MPC, SAMENTA BANTU PKS HARUNGI PENDIGITALAN MELALUI PROGRAM SDTP
TAHU kah anda bahawa kurang daripada 10 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) didigitalkan sepenuhnya, manakala 70 peratus belum memulakan sebarang bentuk pendigitalan atau berada pada tahap yang sangat asas?
Angka yang diperoleh daripada tinjauan terbaharu yang dijalankan oeh SAMENTA iaitu sebuah persatuan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang tertua di Malaysia sejak ditubuhkan pada tahun 1986 itu ternyata amat membimbangkan apatah lagi setelah dunia beralih ke teknologi canggih sekarang ini.
Sehubungan itu, SAMENTA ( Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkenalkan Program Transformasi Digital dan Produktiviti PKS (SDTP) untuk membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan dan profesional untuk mendigitalkan perniagaan mereka.
Sebagai sebahagian daripada program SDTP, MPC dan SAMENTA telah melancarkan Buku Panduan Produktiviti Digital untuk PKS berasaskan perkhidmatan, yang boleh dimuat turun secara percuma dari laman web kedua-dua organisasi.
“PKS-PKS juga boleh mengambil Penilaian Kesediaan Produktiviti Digital (DPRA) untuk menilai tahap kesediaan mereka untuk transformasi digital, diikuti dengan sesi bimbingan bersama pakar pendigitalan terpilih melalui Klinik Maya Produktiviti Digital (DP-VAC),” ujar Dato Abdul Latif Haji Abu Seman, Ketua pengarah MPC pada majlis pelancaran program tersebut di Hotel Khloe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir antaranya, Datuk William Ng, pengerusi SAMENTA dan Marissa Ng.
Menutut beliau, beberapa tahun kebelakangan ini cukup mencabar kerana pandemik Covid-19 dan iklim perniagaan yang sukar.
“Akibatnya, kebanyakan perniagaan melihat margin mereka berkurangan dan kos menjalankan perniagaan meningkat. Dengan memanfaatkan peningkatan produktiviti, perniagaan dapat meraih lebih banyak keuntungan dan dengan itu, bertahan dan berkembang maju dalam menghadapi segala kemungkinan,” tambah beliau.
Sambungnya, kerjasama dengan SAMENTA ini terbuka kepada semua PKS, dengan SAMENTA bertindak sebagai penyelaras pelaksanaan.
“Melalui Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan dan Minuman yang diterajui oleh sektor swasta, kumpulan pertama intervensi akan menyasarkan PKS dalam sektor runcit, sebelum dilancarkan ke semua sektor lain”, tambah Latif lagi.
Sesungguhnya, sebagai persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, SAMENTA komited untuk menjadi suara PKS dan membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka.
“Kami percaya SDTP akan dapat mendorong semua PKS untuk memulakan proses transformasi digital mereka”, kata William Ng.
Tambahnya, pandemik Covid-19 tidak memilih saiz atau latar belakang korbannya. Ramai PKS tumbang dan menggulung tikar akibat pandemik.
“Kami berharap melalui SDTP, PKS dapat dibimbing untuk mengatasi cabaran seumpamanya di masa hadapan. Melalui pendigitalan, PKS dapat meningkatkan produktiviti mereka, meningkatkan margin mereka, dan lebih bersedia menghadapi sebarang gangguan kepada perniagaan mereka”, akhiri Ng.
Berkongsi lanjut, Maresa Ng, selaku Pengerusi Pembangunan Komuniti SAMENTA Wilayah Tengah merangkap pengarah projek untuk SDTP menjelaskan bahawa dari pemerhatian awal daripada program SDTP - 82% peserta didigitalkan dalam jualan & pemasaran, dan hanya 37% didigitalkan di bahagian belakang perniagaan seperti operasi dan pengurusan pekerja, seterusnya menjana produktiviti buruh yang rendah.
Sementara itu, majlis sama turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SAMENTA dengan beberapa persatuan industri berasaskan runcit sebagai sebahagian daripada pendekatan kelompok industri untuk membantu lebih banyak PKS mendigitalkan perniagaan mereka.
Ini termasuk Persatuan Pakar Optometri Malaysia (AMO), Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Malaysia (WENA) dan Persatuan Pemilik Restoran & Bistro (PPRB).
“Kerjasama dengan SAMENTA ini merupakan langkah penting ke arah membantu ahli kami memulakan pendigitalan. Pandemik telah menjejaskan industri penjagaan mata dengan teruk. Melalui diagnostik dan elemen pegangan tangan dalam SDTP, kami dapat mempercepatkan proses transformasi digital,” ujar Presiden AMO, Ahmad Fadhullah.
President WENA, Nuraizah Shamsul Baharin pula berkata, “Kerjasama ini perlu bagi memastikan kemampanan usahawan terutamanya PKS yang diterajui wanita yang kebanyakannya merupakan perniagaan mikro dan terjejas teruk akibat kenaikan kos.
“Melalui SDTP, usahawan boleh menerima pelan hala tuju yang amat diperlukan untuk memastikan produktiviti yang lebih tinggi dengan menggunakan teknologi digital,” kata Nuraizah.
William Lee, presiden PPRB pula berpendapat, "Kerjasama dengan SAMENTA ini memberikan kejelasan yang lebih baik kepada pengusaha dan pengendali restoran dalam meningkatkan produktiviti kami dan di dalam menangani peningkatan kos menjalankan perniagaan".
Untuk rekod, MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan lima teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan memupuk minda produktif.
MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
MELISSA Chan, sebagai perunding turut menerima sijil juara produktiviti daripada MPC yang disampaikan oleh Abdul Latif. |
Dan misi SAMENTA pula adalah untuk memperjuangkan pengembangan PKS melalui pendekatan empat segi iaitu perundingan dasar, akses pasaran, pemerkasaan perniagaan dan pengembangan kemampuan.
Untuk maklumat lanjut, SDTP dan Panduan Produktiviti Digital boleh dimuat turun di laman https://wayup.my/. atau KLIK SINI.
BERGAMBAR kenangan bersama ahli-ahli dari persatuan masing-masing, |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan