STUDIO KEMBARA TEROKAI DUNIA PERMAINAN DIGITAL, LABUR RM1.3 JUTA JADI RAKAN KONGSI UINIVRSE
ATAS kehendak untuk memperkasakan industri seni ke arah hiburan bermanfaat, syarikat perfileman tempatan, Studio Kembara mengambil langkah proaktif dengan melabur lebih RM1.3 juta bagi merancakkan lagi sektor permainan digital dan ‘virtual realiti’ yang menjadi kegemaran anak-anak muda masa kini.
“Kami bekerjasama dengan syarikat Univrse Interactive Sdn Bhd sebagai rakan kongsi baharu bagi tujuan pembangunan dan penghasilan permainan digital mulai tahun 2023,” ujar Pengarah Urusan Studio Kembara. Hj Abdul Rahman Mat Dali pada majlis menandatangani kerjasama bersama Univrse dan Studio Kembara di ibu pejabat Beyond4, Menara HLX, Kuala Lumpur baru-baru ini.
MoU dimeterai bersama Ketua Pegawai Eksekutif Univrse, Mohd Hezri Amir Latif sambil disaksikan oleh Penerbit Studio Kembara Shahruddin Mat Dali serta Pengarah Beyond4 Sdn Bhd, Cheong Hom Tai.
Untuk rekod, Studio Kembara mencipta sejarah apabila filemnya,"Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' yang menelan kos perbelanjaan RM8 juta mendapat pulangan berbilang kali ganda sehingga berjaya meraih lebih dari RM96 juta sekali gus mencipta sejarah satu-satunya filem Melayu yang memecah rekod pungutan terpaling tinggi dalam industri perfileman tempatan.
Manakala rakan kongsinya, Univrse merupakan syarikat yang tersenarai pendek di antara 15 teratas dari 600 syarikat permula (start-up) dan sedang melalui fasa kedua ‘My Startup Pre Accelerator Programme’ malah memenangi tempat ketiga di Hong Leong Bank Hackaton tahun 2022.
“Dengan kepakaran dan idea kreatif daripada pihak Univrse serta konten daripada Studio Kembara, saya yakin gabungan ini dapat menghasilkan beberapa produk hiburan bermanfaat untuk ‘gamers’,” tambah Abdul Rahman yang mensasarkan mampu mencipta permainan bersandarkan budaya serta seni mempertahankan diri tradisional melibatkan penggunaan senjata-senjata Melayu seperti keris, sundang, kerambit dan banyak lagi dipercayai belum diketahui ramai.
Menurut Rahman, dengan wujudnya permainan produk hiburan bermanfaat ia bukan sahaja satu hiburan yang menjadi mainan santai tetapi pengisian di sebaliknya mampu memberi ilmu berbanding dengan permainan yang tiada mesej di sebaliknya.
“Cara yang akan kita bangunkan dapat mendidik anak-anak muda mengenali budaya nenek moyang mereka sekali gus belajar tatasusila dan sopan santun budaya Timur khususnya orang Melayu,” jelas Abdul Rahman sambil akur golongan muda menghabiskan masa 5 jam sehari dalam dunia metaverse.
HEZRI menerima cenderahati daripada Studio Kembara, Abdul Rahman dan Shaharuddin.
Berkongsi lanjut, Mohd. Hezri yang melahirkan rasa terujanya dengan kerjasama di antara syarikatnya dan Studio Kembara membayangkan dapat menghasilkan produk hiburan seperti yang dikehendaki selewat-lewatnya pada hujung 2023.
“Buat permulaan kami akan menghasilkan beberapa produk awalan sebelum mengakhirnya dengan sesuatu yang lebih canggih dan menepati kehendak Studio Kembara,” ujar Hezri mensasarkan dapat memasarkan produk ciptaan mereka ke pasaran global dengan bantuan syarikat Beyond4.
ABDUL Rahman menyampaikan cenderahati dari Studio Kembara kepada Cheong Hom Tai.
Mengulas lanjut, Cheong Hom Tai memberi jaminan akan membantu dan menyokong usaha Univrse dan Studio Kembara untuk memperkenalkan budaya serta seni mempertahankan diri Melayu kepada dunia luar.
“Kami akan mengusahakan agar produk yang telah siap kelak diketengahkan ke peringkat antarabangsa sekali gus memperkenalkan permainan seni mempertahankan diri Malaysia kepada dunia,” tambah Hom Tai.
Kak Fas: Dengan kejayaan kerjasama ini kelak, tidak syak lagi Studio Kembara mencipta satu lagi fenomena dan sejarah tersendiri. Kali ini dalam bidang teknologi digital yang kini semakin hari semakin pesat membangun. Tahniah!
#StudioKembara #Advrse #PermainanDigtital #VirtualRealiy #MatKilau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan