TEKSI EV DENGAN SISTEM PENUKARAN BATERI AUTOMATIK BAKAL DILANCAR, PERMOHONAN DIBUKA!
KAJANG: Industri pengangkutan awam negara bakal berada di ambang perubahan besar apabila empat syarikat utama bergabung tenaga memperkenalkan teksi kenderaan elektrik (EV) dengan sistem penukaran bateri automatik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam mobiliti hijau tempatan.
Inisiatif diterajui Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan Hamizi M. Hussin dari EV Auto Works Sdn. Bhd., Derick Ng dari Voltgem Energies Sdn. Bhd., Kabeer Maand mewakili GV Car Import Sdn. Bhd., serta Mugilarasan dari Alirantek (M) Sdn. Bhd., berlangsung di ibu pejabat GV Car Import, Taman Asa Jaya baruu-baru ini.
Turut hadir Presiden GTSM, Kamarudin Mohd Hussain yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hala tuju industri teksi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, kerjasama strategik itu bertujuan mempercepatkan peralihan industri teksi dan e-hailing ke arah penggunaan EV berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Menurut beliau, antara teras utama inisiatif ini ialah penggunaan sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan Voltgem Energies, membolehkan bateri ditukar dalam tempoh singkat di stesen khas tanpa perlu menunggu proses pengecasan.
“Teknologi ini hampir menghapuskan masa henti operasi kenderaan, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan membantu pemandu menjana pendapatan lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut dirangka sebagai solusi jangka panjang bagi menangani peningkatan kos bahan api yang semakin membebankan pemain industri, selain menawarkan pakej komprehensif kepada pemandu termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, sewaan kenderaan serendah RM80 sehari serta penyelenggaraan penuh termasuk komponen haus dan lusuh.
Dalam perkembangan berkaitan, Kabeer (tengah) turut menjelaskan bahawa pemandu akan menikmati jaminan bateri sepenuhnya, perlindungan insurans serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus meningkatkan kebajikan mereka dalam ekosistem baharu ini.
Beliau berkata, semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional dengan penekanan terhadap keselamatan pemandu serta penumpang.
Menurutnya lagi, kerjasama itu turut merangkumi pembangunan projek pemasangan tempatan secara Completely Knocked Down (CKD), yang dijangka memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan EV dengan teknologi penukaran bateri di Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem industri EV tempatan. Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab pembangunan teknologi EV berasaskan sistem penukaran bateri di peringkat ASEAN,” katanya sambil menyasarkan sebanyak 3,000 teksi EV dapat dimulakan operasinya dijangka pada bulan Julai atau Ogos sebaik sahaja memperoleh kelulusan dan pelepasan kenderaan terbabit daripada pelabuhan
Beliau menambah, langkah itu dijangka memberi impak jangka panjang termasuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti elektrik nasional, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar dan mesra alam.
Dalam masa sama, pihaknya berharap mendapat sokongan penuh daripada kerajaan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pengangkutan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Sementara itu, Kamarudin Mohd Hussain (gambar bawah, tiga dari kiri) menyuarakan kebimbangan mengenai isu kekangan permit yang menjadi cabaran utama industri teksi apabila pengusaha dan koperasi mendakwa mereka tidak lagi mampu bergerak aktif susulan dasar semasa yang hanya memfokuskan kepada pemberian permit individu.
![]() |
| FOTO kredit: Zuan. |
Menurut Kamaruddin, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan tidak lagi mengeluarkan permit kepada syarikat atau koperasi, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemandu teksi individu.
Walaupun pendekatan itu dilihat memberi peluang kepada pemandu, realitinya ramai dalam kalangan mereka berdepan kesukaran untuk memanfaatkan permit berkenaan.
“Bukan pemandu teksi tidak mahu ambil permit individu. Mereka ambil, tetapi masalahnya mereka tidak boleh keluarkan kereta kerana tidak mendapat pembiayaan daripada bank,” jelasnya.
Tambah beliau, kebanyakan pemandu tidak mempunyai rekod pendapatan yang kukuh atau dokumentasi kewangan yang boleh menyokong permohonan pinjaman, sekali gus menyukarkan mereka untuk memiliki kenderaan sendiri.
Sehubungan itu, pihak industri mencadangkan agar kerajaan membuka semula permit kepada koperasi tanpa menjejaskan sistem permit individu sedia ada. Melalui model koperasi, pemandu boleh mendapatkan kenderaan secara skim sewa beli yang lebih tersusun dan realistik.
“Melalui koperasi, kita boleh bantu pemandu. Enam bulan sebelum tamat bayaran, kita galakkan mereka ambil alih permit sendiri. Selepas habis bayaran, mereka ada tempoh lima tahun untuk memandu tanpa komitmen kepada mana-mana pihak dan boleh kumpul simpanan untuk masa depan,” katanya.
Pendekatan ini disifatkan sebagai “sistem hijrahan” yang lebih praktikal, berbanding perubahan mendadak yang boleh menjejaskan kelangsungan pemandu sedia ada.
“Dengan teksi EV pada kadar bayaran serendah RM80 sehari ia merangkumi hampir semua kos operasi asas, termasuk penggunaan tenaga bagi kenderaan elektrik,” tambah Kamaruddin.
Menurutnya, kadar tersebut jauh lebih kompetitif berbanding kos semasa yang ditanggung pemandu.
“Kalau sewa teksi biasa, walaupun kereta murah, sekitar RM40 sehari. Itu belum termasuk minyak yang boleh mencecah RM50 sehari. Jadi jumlahnya sudah lebih RM90, belum termasuk penyelenggaraan dan lain-lain kos,” katanya memberi contoh,
Sambung beliau, di bawah skim baharu ini, pemandu tidak perlu menanggung kos bahan api untuk tahun pertama kerana ia ditawarkan secara percuma. Bagi tahun kedua, caj akan dikenakan berdasarkan penggunaan sebenar melalui sistem penukaran bateri (battery swap).
“Kalau bateri tinggal 50 peratus, pemandu hanya bayar untuk penggunaan 50 peratus itu sahaja, bukan penuh. Ini lebih adil dan telus,” ujarnya.
Model ini diyakini mampu membantu pemandu keluar daripada tekanan kos harian, di samping membuka ruang kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan secara lebih stabil.
Dengan gabungan kos operasi yang lebih rendah, sistem teknologi baharu dan sokongan dasar yang diharapkan daripada kerajaan, skim ini dilihat sebagai langkah signifikan ke arah memulihkan serta memodenkan industri pengangkutan awam negara.
Permohonan kini terbuka kepada pemandu teksi sedia ada atau pun mana mana individu yang berrminat termasuk ibu tunggal.
Maklumat lanjut boleh emel kepada info@gvcarimport.com
#TeksiEV #GVRide #GabunganTeksiMalaysia #BatterySwap #EHailing #CKD #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan