RASAI MASAKAN WARISAN KHADIJAH IBRAHIM DI PESTA PANTAI TIMUR 2025 MULAI 2 OKT!
WALAUPUN berasal dari Melaka, penyanyi lagenda, Datuk Khadijah Ibrahim bakal mengejutkan peminat apabila beliau tampil mempersembahkan kehebatan masakan Pantai Timur dalam ‘Pesta Pantai Timur 2025’ yang akan diadakan selama empat hari bermula 2 hingga 5 Oktober 2025, betempat di perkarangan Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.
Pesta anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama Hotel Seri Pacific ini menjanjikan pengalaman menyeluruh merangkumi seni budaya, gastronomi, kraf tangan serta hospitaliti, seiring usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
“Ibu akan berada selama tiga hari untuk demonstrasi masakan pantai timur seperti nasi dagang, laksa Terengganu dan pelbagai juadah warisan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan,” ujar Khaty yang lebih mesra membahasakan dirinya ‘ibu’ ketika ditemui pada majlis pra pelancaran ‘Pesta Pantai Timur 2025' yang disempurnakan oleh Datin Rafidah Idris, Pengarah Kanan Bahagian Domestik, Acara Tourism Malaysia mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.
Turut hadir antaranya Pemangku Pengurus Besar, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Is. Lt. Kol. (Pertahanan Awam), Razmi Rahmat serta Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Rozanna Rahmat dan Loges Harirrishnan dari KL Hop On Hop Off selaku rakan strategik.
Khaty yang juga Pengerusi KARYAWAN akan bersama beberapa lagi barisan artis memenuhi 10 reruai yang disediakan khas untuk selebriti berniaga waima beliau sendiri mempunyai produk ‘Sos Cili Pedas Ibu’ yang dilancarkan pada bulan Jun lalu serta beberapa produk masakan dan kecantikan lainnya.
Menurut pelantun lagu ‘Malaysia Truly Asia’ ini, pembabitannya membuktikan bahawa makanan tidak mengenal sempadan negeri, malah resipi turun-temurun wajar dipelajari, dipelihara dan dikongsi.
“Saya juga berharap lagu “Malaysia Truly Asia’ yang digubah Seniman Negara terkenal Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab dapat diperdengarkan kembali agar terus meniupkan semangat kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gua mengangkat Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan unik di Asia Tenggara.
Untuk rekod, “Malaysia Truly Asia’ yang diperkenalkan pada tahun 1999 pada asalnya direkodkan dalam bahasa Inggeris dan kemudian diterjemahkan ke dalam tujuh belas bahasa asing untuk pasaran ke seluruh dunia.
Lagu ini memperkenalkan dan mengetengahkan unsur-unsur warisan budaya tiga komuniti etnik utama Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India dengan sentuhan kompang, alunan alat muzik (serunai), Wayang Kulit Kelantan, gendang tabla, akordion dan seruling yang disulamkan bersama muzik orkestra moden.
Dengan gabungan dunia hiburan dan kulinari, ‘Pesta Pantai Timur 2025’ ini bukan sahaja mengangkat warisan Pantai Timur, malah menjanjikan pengalaman gaya hidup penuh rasa dan warna.
Sementara itu, Rafidah idris dalam ucapannya memaklumkan, festival ini merupakan pra-promosi penting menjelang VMY2026 serta menyokong niche tourism seperti eko-pelancongan, pelancongan budaya dan gastronomi.
“Festival ini akan mengetengahkan cita rasa asli Pantai Timur, warisan budaya, seni, kraf dan aktiviti masyarakat tempatan. Ia bukan sahaja mengangkat Pantai Timur sebagai destinasi pelancongan unggul, malah memperluaskan capaian pelancongan domestik dan antarabangsa, serta memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pihak industri dan media,” ujar Rafidah.
Antara pengisian menarik termasuk persembahan tarian tradisional, gendang, nyanyian lagu rakyat, pertunjukan tenunan songket, demonstrasi adat pertunangan emas tradisional, serta pameran seni dan kraf.
“Lebih 30 gerai makanan turut dibuka di pekarangan hotel bagi menawarkan cita rasa autentik Pantai Timur dalam suasana ala festival jalanan,” akhiri Razmi Rahmat.
#PestaPantaiTimur2025 #Motac #SeriPacificKL #MalaysiaTrulyAsia #Karyawan




Tiada ulasan:
Catat Ulasan