Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

APA MESEJ DI SEBALIK 'TEMBUNI BERDARAH', FILEM SERAM TERBAHARU AHMAD IDHAM? DI PAWAGAM 25 SEPT!


PADA 25 September 2025 ini, pawagam Malaysia bakal digegarkan dengan sebuah filem seram yang bukan hanya sekadar mengejutkan, tetapi turut menyentuh isu sosial dan dilema moral yang dekat dengan masyarakat hari ini. 


'TEMBUNI BERDARAH', naskhah terbaru arahan sutradara ulung, Dr Ahmad Idham, tampil berbeza dengan membongkar sisi gelap dunia estetika kecantikan—di mana amalan syirik dan susuk menjadi jalan pintas untuk mendapatkan kesempurnaan. 


Filem ini turut mengupas pertembungan ideologi antara generasi lama dan baharu tentang erti kejayaan sebenar.


Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn Bhd, filem ini menampilkan barisan pelakon handalan baharu dan lama seperti Sophia Albarakbah di samping Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Sharifah Shahora, Riezman Khuzaimi, dan Mia Nasir. 



Berbicara pada Malam Gala dan Sidang Media filem tersebut di GSC MyTown Cheras, pada semalam, 17 September 2025,  Dr Ahmad Idham mengakui ramai peminat yang merindui sentuhan seramnya seperti dalam filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak. 


"Apa yang boleh saya katakan, filem 'Tembuni Berdarah' ini memang mempunyai 'vibes' sepertimana kedua-dua filem seram arahan saya itu. Cuma, strukturnya sedikit berbeza kerana saya cuba mengangkat dua perbezaan ideologi di antara generasi lama dengan generasi baharu tentang penggunaan amalan syirik," jelasnya.



Tembuni Berdarah’ menceritakan tentang Dr Izara (Sophia Albarakbah), seorang usahawan yang berpegang teguh pada prinsip bahawa kejayaan datang dari usaha dan kerja keras. Namun, pendiriannya itu dicabar oleh neneknya, Bok Miah (Khatijah Tan), seorang pengamal ilmu hitam yang beranggapan bahawa amalan syirik harus digunakan untuk membantu keluarga mereka hidup senang. 


Konflik antara mereka menjadi tunjang utama penceritaan, dan penonton akan terus disajikan dengan persoalan mendalam: Adakah Dr Izara akan akur dengan kehendak neneknya, dan adakah amalan ilmu hitam ini menjadi punca perceraiannya dengan suaminya, Aidan (Niezam Zaidi)?


Bagi Ahmad Idham, relevansi cerita ini sangat dekat dengan realiti hari ini, di mana ramai sanggup mencari jalan pintas demi mengekalkan kecantikan dan awet muda. 



Beliau turut menekankan bahawa durasi tumpuan penonton semakin singkat, maka elemen drama dipadatkan dengan aksi mendebarkan agar setiap detik di layar benar-benar mencengkam. 


Cabaran terbesar baginya ialah memastikan naskhah ini tidak hanya hidup di festival, tetapi benar-benar meraih sambutan di pawagam komersial. 


Itulah yang menjadi tekadnya sejak awal, kerana kejayaan sebenar hanya dapat diukur apabila karya diterima khalayak luas di layar besar.


Ahmad Idham turut menzahirkan rasa puas hati dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pelakon, khususnya Sophia Albarakbah.


DR. Ahmad Idham, Sophia dan Sayed Amrul.


"Sebagai teraju utama, saya memberikan cabaran yang lebih berat buat Sophia untuk membawakan 'akting kotor' agar dapat menampilkan sisi lakonan yang lebih berbeza. 


"Ternyata dia benar-benar menyahut cabaran saya untuk keluar dari zon selesanya apabila sanggup bermain dengan darah, menjayakan babak di kubur pada waktu malam daripada tampil cantik semata-mata dengan lakonannya,” ujar Idham.


Sambungnya lagi, “Satu lagi yang orang mungkin tidak tahu, Sophia Albarakbah memang seorang pelajar perubatan dan pernah bekerja di hospital. Jadi, kita akan nampak bahawa dia tidak kekok untuk bermain dengan jarum serta alat perubatan lain atau berbicara dengan pesakit.”  


Mendengar pandangan itu,  Sophia sendiri menzahirkan rasa syukur apabila lakonannya mendapat reaksi positif daripada pihak produksi.



Bagi dirinya, ini peluang emas untuk menunjukkan variasi lakonan. 


Katanya, sebagai pelakon dia mahu memberikan segala-galanya agar penonton dapat menilai kesungguhannya dan menerima dirinya sebagai seorang pelakon yang versatil.


Tidak syak lagi di kalangan rakan pelakonnya juga, rata-rata mengakui terkejut dengan kekuatan lakonan Sophia yang dianggap berani keluar dari zon selesa.



“Saya sendiri agak terkejut dengan lakonan Sophia, memang hebat. Walau pun ramai wajah baharu ternyata mereka mampu bawa watak dengan baik,” ulas Sharifah Shahora yang memegang watak ibu kepada Sophia.


Sementara itu, mendapakan pandangan penerbitnya yang baharu pertama kali terlibat dalam pembikinan filem, Dato Sayed Amrul Muazam Al Sayed Mohamad, memaklumkan kos pembikinan untuk filem sulongnya ini menelan belanja lebih kurang RM1.5 juta.


“Harapan saya melalui filem ini ia dapat memberikan satu kesedaran kepada orang ramai untuk berhati-hati memilih rawatan kecantikan, Jangan kerana terpikat dengan promosi atau sebagainya sahaja tetapi memilih rawatan yang dikendalikan oleh pakar bertauliah kerana kita tidak tahu apa bahan yang digunakannya.” akhiri Sayed Amrul yang juga merupakan Pengarah Urusan Pusat Kecantikan & Kesihatan Lindo Wellness, terletak di Icon Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.



#TembuniBerdarah #LindoWellness #Susuk #IlmuHitam #Kecantikan #fyp


Tiada ulasan:

Catat Ulasan