Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KARYAWAN SASAR RM200,000 BANTU ARTIS MELALUI 'MALAM AMAL LEGENDS' DI MELAKA 1 NOV!


MELAKA Bandar Bersejarah
, bakal menjadi tumpuan peminat muzik tanah air apabila Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menganjurkan majlis Makan Malam Amal “Legends” pada 1 November 2025. 


Acara yang dijadualkan berlangsung di Melaka International Convention Centre (MITC) dari jam 8 malam hingga 11 malam ini bertujuan mengumpul dana untuk membantu artis-artis veteran yang uzur dan memerlukan sokongan.


Majlis ini akan menghimpunkan barisan legenda muzik terkemuka negara seperti Datuk Ramli Sarip & Sweet Charity, Kopratasa, Dato’ Khatijah Ibrahim, Ito Blues Gang, Datuk Andre Goh, S. Mariam, dan Helen Vellu. 


Kehadiran mereka dijangka bakal menggamit memori dan memberikan persembahan yang tidak dapat dilupakan.


Menurut Presiden  KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, hasil sumbangan daripada malam amal ini akan disalurkan untuk memastikan KARYAWAN dapat terus memainkan peranan menjaga kebajikan lebih 7,000 artis tanah air, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan.



Jelas Freddie, peminat yang hadir bukan sahaja menyaksikan muzik legenda, tetapi turut menyumbang kepada sasaran kutipan RM200,000 untuk kebajikan artis veteran. 


Penaja meja Platinum bernilai RM50,000 dan Berlian pada harga RM100.000  berpeluang mendapat ruang eksklusif untuk mempamerkan produk mereka, sambil menikmati persembahan yang penuh jiwa dan glam.


Selain itu turut disediakan tiga lagi kategori harga meja iaitu RM3,000, (meja biasa); RM5,000 (Perak) dan Emas bernilai RM10,000.


“Ramai artis kita berdepan cabaran hidup, ada yang sakit, ada juga terbeban dengan isu undang-undang dan kewangan. Malam ini adalah bukti bahawa kita bersatu demi menjaga seni dan insan seni,” ujar Freddie pada sidang media ‘Malam Amal Legends’ yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur baru-baru ini.


DARI kiri: Helmi, Khaty, Sani, Siso, Andre Goh, Helen Velu, Ramli Sarip, Ito, Mohd Ariff Shah dan Freddie Fernandez.


Turut hadir Pengarusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif MITC Sdn Bhd., Datuk Mohd Ariff Shah serta artis-artis terlibat antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Andre Goh, Ito Blues Gang, Helen Velu dan Kumpulan Kopratasa manakala Helmi Gimmick bertindak sebagai pengacara majlis.


Bagi para artis yang terlibat, konsert ini bukan sekadar sebuah pertunjukan, tetapi juga peringatan tentang erti persahabatan dan perjalanan panjang dalam dunia seni. 


“Hidup ini tumpang sandar menyandar. Seperti jasad bersandar pada roh. Dari dulu lagi kami menyokong sesama sendiri, walau waktu susah, walau hanya ada sedikit royaltinya, itulah yang dikongsi. Malam ini kita bukan sekadar menghibur, tetapi kita berkongsi semula semangat itu,”  ujar Sani Sudin, anggota Kumpulan Kopratasa kala memberikan pandangannya terhadap penganjuran Malam Amal ‘Legends’.



Selain usaha gigih Freddie dan Khaty, beberapa tokoh korporat lain khususnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Ab. Rauf Yusoh serta Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr). Hj Mohd Ali Rustam, tampil sebagai tonggak utama di sebalik tabir penganjuran. 


Persembahan Malam Amal Legends dijangka berlangsung lebih daripada dua jam setengah, malah mungkin berlarutan hingga selepas tengah malam sekiranya penonton enggan berganjak. 


Sweet Charity bersama Ramli Sarip sahaja dijangka beraksi sekurang-kurangnya satu jam setengah, sebelum bergabung dengan Kopratasa untuk penutup yang dijangka menjadi sorakan paling meriah.



Sehubungan itu, individu atau syarikat yang berminat untuk membuat tempahan meja atau penajaan boleh menghubungi Khaty di talian 016-233 8888 atau Freddie Fernandez melalui talian 012-207 1400. 


Pihak penganjur juga boleh dihubungi melalui e-mel fredez2009@gmail.com atau layari laman web rasmi mereka di karyawan.my. 


Pendek kata, malam amal ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi merupakan satu penghormatan kepada seni dan sumbangan bermakna kepada para pejuang seni negara.


“ia adalah penghormatan kepada seniman, hadiah untuk peminat, dan sumbangan besar buat perjuangan kebajikan artis negara,” akhiri Freddie Fernandez yang telah menerajui KARYAWAN sejak 2005 lamanya.


IBU Khaty menjelaskan beliau akan menyampaikan lagu 'Doa Buat Kekasih' bersama Ramli Sarip jika ada permintaan daripada pihak penaja pada malam tersebut.


#KARYAWAN #MalamAmalLegends #MITC #MelakaBandarBersejarah #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan