8 PROGRAM KHAS TUTUP KALENDAR 2022 DI TV2
HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi, tahun 2022 akan melabuhkan tirainya bagi menyambut Tahun Baru 2023.
Dan sepanjang musim tengkujuh ini, perkara terbaik dilakukan semestinya mengeratkan silaturrahim bersama keluarga di rumah apa tah lagi pada musim cuti sekolah anak-anak yang paling gembira apabila ibu bapa ada bersama mereka di rumah.
Jika nak bercuti pun eloklah pilih kawasan berdekatan yang tidak berisiko dilanda banjir namun apabila berada di rumah atau di hotel tentulah kaca tv boleh menjadi peneman setia ya tak apatah lagi jika program-progam ditayangkan menarik.
Sehubungan itu, sebagai penutup tahun 2022 yang penuh suka duka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 mengajak penonton berhibur dengan lapan tayangan program khas pelbagai genre termasuklah filem-filem dari beberapa negara.
Bermula semalam pada Hari Krismas, 25 Disember, anda pasti sudah menyaksikan filem '96' yang bersiaran pukul 9 malam.
Dan mulai hari ini, ada empat lagi filem pelbagai bahasa disediakan untuk tontonan seisi keluarga tau meliputi “Total Dhamaal” (26 Disember, 9.00 malam); “SPL II – A Time for Consequencess” (29 Disember, 9.00 malam); “Dreambuilders” (30 Disember, 9.00 malam) dan “Mr.Zoo: The Missing VIP” (30 Disember, pukul 10.30 malam.
Menanti anda termasuklah dua telemovie iaitu “Jalan Pulang” pada 27 Disemberi, pukul 9.00 malam, dan “Portal” (28 Disember, 9.00 malam) lakonan Zamarul Hisham dan Aleeza Shadan.
Telemovie “Jalan Pulang” berkongsi cerita Rayyan dan keluarga baru berpindah ke kampung. Sikap Rayyan yang selalu leka dengan gajetnya menjadikan dia sombong dan tidak suka berkawan.
Abu pula seorang anak yatim tetapi ceria merupakan penduduk asal kampung itu. Abu bersama Pian dan Gopal ingin berkawan dengan jiran barunya Rayyan tetapi tidak dilayan.
Suatu hari, mereka semua menyertai Kem Bina Semangat di mana Rayyan, Abu, Pian, Gopal telah sesat di hutan dan terpaksalah mereka bekerjasama untuk selamatkan diri dan keluar daripada hutan belantara itu. Lakonan anak-anak muda seperti Adam Darwish, Razfareyza Fenge, Izz Anas Muzamil, Navien, Puteri Alani dan Thaqeefah, mereka terpaksa bekerjasama untuk keluar.
Sehari seleps itu boleh layan pula telemovie “Portal” lakonan Zamarul bersama Aleeza Shadan, Zali Rusly, dan Nur Qistina Raisah.
Sesuai dengan musim cuti persekolahan telemovie ini turut mengisahkan semasa percutian bersama keluarga, empat sekawan telah menjumpai portal yang membawa mereka ke alam fantasi.
Selain itu, tonton filem Tamil bertajuk “96” yang menceritakan kisah dua kekasih sekolah menengah bertemu di perjumpaan yang diadakan semula selepas 22 tahun dan mereka mengenang masa lalu ketika bersama.
Lakonan mantap Vijay Sethupathi, Adithya Bhaskar dan Trisha Krishnan, filem romantik drama ini mrmpunyai sejarah yang membanggakan dengan memenangi beberapa anugerah di luar negara antaranya Norway Tamil Film Festival, Filmfare serta Asiavision, Asianet dan Vanitha Film Award.
Beralih dari Tamil, tidak sah jika tiada filem Bollywood. Kali ini ditampilkan filem gandingan pelakon popular Ajay Devgan, Anil Kapoor bersama Madhuri Dixit iaitu ‘Total Dhamaal’.
Membawa kisah mengenai seorang lelaki yang bernama Guddu merupakan seorang penipu kecil-kecilan. Guddu bersama dengan rakannya, Johnny mendapat tip bahawa sejumlah wang besar sedang ditukar di bilik hotel. Apa yang berlaku? Tunggu siarannya pada 26 Disember.
Penggemar filem aksi penyiasatan pula, usah ketinggalan menyaksikan filem Cina, “SPL II – A Time for Consequencess” lakonan berkesan Tony Jaa, Jing Wu, Simon Yam dan Jin Zhang.
Ia membawa kisahh Kit, seorang pegawai polis yang sedang dalam operasi penyamaran dihumban ke dalam sebuah penjara yang meragukan di Thailand.
Sewaktu dipenjarakan, Kit berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan organ yang didalangi oleh seorang warden penjara tersebut. Lalu apakah kesudahannya? Kenalah tunggu pada 29 Disember nanti.
Tidak ketinggalan untuk kanak-kanak disediakan filem animasi komedi kekeluargaan dari Denmark bertajuk “Dreambuilders” arahan Kim Hagen Jensen.
Mengetengahkan plot watak Minna, seorang gadis muda telah menyalahgunakan keupayaan barunya untuk mencipta dan mengawal impian orang lain. Semuanya kerana dia mahu memberi pengajaran terhadap adik tirinya yang suka menyusahkannya.
Kesudahannya, nantikan pada 30 Disember 2022, jam 9 malam.
Beralih ke filem Korea Selatan, “Mr.Zoo: The Missing VIP” lakonan Sung-Min Lee, Seo-Hyeong Kim, dan Bae Jeong-Nam, tonton pula kisah seorang Ejen Keselamatan Negara dan Zoofobia Tae-ju tiba-tiba menerima kemampuan untuk bercakap dengan haiwan selepas kemalangan.
Alam-alam yang mereka masuk ini terbentuk oleh mereka sendiri yang mencerminkan ketakutan, harapan dan impian masing-masing.
Macam menarik kan? Nak tonton tunggu tayangannya pada hari yang sama selepas ‘Dreambuilders’ pada pukul 10.30 malam.
Mengakhiri kalendar 2022, nantikan kemuncak sebelum menjelangnya tahun baharu 2023 bersama penyanyi nombor satu negara, Dato Seri Siti Nurhaliza melalui “Konsert Minggu Ini Siti Nurhaliza” pada 31 Disember ini, pukul 9.00 malam.
Dengan vokalnya yang mantap dan hebat. konsert kali ini membawakan seleksi hits beliau sepanjang penglibatannya dalam industri muzik.
“Konsert Minggu Ini bersama Siti Nurhaliza’ iurut mengundang Kmy Kmo dan Luca Sickta sebagai tetamu jemputan.
Pendek kata, selepas Krismas sepanjang seminggu menjelang Tahun Baru, penonton tidak akan kesepian tetapi masa boleh dipenuhi dengan keluarga menonton filem-filem kegemaran masing-masing dalam pelbagai genre dan bahasa.
Tepuk dada tanya hati mana satu nak tonton? Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023!
#HariKrismas #Tv2 #KmyKmo #LucaSickta #KonsertMingguIniSitiNurhaliza #Filem
Tiada ulasan:
Catat Ulasan