Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PU RIZ UTAMAKAN IBU DAN 'TEMAN BAHARU'?

PIX Jaydee.
Sebut sahaja nama PU Riz Ismail sudah pasti ramai yang mengenalinya bahkan pendakwah bebas yang juga pelakon ini seringkali juga tampil di dada-dada akhbar apa tah lagi selepas dikenali melalui program realiti ‘Pencetus Ummah’ musim  keempat.

Barangkali ketrampilan serta ketampanan orangnya antara faktor yang membuatkan netizen sering kali mahu mengikuti perkembangannya.

Menemuinya buat pertama kali, Kak Fas akui memang PU Riz segak orangnya bahkan yang lebih menarik perhatian Kak Fas apabila berbicara dengannya terserlah ilmu keagamaan yang tertanam di dalam sanubarinya.

Tutur katanya lembut malah setiap ayat yang ditafsirkan mengikut Al-Quran diperjelaskan dengan begitu terperinci dan mudah difahami, Tak sabar pula rasa Kak Fas nak ikuti kelas tazkirahnya bagi mendengar lebih lanjut ceramahnya.

Apa pun peristiwa pahit manis yang melanda dirinya, PU Riz mahu membuka ‘buku baharu’ dan bangkit dengan semangat seorang usahawan muda waima masih terlibat dalam industri seni hiburan sekali pun.


“Kini tumpuan saya mahu memajukan bisnes restoran yang baharu lapan bulan operasi,” ujar PU Riz ketika ditemui media pada majlis doa selamat pembukaan restoran miliknya, Food Station terletak di Jalan Tun Sambanthan,  Brickfields KL (berhadapan dengan Nu Sentral).

Jadi itulah yang dimaksudkan sebagai membuka ‘buku baharu’ tau! Restoran itulah 'teman baharu' buat Riz sekarang.

Pemilik nama sebenar, Muhammad Haris Mohd Ismail, 24, ini memilih untuk menguruskan restoran sebagai menyambung legasi bapanya yang terlebih dahulu menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

“Bapa menjadi mentor saya dalam apa yang dilakukan termasuk selok belok dunia perniagaan. Saya percaya dalam hidup ini, kita perlu lakukan sesuatu yang dapat memberi jaminan masa depan. Ada juga pendapatan tetap saya setiap bulan,” tambah Riz.

Hakikatnya juga Riz melihat prospek perniagaan makanan serasi dengan kehendak jiwanya yang minat memasak bila ada masa.

“Dunia seni masih saya cintai dan berjalan macam biasa. Cuma saya melihat prospek perniagaan makanan ini khususnya boleh dikembangkan dengan baik. Kalau sebut fasal makan ini semua orang perlukan makanan,” tambahnya.

Mempunyai kira-kira 15 kakitangan termasuk tiga chef utama yang menyediakan pelbagai makanan tempatan dan Barat, ‘Food Station’ yang dibuka dengan modal agak besar turut mempunyai surau dan dewan untuk menjalankan sesi tazkirah.

“Sesi ini terbuka secara percuma untuk orang ramai yang mahu menambahkan ilmu keagamaan,” tambah Riz sambil memberitahu orang ramai harus sentiasa membuka laman sosial @Food Station bagi mendapatkan maklumat berhubung tarikh dan waktu kelas tazkirah beroperasi.

Pada masa sama juga, Riz tetap meneruskan kembali rutin sebagai pelajar undang undang peringkat Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti.

“Dalam hal sambung belajar ini saya mahu penuhi permintaan ibu. Saya masuk dunia seni pun atas restunya. Jadi apa salahnya saya penuhi hasratnya yang mahu saya berjaya dalam akademik.

“Ikutkan apabila sudah ada duit di tangan hasil menjadi penceramah dan bergelar anak seni, saya memang rasa berat hati nak sambung belajar lagi. Tapi saya kena realistik kerana hal menuntut ilmu ini takkan pernah rugi,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir pada 2012 selama setahun dan kembali ke Malaysia kerana pergolakan di negara berkenaan.

Apabila melakukan sesuatu atas permintaan ibu, jelas membuktikan anak muda ini mendahulukan bondanya.

“Saya tak kisah jika ada yang mahu melabelkan diri saya sebagai ‘anak emak’ kerana bagi saya emak lah yang  saya utamakan dalam hidup ini di samping ayah,” ujarnya sambil memetik beberapa ayat  Al-Quran yang menunjukkan betapa pentingnya menghormati ibu bapa.

Malah tambah Riz, dalam Al-Quran ada menyebut mengenai emak lebih dari empat kali betapa kita perlu mendahulukannya bahkan sebut pertakataan ‘aah’ pada ibu adalah berdosa.

Ketaatanya pada emak jelas tiada tolok bandingnya sehingga hal jodoh pun kata Riz harus mendapat persetujuan dan restu ibu.

“Memanglah sedih jika pilihan kita tidak direstui tetapi apa pun saya tetap akan mendapat restu ibu dan memilih jodoh yang berkenan pada hatinya,” sambung Riz dalam ketawa kecil apabila dipersoal mengenai jodohnya.

Wah! hebat anak emak ini kan? Sejuk perut ibu mengandung, kata orang.

Dalam perkembangan lain, Riz juga berdebar menanti tayangan filem sulungnya berjudul “Ada Apa Dengan Dosa”.

Filem terbitan Pencil Pictures arah Rahila Ali itu menggandingkannya dengan pelakon baharu, Wanna Ali dan turut disertai pelakon popular antaranya Fasha Sandha, Ashraf Muslim dan Adam Corrie.

Penggambaran dilakukan hujung tahun lalu dan turut mengambil latar lokasi di Scotland.

“Agak gementar... Takut bercampur teruja dapat menggalas watak utama dalam filem sulung ini.

"Insya-Allah, saya sudah cuba melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi sebaik mungkin,” ceritanya.

Selain Pencetus Ummah, Riz juga pernah menyertai program pencarian pendakwah, Akademi Sahur Asia atau AKSI Asia 2017 di Jakarta yang membabitkan penyertaan peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Biarpun tidak meraih kemenangan dalam program itu, Riz bersyukur apabila kehadirannya disedari beberapa produser yang menghulurkan peluang berlakon.

"Selepas tamat perjuangan di AKSI Asia 2017, saya ditawarkan berlakon empat telefilem di sana. Saya turut diberikan peranan utama dalam telefilem, “Permintaan Suami Terakhir Di Bulan Ramadan," kata pelakon telefilem “Jatuh Cinta Buta” itu juga.

Berbalik mengenai ‘Food Station” Riz memberitahu restoran miliknya itu  menyajikan lebih 500 lauk pauk Melayu, Thailand dan Barat.

“Sejak dari awal lagi, saya memang tak lepas tangan menguruskannya. Sibuk mana pun, saya akan cuba bahagi masa untuk restoran ini. Dari awal mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia hinggalah beroperasi sampai sekarang, saya akan ambil bahagian. 

“Saya turut berusaha mencari tukang masak terbaik sampai pergi ke Kelantan. Banyak juga kos yang dilaburkan termasuk mengubah suai semula restoran ini kerana ia diambil dari sebuah kedai lama yang diuruskan pihak lain,” ujarnya.

Malah seperti yang Kak Fas katakan di atas tadi, Riz turut menganjurkan ceramah agama di premis berkenaan dalam menyuntik elemen kerohanian sambil menjamu selera.

Melakukan banyak perkara dalam satu juga menuntut Riz membahagikan masa sebaik mungkin.

“Ikutkan ketika membulatkan hati nak sambung pengajian, tawaran berlakon itu memang datang dengan banyak. Memang menguji diri sungguh.

“Tapi saya kena pilih apa yang perlu diutamakan. Macam sekarang pun nak terima tawaran berlakon saya kena pilih yang tak makan masa panjang dan ganggu jadual kuliah.

“Pada masa sama, saya juga kena utamakan tanggungjawab untuk perniagaan restoran yang diuruskan,” akhirinya.

 

























Kak Fas: Melihat pelbagai jenis menu yang disediakan membuat kita rabun mata sekejap nak pilih yang mana sebab semua ada dan nampak sedap. Kak Fas pilih menu dalam kategori Teppanyaki - New Zealand Lamb Teppanyaki. InshaAllah akan kembali!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan