KPDN WPKL: JANGAN PANIK, BEKALAN SEMUA MENCUKUPI !
![]() |
| GAMBAR Hiasan... |
KUALA LUMPUR, 14 April – Orang ramai di ibu negara diminta bertenang dan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan keperluan asas disahkan mencukupi walaupun berlaku perkembangan konflik di Asia Barat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mohd Shahran Mohd Arshad menegaskan bahawa situasi bekalan ketika ini berada dalam keadaan terkawal, selain pemantauan rapi terus dilaksanakan bagi memastikan harga barangan kekal stabil di pasaran.
“Pengguna tidak perlu panik atau membuat pembelian secara berlebihan kerana bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemantauan bekalan dilakukan secara menyeluruh di kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas dan keperluan pengguna terus dipenuhi.
Dalam usaha memperkukuh lagi pengedaran, KPDN WPKL turut melantik serta memantau Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) supaya bekalan sentiasa tersedia dan mencukupi.
Pada masa sama, sesi libat urus bersama syarikat pengeluar minyak turut diadakan bagi memastikan bekalan petrol dan diesel kekal mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan lebuh raya serta kawasan tumpuan utama.
Pemantauan terhadap barangan kawalan juga terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bagi mengekang sebarang aktiviti penyelewengan.
Tambah Mohd Shahran, seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga telah digerakkan di seluruh Kuala Lumpur untuk menjalankan pemeriksaan secara berterusan terhadap bekalan dan harga barangan.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.
Orang ramai juga digalakkan untuk melaporkan sebarang isu berkaitan bekalan barangan keperluan kepada pihak KPDN WPKL untuk tindakan segera.
KPDN WPKL menegaskan komitmennya untuk terus memastikan bekalan barangan keperluan asas kekal mencukupi dan stabil demi kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh ini.
![]() |
| GAMBAR Hiasan.. |
#KPDNWPKL #JanganPanik #BelianPanik #BekalanCukup #PerangAsiaBarat #fyp



Tiada ulasan:
Catat Ulasan