APABILA 'TERSUNGKUR' JATUH DI SUDUT HAJARUL ASWAD...!
ALHAMDULLILAH! Syukur pada Allah SWT, tertunai sudah buat kali kedua pijak bumi tanah suci Makkah Al Mukaramah.
Namun kepergian dan rezeki dijemput Allah SWT kali ini agak istimewa apabila mendapat jemputan daripada sepupu Hj Abdul Rahman Mat Dali (gambar atas, dua dari kanan), penerbit yang mencetuskan fenomena industri filem Melayu apabila filem sulong penerbitan syarikatnya, Studio Kembara, ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’, meraih kutipan lebih RM96 juta, satu-satunya filem Melayu yang memecah rekod industri filem tempatan negara. Tahniah!
Kak Fas tumpang gembira atas kejayaan dimiliki Abdul Rahman yang lebih mesra Kak Fas panggil ‘Man’ di dalam keluarga 'Nuin' atau Kak Fas panggil Wan Chik. (gambar bersama sepupu dan anak saudara atas).
Sejak kembali pada 24 November 2022, setelah berada di Mekah dan Madinah bermula 13 November 2022, inilah baharu Kak Fas berpeluang mencatatkan pengalaman yang ditimba selepas hampir dua minggu kurang sihat akibat batuk yang berterusan menyebabkan anggota badan terasa lesu dan lemah.
Kini, alhamdullilah, badan semakin bertenaga dan batuk semakin hilang, Bab batuk ini, Kak Fas dah redha... telanlah ubat sehingga habis mana pun namun batuk tetap degil nak hilang sehingga ia akan hilang dengan sendirinya.. cuma cepat dan lambat sahaja.
Apa pun Kak Fas bersyukur, kepergian terus ke Jeddah selama lebih 8 jam melalui penerbangan Amal by Malaysia Airlines dan lebih kurang dua jam lagi menuju Mekah serta kemudiannya terus mengerjakan umrah selepas setengah jam ‘check in’ ke hotel lima bintang, ‘Swissotel Makkah’ memang terasa penat.
Pun begitu, semangat tetap membara walaupun badan seakan mahu sahaja ‘surrender’ namun akhirnya umrah pertama berjaya dilaksanakan sebelum badan rebah di tilam empuk Swissotel Makkah yang terletak kira-kira 50 meter sahaja dari Masjid Al Haram, berdekatan Menara Jam.
Hari pertama di tanah haram berlalu begitu cepat sehinggalah seterusnya selama enam hari Kak Fas sempat mengerjakan tiga kali umrah daripada empat kali yang sepatutnya tetapi disebabkan oleh kesihatan yang terganggu memadailah tiga kali umrah sebagai habuan kali ini.
Sepanjang enam hari berada di Mekah, rombongan seramai 35 orang yang dibawa Studio Kembara termasuk enam orang pelakon 'Mat Kilau' iaitu Shaharudin Thamby, Farah Ahmad, Ali Karimi, Siraj Alsagoff dan Ahmad Hilmi dijaga cukup rapi oleh Abdul Rahman dan pengurusannya.
Siapa yang sakit diberikan ubat malah setiap hari ada sahaja kejutan yang diberikan Man.
Selain makan malam ala picnic di Muzdalifah serta belanja makan yang tidak dijangka, rombongan tidak ketinggalan dibawa melawat tempat bersejarah baik di Mekah mahu pun ketika di Medinah seperti Jabal Rahman, Bukit Uhud, Mina, Jabal Nur, Taif dan persekitaran yang menjadi tumpuan pelancong ketika berziarah seperti di Muzium Alamoudi.
Namun yang paling tidak dapat Kak Fas lupa seumur hidup tentulah ketika berpeluang mendekati dan menyentuh Kaabah, memasuki Hijir Ismail, merapati sudut Yamani dan paling utama mencium Hajarul Aswad, yang menjadi rebutan ribuan jemaah.
Sebenarnya, Allah yang mendorong Kak Fas ke situ keseorangan tanpa ditemani sesiapa.
Walau pun ada ketikanya, dengan ribuan manusia yang mengelilingi Kaabah berhimpit dan menolak satu sama lain, Kak Fas tidak menjangka dapat akhirnya menghampiri Kaabah apabila tolakan demi tolakan membawa Kak Fas ke semua sudut utama rumah Allah SWT itu.
Disebabkan hanya sejengkal sahaja lagi tangan mencapai Hajarul Aswad, Kak Fas merelakan badan ditolak menghampirinya tetapi sebaik sahaja dapat mencecahkan bibir pada batu syurga itu, badan melayang ditolak jatuh.
Ya Allah! terduduk Kak Fas di sudut Hajarul Aswad sambil tangan meraba-raba mencari tempat bergantung. Nasib baik ada cangkuk di bahagian bawah sudut Hajarul Aswad untuk Kak Fas bergantung pegangan, Jika tidak sudah tentu maut dipijak ribuan manusia yang 'mengganas' di situ.
INI dia cangkuk (dalam bulatan) yang menyelamatkan Kak Fas dari tersungkur. |
Ketika itu, fikiran bercelaru… matikah aku di sini fikir hati.
Namun Allah SWT masih sayangkan Kak Fas. Beberapa minit terduduk dibawah akhirnya Kak Fas nampak tangan seseorang dari atas hendak membantu menarik Kak Fas untuk bangun keluar.
Baharulah dapat Kak Fas bernafas dan berdiri namun tetap dihimpit waima bag pula tersangkut dicelah-celah badan jemaah yang besar-besar belaka. Namun dengan sekuat tenaga Kak Fas dapat menarik tali bag yang tersangkut.
