Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

JOM? MERIAHKAN HARI USAHAWAN NEGARA DI STADIUM BUKIT JALIL, BERAKHIR 16 SEPT!


SUASANA
meriah dengan tepukan gemuruh mengiringi berlangsungnya Hari Usahawan Negara 2025, yang dianjurkan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) sebagai satu acara bersejarah bagi menghargai dan memperkasa komuniti usahawan tempatan selama lima hari, bertempat di Ruang Parkir Stadium Bukit Jalil bermula pada 12 September hingga 16 September 2025 ini.


Walaupun cuaca agak mendung, kehadiran ramai pengunjung tetap memeriahkan majlis yang turut menyaksikan pelbagai pengisian termasuk kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta penyempurnaan majlis pelancarannya oleh Raja Saidatul Mardiah Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, bertempat di Hall A, Stadium Bukit Jalil pada hari kedua, 13 September 2025 yang turut dihadiri antaranya Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah; Tokoh usahawan, Tengku Hishammuddin Zaizi serta Setiausaha DPUM, Datin Seri Norliah Che Mohammad.


Turut hadir Presiden Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia, Datuk Chong Chong Tik serta Presiden Kehormat Seumur Hiduo PROMAS Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah dan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-Vietnam, Trang Thi Chang.


DARI kiri: Raja Saidatul, Abu Hassan, Dr. Abdul Fattah dan Norliah Che Mohammad dimeriahkan dengan kemumculan si comel, Oyen selaku maskot HUN di dalam kereta permainan elektronik.


Menurut Presiden DPUM, Dato Seri Abu Hassan Mohd Nor, penganjuran kali ini diangkat sebagai satu pencapaian penting pihaknya dalam memperkenalkan Hari Usahawan Negara sebagai platform untuk mengiktiraf sumbangan usahawan serta memberi peluang meningkatkan mutu dan kualiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.


Tema “Usahawan Nadi Negara” dipilih bertepatan dengan cabaran dan peluang dunia keusahawanan masa kini. 


Menyedari persaingan global semakin sengit dan teknologi yang berkembang pesat, para usahawan digesa berani mencuba, berinovasi, serta memanfaatkan teknologi digital termasuk e-dagang, media sosial, kecerdasan buatan, dan automasi. 


Abu Hassan turut menekankan bahawa kejayaan perniagaan tidak hanya bergantung kepada strategi, tetapi juga nilai teras seperti integriti, kejujuran, dan amanah yang menjadi kunci kelestarian perniagaan.


Terdahulu, Ahmad Maslan dibawa melawat sebahagian daripada reruai  tersedia dalam tempoh sejam  sambil merasai hidangan para usahawan malah sempat membuat demo memasak burger, sekali gus mencipta suasana santai dan mesra bersama pengunjung.



Beliau menyifatkan penganjuran kali ini sebagai antara program terbesar yang pernah dihadirinya dan memberi pujian kepada Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia atas kejayaan mengumpulkan pelbagai pihak dalam satu platform.


Ahmad Maslan turut menyentuh soal cabaran usahawan Melayu dalam dunia perniagaan dengan merujuk senarai Forbes 2025, yang mencatat hanya tiga individu Melayu tersenarai daripada 50 bilionair Malaysia. 


Katanya, realiti ini perlu dijadikan dorongan agar lebih ramai bumiputera berani menceburi bidang keusahawanan dengan strategi yang tepat.



“Kita ingin rakyat jadi usahawan, kita ingin rakyat jadi bangsa usahawan. Nabi sendiri juga seorang usahawan. Namun, bukan mudah untuk berjaya. Ia perlukan keyakinan, strategi, ilmu dan usaha berterusan,” ujarnya.


Beliau turut berkongsi konsep asas 5P sebagai panduan kepada usahawan: produk, price (harga), place (lokasi), promotion (promosi) dan people (pengurusan). 


Menurutnya, lima elemen ini adalah tunjang perniagaan yang perlu dijaga dengan penuh amanah agar perniagaan mampu bertahan.


Selain sesi ucapan dan perkongsian inspirasi, Hari Usahawan Negara 2025 turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. 


Antara yang mencuri perhatian ialah Fun Run, Fun Ride, sesi Zumba, serta pertandingan memasak yang menampilkan bakat-bakat kreatif.



Bagi kanak-kanak pula, acara menjadi lebih meriah dengan penganjuran Kids Fashion Show dan pertandingan mewarna, sekali gus menjadikan majlis ini bukan sahaja berfokus kepada dunia perniagaan, tetapi juga sebuah karnival komuniti yang inklusif dan mesra keluarga.


Suasana juga bertambah ceria dengan kehadiran gerai makanan serta booth usahawan tempatan yang memenuhi ruang dalam dan luar dewan, menawarkan pelbagai produk, juadah dan inovasi terkini. 


Kehadiran pengunjung yang ramai membuktikan sambutan luar biasa terhadap usaha murni Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia menganjurkan acara berskala besar ini.


Menampilkan pelbagai produk industri – daripada kategori “ready-to-eat” hingga “ready-to-export” – acara ini juga membuka ruang kepada selebriti tempatan memperkenalkan jenama dan produk mereka sendiri antaranya Noraniza Idris yang turut memeriahkan majlis dengan sebuah lagu tradisional.



Dengan penyertaan pelbagai bangsa, budaya, serta pemain industri dari dalam dan luar negara, Hari Usahawan Negara 2025 terbukti menjadi sebuah pentas bersejarah yang memperkukuh ekosistem keusahawanan Malaysia.


Sementara itu, Raja Saidatul dalam ucapan perasmiannya yang berpinspirasi, percaya bahawa usahawan merupakan nadi penting pembangunan negara, sama seperti nadi tubuh yang menggerakkan kehidupan. 


“Mereka mencipta peluang pekerjaan, memperkasa produk tempatan, dan membawa nama Malaysia ke persada dunia,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada DPUM atas inisiatif menganjurkan acara berskala besar ini.


Turut hadir pada acara perasmian delegasi daripada beberapa buah negara luar dan tempatan antaranya, Vietnam, Hong Kong, Cina dan Taiwan.


Dengan kejayaan penganjuran kali ini, DPUM optimis untuk menjadikan Hari Usahawan Negara ini sebagai agenda tahunan yang terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara dan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan, berdaya maju, serta mampu bersaing di pentas global. 


Majlis pelancaran turut menyaksikan lima dokumen Memorandum Persefahaman ditandatangi oleh DPUM dengan beberapa rakan strategik antaranya bersama Persatuan Persahabatan Vietnam Malaysia, Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS) dan beberapa agensi  lagi.



Acara HUN:


📅 Tarikh: 12 – 16 September 2025

📍 Lokasi: (Stadium National Bukit Jalil)


Antara pengisian menarik:

Jaringan & sesi business matching bersama usahawan tempatan & global

Talk show bersama tokoh & ikon perniagaan

Pameran antarabangsa, kementerian & agensi

Pertunjukan kereta mewah bernilai hingga RM2 juta

Hun World Record 2025 – Satay & Nasi Lemak Terpanjang!

Lucky Draw “Brompton” basikal mewah bernilai RM28,000 🚲

Larian Fun Run 3KM & 5KM Serta Fun Ride Berbasikal 25KM 🚴

Pertunjukan pasukan keselamatan & barangan RAHMAH MADANI

Bayaran saman trafik diskaun hingga 70% 🚓

Pelbagai Pertandingan dan aktiviti untuk kanak-kanak 

Dan banyak lagi aktiviti menarik menanti anda selama 5 hari majlis berlangsung!



#HariUsahawanNegara #StadiumBukitJalil #Usahawan #Cina #Vietnam #Karnival


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan