GIANT STADIUM SHAH ALAM KEMBALI SEGAR, KOMITMEN KEBAJIKAN TERUS DIPERKUKUH!
MAJLIS pelancaran semula Giant Stadium Shah Alam di Seksyen 13 pada pagi semalam, 2 April 2026 menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan hypermarket berkenaan sebagai destinasi membeli-belah utama komuniti setempat.
Langkah signifikan yang melangkaui aspek fizikal ini menyaksikan premis yang telah bertapak lebih dua dekad di bandar raya ini tampil dengan wajah baharu hasil penambahbaikan menyeluruh dari segi susun atur dalaman serta kehadiran pelbagai penyewa baharu yang lebih relevan dengan keperluan pengguna masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia & Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan & Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana berkata, transformasi tersebut bukan sahaja meningkatkan aspek kemudahan, malah memperkenalkan pengalaman membeli-belah yang lebih segar dan menyeronokkan buat pengunjung.
![]() |
| NAJWAN diiringi Muhamad Hanif melawat ruang dalaman Giant Stadium Shah Alam. |
“Transformasi ini lebih daripada sekadar penaiktarafan biasa. Ia mencerminkan komitmen baharu daripada pihak Giant untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dengan menawarkan bukan sahaja kemudahan, tetapi juga pengalaman membeli-belah yang lebih meriah dan menyeronokkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran semula Giant Stadium Shah Alam berkenaan.
Turut hadir Cheah Yong Hock, Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Malaysia Sdn Bhd; Linda Phang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Malaysia Sdn Bhd; Muhamad Hanif Asa’ari, Pengarah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor; Arumugam a/l Nadarajan, Pengurus Stor Giant Stadium Shah Alam serta Sivanesan a/l Velaidam selaku Pengurus Kawasan GCH Retail Malaysia Sdn Bhd.

DARI Kiri: Arumugam, Linda, Muhamad Hanif, Najwan, Cheah dan Sivanesam memotong riben tanda pelancaran semula Giant Stadium Shah Alam semalam.
Najwan sempat berkongsi bahawa pejabat beliau menganjurkan program Jom Shopping sebanyak tiga kali setahun dan Giant sentiasa menjadi rakan kerjasama penting dalam menjayakan inisiatif tersebut.
“Setiap tahun, pejabat kami menganjurkan program seperti Jom Shopping sebanyak tiga kali, dan Giant sentiasa menjadi rakan kerjasama penting. Ini adalah satu bentuk kolaborasi yang sangat bermakna antara kerajaan negeri dan pihak swasta,” tambahnya.
Kolaborasi strategik antara kerajaan negeri dan pihak swasta ini disifatkan sebagai satu hubungan yang amat bernilai dan diharapkan dapat diteruskan serta diperluaskan lagi pada masa hadapan bagi memberi manfaat yang lebih luas kepada golongan memerlukan serta warga emas.

MUAZ dan MR DIY antara penyewa baharu di Giant Stadium Shah Alam.
Pendekatan ini dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, di samping mewujudkan situasi menang-menang antara komuniti dan pemain industri.
Selain membantu meringankan beban kos sara hidup, program ini turut menyokong ekosistem perniagaan tempatan apabila peniaga dan pengusaha pasar raya menerima limpahan manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna.
Mengulas lanjut, Najwan berkata wajah baharu Giant Stadium Shah Alam kini lebih selari dengan keperluan pengguna masa kini, termasuk dari segi penawaran runcit yang dipertingkatkan, pengalaman membeli-belah yang lebih baik serta kehadiran penyewa baharu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
“Giant Stadium Shah Alam ini berpotensi menjadi destinasi gaya hidup utama di Shah Alam. Saya berharap ia bukan sekadar pusat membeli-belah, tetapi juga menjadi tempat berkumpul keluarga, platform untuk usahawan tempatan serta lokasi penganjuran aktiviti komuniti,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan persembahan kompang oleh Kumpulan Kompang Anak Seni Cheras yang menyambut ketibaan tetamu kehormat, selain persembahan tarian singa yang menambahkan lagi kemeriahan suasana serta mencerminkan kepelbagaian budaya dalam komuniti setempat.
Najwan turut menegaskan komitmennya sebagai wakil rakyat untuk terus menyokong sebarang inisiatif yang mampu memberi nilai tambah serta impak positif kepada penduduk setempat.
Majlis berkenaan diakhiri dengan ucapan tahniah kepada pihak Giant atas kejayaan transformasi tersebut, di samping harapan agar Giant Stadium Shah Alam ini akan terus berkembang sebagai hab komuniti yang inklusif, meriah dan berdaya saing dalam memacu kesejahteraan rakyat serta merancakkan ekonomi negeri Selangor.
#GiantMY #GiantStadiumShahAlamRefreshed #MohdNajwanHalimi #JomShopping





Tiada ulasan:
Catat Ulasan