPIRASI, SOMA KONGSI 'CIPTA MEMORI, JATI DIRI KUALITI' DI PORT DICKSON!


BAYU laut yang berhembus lembut, pasir putih yang membentang luas, dan deruan ombak yang tidak pernah jemu menyapa pantai- begitulah suasana tenang yang menyambut peserta Kem Motivasi Jati Diri 2025 anjuran SOMMA Productions di The Regency, Tanjung Tuan Beach Resort, baru-baru ini. 


Dikenali sebagai sebuah syarikat yang memperkaya portfolio pembangunan insan melalui pendekatan interaktif dan inovatif, SOMMA Productions, yang diterajui penyanyi baharu tetapi lama, Soma atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basarmembuktikan bahawa kreativiti seni boleh berpadu indah dengan program pembinaan jati diri. 


Program tiga hari dua malam yang bertemakan “Cipta Memori Jati Diri Kualiti” ini, dianjurkan sendiri oleh Soma bukan sekadar sebuah kem motivasi, tetapi satu perjalanan jiwa dengan gaya hidup bercuti, menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang bagi meneroka potensi diri, meningkatkan keyakinan serta memperkukuh semangat kerjasama.


SOMA (kanan) pada sesi suai kenal bersama Dr. Yusri (kiri) dan Junaidah Kitting ( duduk, dua dari kiri).


Sejujurnya Kak Fas sudah lama tidak mengikuti program ‘team building’ seperti ini al maklum bukannya  masih muda remaja bahkan telah melayari dunia kewartawanan empat abad lamanya.


Namun tidak disangka tergerak pula hati menerima jemputan dari Soma untuk ‘healing’ bersamanya mengikuti program 3H2M bersantai di acara ‘Cipta Memori, Jadi Diti Kualiti’ berkenaan yang berlangsung dari 11 hingga 13 September 2025 lalu.


Sebagaimana judul yang tertera ia sesungguhnya mencipta satu memori indah yang akan Kak Fas kenang selamanya apatah lagi dihargai oleh seorang insan seni yang sebenarnya baharu Kak Fas kenali lebih kurang 9 bulan lalu selepas beliau melancarkan album sulongnya, ‘Perjalanan’ pada bulan Disember tahun lalu.


Pengenalan yang singkat itu tidak disangka impaknya mencetuskan getaran mendalam waima baharu dua tiga kali berkenalan tetapi seolah macam dah lama kenal. 


Kak Fas hanya tahu serba sedikit latar belakang Soma yang impiannya untuk  menjadi penyanyi lahir sejak usia belasan tahun lagi tetapi ‘perjalanannya’ dalam bidang seni hanya tercetus pada tahun ini.


Kak Fas dapat meresapi pemberontakan jiwa seni ibu tunggal ini, seorang yang tidak banyak bercerita tetapii wajah redupnya membayangkan riwayat hiduonya ibarat gelombang ombak dipersisiran pantai yang putih bersih. Walaupun dihempas tiupan angin monsun sekali pun, namun airnya tetap tenang mengalir ke penghujung.



Sebagai seorang usahawan dan anak seni, kem motivasi Jati Diri 2025 di Port Dickson ini merupakan pertarungan pertamanya menganjurkan percutian berinspirasi yang menggabungkan suasana resort pantai yang menenangkan, hidangan enak yang menyatukan, serta modul motivasi penuh makna yang  meninggalkan memori indah.


“Saya mahu membina wanita yang berani menghadapi cabaran diri dan tidak gentar dengan halangan tetapi terus mengorak langkah kejayaan sebab ada ‘hikmah’ di sebalik setiap yang berlaku. Ingatlah! Allah tidak akan mengujikan hambanya melebihi kemampuan,” ujar Soma mengulas objektifnya .


Bagi SOMMA Productions, inisiatif ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu, malah menjadi langkah penting dalam memperkaya portfolio syarikatnya  yang kini memberi tumpuan kepada pembangunan insan melalui pendekatan interaktif dan inovatif. 


KAK Fas merakamkan kenangan bersama empat bikers kental yang turut mengikuti program bersama peserta di kalangan anak-anak muda lain.

Program yang dirangka turut menekankan keseimbangan mental, fizikal dan rohani agar peserta dapat meraih pengalaman pembelajaran yang menyeluruh serta memberi kesan jangka panjang dalam pembentukan jati diri.


Kak Fas perhatikan di kalangan lebih kurang 20 peserta yang berdaftar antaranya hebat-hebat belaka, ada di kalangannya mempunyai perniagaan yang lazimnya sesuai untuk kaum lelaki bahkan bila tibanya kumpulan  empat penunggang motosikal berkuasa tinggi, ’Harley Davidson’, dapat dibayangkan bukan calang=calang individu yang menjalani program dibimbing pakar pembangunan insan, Dr. Ahmad Yusri Bani Hashim ini.



Dengan kepakaran Dr. Yusri dan impak kehidupan setiap peserta, Kak Fas turut terpesona dengan cerita disebalik latar belakang mereka.


Hari pertama program dimulakan dengan pendekatan segar melalui sesi pengenalan atau ‘ice breaking’ menggunakan pendekatan ‘reverse approach’ di mana peserta lain membacakan maklumat rakan mereka sebelum diteka oleh kumpulan.


Pendekatan ini, menurut Dr. Yusri membantu mengurangkan rasa gementar dan membina suasana mesra penuh gelak tawa, sekali gus menjadi permulaan sempurna untuk mencetuskan keyakinan.


“Saya datang dengan rasa malu, tapi dah terus rasa macam dah kenal lama,” luah sebilangan peserta yang ditemui selepas tamat sesi suai kenal yang lari dari pendekatan kebiasaannya, tiada lagi rutin memperkenalkan diri sendiri.


Keesokan harinya, sesi ‘public speaking bersama Datuk Junaidah Kitting, pengasas produk kecantikaan De’Wajah memberi pencerahan tentang bagaimana berdepan dengan netizen, isu fitnah, dan fenomena viral dalam dunia digital. 



Sesi ini juga memberi kekuatan tambahan untuk para peserta tampil lebih yakin ketika berucap di hadapan rakan-rakan baharu. 


Selepas itu, sesi ‘groomingdanmakeup asas  membuat suasana bertambah ceria, dengan peserta saling ketawa mencuba teknik penampilan diri yang ringkas tetapi menyerlah. 


Dapat dilihat perubahan pada wajah Shikin, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang rugged, tegap badannya dengan wajah polos tanpa solekan menjadi ayu selepas disolek.


Hari terakhir memberi ruang renungan yang mendalam. apabila peserta menyertai modul di bawah tajuk ‘River of Life. 


Mereka dikehendaki melakar lima peristiwa penting dalam hidup di atas helaian kertas besar, seakan menyusun sungai kehidupan yang mengalir membawa pelbagai memori. 


Ada yang menitiskan air mata dan ada yang ketawa kecil. 



“Bila saya lukis perjalanan hidup, saya sedar saya lebih kuat daripada apa yang saya sangka,” ujar Shariifah Amirah Syed Mohsein, seorang pelajar berusia 21 tahun.


Seperti Sharifah Amirah dan peserta lain yang nampak tegap dan berani sebagaimana kumpulan ‘Harley’ tadi, mereka masih berjiwa halus, tetap ada bunga di hati walaupun nampak seperti bikers kental. Air mata yang membasahi pipi kala mengimbas masa lalu bukti perjalanan yang dilalui.


Insan mana yang tidak berjiwa walaupun nampak kuat ya tak? 



Setiap impak yang dirasai ada baik buruknya dan tentulah kesannya bergantung kepada kekuatan yang dbina di dalam sabubari.


Seperti ajaran Dr. Yusri  dalam bicaranya mengenai ‘Hukum Daya Tarikan’ iaitu ‘Lepaskan (Let Go)’ masa lalu dan ‘move on’, tumpu pada perancangan masa depan. Bina magnet dalam diri agar getarannya membina jati diri lebih bersemangat.


“Peristiwa silam jangan dibawa perasaan, jadikan ia sebagai pelajaran,” tegas Dr Yusri sambil mengakui pernah jatuh bangun dalam kehidupan sehingga akhirnya berjaya juga menggengam Ijazah Kedoktoran dalam Perubatan Alternatif dari Open International University of Colombo, Sri Lanka.


Program melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian sijil dan cenderahati disampaikan penyanyi terkenal yang juga artis idola yang menjadi inspirasi kepada Soma iaitu Datuk Khadijah Ibrahim.



Pendek kata, sepanjang  tiga hari perkongsian ilmu diketengahkan Kak Fas paling tertarik dengan sesi mengenal dan menganalisis personaliti seseorang berdasarkan tarikh lahir.


Walau pun tarikh lahir seseorang itu dianggap ‘rahsia’ diri sendiri waima tidak semua mahu mendedahkan usia masing-masing tetapi ia boleh dijadikan panduan untuk memilih pasangan atau teman sejati.


Pastinya tidak semua tafsiran postif dan negatif yang dikemukakan Dr Yusri itu tepat namun kebanyakannya diperakui peserta apabila ada yang bersuara ‘betul tu doc, saya mcam itu, suami saya macam tu dan anak pun ada seperti yang ditafsirkan.’


Caranya mudah sahaja setiap bilangan pada tarikh lahir dicampur kesemuanya kepada satu jumlah, contoh, jika tarikh lahirnya adalah 1.10.2025 anda hanya perlu tambah semua iaitu 1+ 1+0+2+0+2+5 = 11 jadi. seterusnya 1+1 = 2.


Jawapannya anda tergolong dalam kumpulan tarikh lahir nombor 2 mengikut carta 1 hingga 9 di bawah:



Agak-agaknya selepas ini tentu ramai yang ingin mengenali personaliti seseorang itu dengan menggunakan kaedah ini jika tahu tarikh lahir mereka ya tak? Sekurng-kurangnya dapatlah mengenali sedikit sebanyak perwatakan si empunya diri..


Apa pun pandangan khalayak… yang pasti Allah penentu takdirnya dan begitu jua lah harapan Soma agar setiap  perjalanan hidup ini waima baik mahu pun buruk perlu dilalui sebagaimana tujuan program, ‘Cipta Memori, Jati Diri Kualiti’.


Dari deruan ombak hingga ke helaian lakaran kehidupan, setiap momen meninggalkan memori indah yang akan terus mengiringi langkah para peserta seiringan rentak lagu 'poco poco' yang mengakhiri majlis jamuan malam terakhir  sebelum masing-masing terus melangkah ke tugasan harian dengan salam perpisahan semoga bertemu kembali pada hari-hari mendatang!


Terima kasih daun keladi Soma!



#SommaProductons #KemMotivasi #CiptaMemoriJatiDiri Kualiti #Percutian #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan