'KAD BUDAYA DIGITAL' INOVATIF BAHARU TARIK SASARAN 500,000 PELANCONG CHINA KE MALAYSIA!
INISIATIF “kad budaya digital” muncul sebagai pendekatan baharu dalam mempromosikan Malaysia ke pentas global apabila ia dijadikan medium utama untuk menghubungkan pengalaman budaya, pelancongan dan teknologi secara lebih interaktif sempena ‘Visit Malaysia 2026’.
‘Kad Budaya Digital’, projek inovatif ini dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur dengan matlamat memperkenalkan model baharu promosi budaya dan pelancongan negara, khususnya bagi menembusi pasaran China.
Melalui penggunaan kad digital, pengguna bukan sahaja dapat mengakses kandungan budaya secara maya, malah berpeluang berinteraksi dengan pelbagai pengalaman pelancongan Malaysia dalam format lebih menarik dan mudah dikongsi.
Pelancaran dianjurkan bersama oleh Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dan NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd., bertempat di Matic, Kuala Lumpur, semalam, sekali gus berlangsung serentak di Beijing, China, menerusi sambungan interaktif masa nyata, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pemain industri pelancongan, organisasi budaya dan wakil media dari kedua-dua negara.
Ia disempurnakan bersama oleh antaranya tetamu kehormat DiRsja, Tengku Loreta Tengku Dato Setia Ramli Alhaj; Presiden MITDA, Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor; Naib Presiden MITDA, Datuk Azli Halim; Ketua Pegawai Eksekutiff NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd., Dr. Mazlan Goh Ahmad Goh dan Bekas Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia merangkap Pengasas Green Wellness Malaysia, Dorph Peng Wen Yin.
Sidang media yang berlangsung serentak di Beijing pula dihadiri antaranya pleh Bekas Timbalan Ketua Pengarah, Biro Kesusasteraan & Seni, Jabatan Publisiti Komuniti Pusat PKC, Cheng Zehwie.
Pendekatan ini mencerminkan kerjasama erat Malaysia-China dalam memperkasa pendigitalan sektor pelancongan dan budaya.
Selain itu, projek yang diterajui oleh NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd. ini mendapat kebenaran daripada Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia untuk menggunakan logo rasmi serta harta intelek maskot VM2026 - Wira dan Manja.
Ia turut melibatkan kerjasama pelbagai organisasi dari Malaysia dan China dalam usaha memperluas capaian promosi di peringkat antarabangsa.
Melalui integrasi kandungan digital dan pengalaman interaktif, Kad Budaya Digital berfungsi sebagai “pintu masuk” baharu kepada pelancong antarabangsa untuk meneroka keunikan Malaysia.
Ia menghimpunkan elemen warisan budaya, destinasi pelancongan, produk tempatan dan kisah jenama dalam satu ekosistem digital yang disusun secara kreatif, sekali gus meningkatkan daya tarikan global negara.
Selain itu, projek ini turut menggabungkan kerjasama strategik bersama syarikat tempatan dan rakan jenama bagi membina ekosistem yang mengintegrasikan budaya, pelancongan dan perdagangan. Pendekatan ini membolehkan produk Malaysia diketengahkan kepada pasaran China melalui kandungan digital yang lebih dinamik dan interaktif.
Dari segi pemilikan, hak harta intelek projek ini berada di bawah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, manakala NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd. bertindak sebagai penerbit penyelia.
Selain itu, projek ini turut melibatkan rakan penerbit dari China termasuk Shanghai HexaBloom Innovations Cultural Development Co. Ltd. dan Oriana (Beijing) Cultural Assets & Global Solutions Co. Ltd., dengan Signchina International Travel Admin Sdn. Bhd. sebagai pemegang hak di Malaysia.
Dalam masa sama, pelaksanaan projek ini akan diperkukuh melalui platform digital utama di China seperti China Art Cloud di bawah China Internet Information Center, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan komuniti peminat budaya serta memperluas capaian promosi pelancongan Malaysia.
Inisiatif ini dijangka bukan sahaja menyuntik momentum baharu kepada VM2026, malah memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China dalam bidang pelancongan, budaya dan industri kreatif.
Seiring perkembangan landskap pelancongan global yang semakin dipacu digital, Kad Budaya Digital dilihat sebagai langkah strategik dalam menarik minat generasi muda dan pelancong moden yang cenderung membuat keputusan perjalanan berdasarkan kandungan digital dan pengalaman interaktif.
Pendekatan ini dijangka mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi sebagai destinasi budaya yang hidup dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Kapten (B) Mahadzir (gambar kiri, tengah) memaklumkan MITDA menyasarkan kira-kira 500,000 pelancong dari China ke negara ini melalui inisiatif 'kad budaya digital' pada setiap bulan bagi merancakkan ekonomi negara.
Sasaran itu dilihat realistik susulan potensi besar pasaran China serta sambutan awal yang menggalakkan.
“Ujian awal di China menunjukkan sambutan positif apabila kira-kira 1,000 pengguna mendaftar dalam tempoh sejam. Ini petunjuk awal bahawa inisiatif ini ada potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini," ujar Mahadzir.
Menurut beliau, konsep kad itu membolehkan pengguna di China mengumpul mata ganjaran melalui pembelian harian sebelum menebusnya dalam bentuk diskaun apabila melancong ke Malaysia.
Katanya, inisiatif itu turut menekankan konsep dua 'V' iaitu ‘volume’ dan ‘value’ bagi meningkatkan jumlah pelancong serta nilai perbelanjaan mereka.
"Pelaksanaan dijangka bermula sekitar pertengahan tahun ini dan kita yakin ia mampu menjadi pemangkin baharu kepada industri pelancongan," jelas beliau.
Katanya, inisiatif itu juga dilihat unik kerana menghubungkan aktiviti pembelian di luar negara dengan pengalaman pelancongan di Malaysia.
"Ini antara pendekatan pertama seumpamanya di dunia yang mana pengguna kumpul mata di negara asal dan gunakan manfaat itu di Malaysia,” akhirinya sambil menyifatkaan jika sasaran 500,000 pelancong dapat dicapai, ia akan beri impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara.
#VisitMalaysiaYear2026 #MalaysiaChina #KadBudayaDigital #Pelancongan #fyp








Tiada ulasan:
Catat Ulasan