Akhirnya, keesokan harinya baru nampak bahagian lengan berdekatan bahu lebam sehitam-hitamnya.
Sehingga kini, setelah dua minggu lebamnya masih berbekas. Satu tanda yang akan dikenang buat selamanya.
Menitis air mata syukur bila dikenang peristiwa itu.
Bayangkan jika berlaku sesuatu trajedi, suami yang berada di hotel pun tidak ketahuan. Bila diberitahu memang bisinglah dia kerana Kak Fas berani pergi seorang. Terpaksalah diam sahaja, memang salah Kak Fas pun tidak memberitahunya terlebih dahulu apatah lagi bukan dirancang pun.
Tetapi takdir penentu segalanya, Kejadian sudah terjadi dan sehubungan itu juga ada terdetik rasa serik namun hati kembali tenang apabila timbul bisikan, ‘mungkin itu pertama dan terakhir kecuali dipermudahkan Allah SWT apabila dikehendakinya kelak’.
Mana tahu jika ada lagi rezeki ke tanah suci mungkin kah akan berulang peristiwa seumpama?
Jika ikutkan hati cukuplah sekali seumur hidup tetapi hanya Allah SWT maha Mengetahui….
Apa pun syukur alhamdullillah segalanya selamat.
Kenangan terindah tetapi 'bahaya' itu menjadi semangat agar segala doa yang dipohon mustajab dan mendapat restuNYA.
Doa yang sama dititip ketika berada di Rawdah, Masjid Nabawi pada lima hari berikutnya.
Perjalanan ke Medinah selama lebih kurang enam jam tidak terasa apabila bas rombongan ceria dipenuhi dengan tazkirah dan pesanan daripada mutaawih mahu pun Man sendiri.
Lebih gamat apabila pelawak dan pelakon Mazlan atau Lan Pet Pet sering mencuit hati semua dengan gelagat spontannya yang menghiburkan.
Tidak syak lagi anggota Senario ini menjadi tumpuan ramai jemaah yang mengenalinya. Bahkan kehadirannya bersama isteri, Ruby menghangatkan lagi suasana apabila sering bercerita, Ada sahaja topik yang menjadi bualannya.
Khabarnya, beliau mahu berhijrah dan membuka bisnes di tanah suci dan sedang merancang ke arah itu.
Good luck Kak Fas ucapkan kepadanya…. Lan memang bijak mencari peluang perniagaaan apatah lagi beliau popular dan dikenali ramai baik kelompok usahawan mahu pun orang kebiasaannya.
Penginapan di Hotel Ruve disertai makan 'full board' tiga kali sehari tidak kurang selesanya apatah lagi Masjid Nabawi pun berdekatan.
Dan apabila berada di Masjid Nabawi, tentulah tidak sah jika jemaah tidak masuk ke Rawdah mahu pun jemaah lelaki menziarahi Makam Raasullullah.
Bezanya, kali ini pengunjung ke Rawdah perlu terlebih dahulu memuat naik aplikasi 'Nusuk' untuk mendaftar dan memilih tarikh serta waktu lapang ke 'taman syurga' itu.
Kini, pengunjung tidak boleh sesuka hati masuk Rawdah seperti dahulu. Sekarang ni hanya yang dah berdftar melalui Nusuk dibenarkan masuk. Memang lebih mudah dan teratur tetapi jika belum mendaftar dan tarikh penuh memang sukar.
Jadi Kak Fas cadangkan terlebih dahulu buat 'temujanji' di apiikasi sebelum tiba ke Medinah iaitu sebaik sahaja anda dah tahu tarikh berada di Medinah.
Kak Fas membuat 'tempahan' semasa di lapangan terbang KLIA sebelum berlepas iaitu seminggu sebelum tarikh ketibaan di Medinah. Ketika itu yang ada kekosongan pun pada 20 November 2022 jam 11 malam.
Amaran!.... perlu diingat bila dah buka aplikasi dan daftar sebaiknya jangan cancel atau log out sebab itu akan menyebabkan pendaftaran terganggu dan anda akan terlepas tarikh apabila dibatalkan. Dah buka lebih baik biarkan sahaja sehingga tarikh tersebut.
Ramai juga yang terlepas peluang ke Rawdah gara-gara menutup aplikasi Nusuik atau pun tanpa sengaja 'Cancel' atau 'Log Out'.
Kesimpulannya, pada pandangan Kak Fas, melakukan umrah terlebih dahulu lebih baik. Bermakna lebih elok terus ke Jeddah untuk ke Mekah dan kembali ke Malaysia melalui penerbangan dari Medinah.
Iya lah, hati pun lega bila umrah terlaksana dan ziarah ke Medinah pun kemudiannya akan terasa lebih selesa bahkan nak bawa balik air zam zam pun lebih mudah dari Medinah berbanding kawalan ketat di lapangan terbang Jeddah memandangkan undang-undang ketika ini tidak membenarkan jemaah membawa pulang air zam zam sewenang-wenangnya.
Terima kasih Amani Travel yang membekalkan kepada setiap jemaah sebotol air zam zam seberat 3 kg seorang.
Kak Fas: Bersyukur dua botol kecil air zam zam yang disimpan dalam bag besar (kargo) pun terlepas, rezeki untuk dirasai kaum keluarga. Semoga diberikan kesempatan lagi ke Mekah bersama famili. InsyaAllah!
Artikel berkaitan boleh baca DI SINI
#UmrahZiarah #StudioKembara #MatKilauKebangkitanPahlawan #Mekah #Medinah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan