SYRIA CARE LANCAR HUMAM RELIEF, BAWA MISI KEMANUSIAAN MALAYSIA KE PENTAS DUNIA!
Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata HUMAM Relief yang ditubuhkan pada tahun 2024 lahir daripada pengalaman, pengorbanan dan kejayaan Syria Care yang telah berkhidmat lebih sedekad di bumi Syam.
Katanya, HUMAM Relief diwujudkan dengan visi lebih luas bukan sahaja memberikan bantuan kecemasan, tetapi membina masa depan yang lebih mampan dan bermaruah untuk masyarakat rentan di seluruh dunia.
“HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’, tetapi dengan mandat yang lebih luas, ia akan berperanan sebagai ‘abang’ kepada Syria Care. Syria Care akan terus fokus kepada bumi Syam, manakala HUMAM Relief membawa pengalaman itu ke peringkat global.
“HUMAM Relief percaya bahawa setiap bantuan mesti menghormati identiti, budaya dan maruah komuniti yang dibantu, supaya mereka bukan sekadar hidup tetapi hidup dengan martabat,” kata Siti Sakinah dalam ucapannya pada majlis pelancaran Humam Relief dan logo baharu Syria Care bertempat di sebuah hotel di Subang Jaya pada semalam, Ahad, 28 September 2025.
Turut hadir antaranya, Pengasas & Penasihat Syria Care, Sheikh Samir Sakka dan Sheikh Mustafa Sheikh Yusef yang membuka majlis dengan bacaan ayat suci Al-Quran, Surah Muhammad.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan logo baharu Syria Care yang melambangkan aspirasi segar serta kematangan organisasi selepas lebih sedekad berbakti.
Walaupun baru setahun berdaftar, HUMAM Relief telah pun menjejakkan kaki ke beberapa negara sekali gus melaksanakan pelbagai projek awal.
Antaranya ialah pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah-rumah yang rosak akibat konflik di Syria, serta pelaksanaan projek W.A.S.H. (Air, Sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia yang memberi tumpuan kepada inisiatif kebersihan wanita dan kesihatan haid melalui kerjasama dengan agensi kerajaan serta badan korporat.
Siti Sakinah menegaskan bahawa semua usaha ini hanyalah langkah permulaan, sebelum HUMAM Relief berkembang menjadi antara peneraju misi kemanusiaan dengan memberi tumpuan kepada projek mampan yang mampu membangunkan semula kehidupan komuniti rentan di seluruh dunia.
“Ini hanyalah langkah permulaan. Kami mahu melihat HUMAM Relief berkembang menjadi antara peneraju misi kemanusiaan dengan projek-projek mampan di Malaysia dan seterusnya di peringkat antarabangsa, di mana komuniti rentan dan terpinggir mampu membina semula kehidupan dan memperbaiki taraf hidup melalui inovasi, pemerkasaan dan penyelesaian mampan, insya-Allah,” ujarnya.
Untuk rekod, Syria Care, yang ditubuhkan pada 2012 oleh Sheikh Samir Sakka bersama sekumpulan sukarelawan dan bekas pelajar Syria di Malaysia, bermula hanya dari sebuah bilik kecil sebelum berkembang menjadi sebuah NGO kemanusiaan yang berimpak besar dengan pelbagai pencapaian.
Perjalanan awal Syria Care tidak terlepas daripada cabaran apabila misi pertamanya pada tahun 2013 menyaksikan seorang petugas ditembak ketika menjalankan tugas.
Namun, insiden itu tidak melemahkan semangat, sebaliknya menguatkan lagi tekad untuk meneruskan perjuangan.
Setahun kemudian, Syria Care didaftarkan secara rasmi, menjadi NGO pertama di Malaysia yang diwujudkan khusus untuk membantu krisis kemanusiaan di Syria dengan lebih sistematik.
Antara pencapaian besar Syria Care termasuk projek perumahan Kampung Malaysia di Idlib, yang menempatkan 274 keluarga dari khemah ke rumah selamat; penajaan hampir 6,000 anak yatim sepanjang lebih sedekad; pembinaan 19 sekolah, termasuk sekolah khas anak yatim di Aqrabat; rumah anak yatim dan warga emas Dar As Sakinah di Jisr Al Shughur.
Secara keseluruhan, hampir enam juta penerima manfaat telah menerima bantuan Syria Care di pelbagai negara termasuk Malaysia, Syria, Türkiye, Lubnan, Afghanistan, Uganda, Yemen, Nepal dan selatan Thailand.
Dengan kehadiran HUMAM Relief, Syria Care kini berperanan lebih fokus di bumi Syam iaitu Syria, Palestin dan Lubnan, manakala HUMAM Relief menjadi sayap global untuk memperluaskan capaian bantuan ke negara lain.
Pun begitu, kedua-duanya digerakkan oleh pasukan yang sama, dengan semangat yang sama iaitu semangat kemanusiaan yang tidak berubah.
Mengakhiri ucapannya, Siti Sakinah menegaskan bahawa perjuangan ini tidak akan ke mana tanpa sokongan rakyat Malaysia.
Katanya, perjalanan lebih sedekad Syria Care telah membuktikan bahawa setiap doa, sumbangan dan sokongan masyarakat mampu mengubah kehidupan insan lain.
“HUMAM Relief adalah kesinambungan daripada kekuatan ini. Misi ini bukan milik Syria Care atau HUMAM Relief semata-mata, tetapi milik kita semua sebagai manusia yang diamanahkan untuk membela manusia lain,” tambah Siti Sakinah sambil merayu agar sokongan rakyat terus ditaburkan demi membela sesama insan.
#SyriaCare #HUMAMRelief #Sumbangan #KampungMalaysia #Palestin #fyp









Tiada ulasan:
Catat Ulasan