Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PERASMIAN TBG LAMBANG WAJAH BAHARU PENGANGKUTAN AWAM MALAYSIA!


TERMINAL Bersepadu Gombak (TBG)
, sebuah projek mercu tanda pengangkutan awam darat bernilai RM307.4 juta, yang dibangunkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT),  dijangka akan menjadi hab pengangkutan darat utama yang menghubungkan bas ekspres, LRT Laluan Kelana Jaya, dan bakal berintegrasi dengan Stesen ECRL Gombak apabila ia siap kelak.


Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, TBG bukan sekadar tempat menaik dan menurunkan penumpang, tetapi merupakan sebuah kemudahan bertaraf antarabangsa yang melambangkan wajah baharu pengangkutan awam Malaysia.


“Terminal ini bukan sekadar tempat naik dan turun bas, tetapi sebuah kemudahan bertaraf antarabangsa yang menjadi simbol wajah baharu pengangkutan awam Malaysia. Dengan kemudahan moden, sistem tiket berpusat, serta pengalaman setaraf lapangan terbang, TBG adalah bukti kesungguhan kita memperkukuh pengangkutan awam yang inklusif dan mesra rakyat selaras dengan agenda Malaysia MADANI,” jelas Anthony Loke pada majlis pelancaran TBG yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim pada , hari ini, 29 September 2025.




Dengan kedudukan strategik sebagai ‘gerbang’ utama ke Pantai Timur Semenanjung, TBG diramal akan memperkukuh kesalinghubungan antara Koridor Barat dan Koridor Timur negara, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau Pantai Timur.


Sejak mula beroperasi pada 5 Mac 2025, TBG telah menempatkan 30 pengendali bas ekspres dengan purata 3,000 trip perjalanan sebulan malah terminal ini berkeupayaan menampung sehingga 700 perjalanan bas sehari, yang melibatkan kira-kira 25,000 penumpang.


Projek ini dibangunkan melalui model Build-Lease-Maintain-Operate-Transfer (BLMOT) dan diuruskan oleh syarikat konsesi TEGAS untuk tempoh 25 tahun sebelum diserah milik semula kepada Kerajaan.


Ia turut dilengkapi dengan Central Ticketing System (CTS) yang telus, Terminal Operation System (TOS) masa nyata, serta reka bentuk berkonsepkan Transit-Oriented Development (TOD) yang menggabungkan elemen pengangkutan, perniagaan, kediaman dan gaya hidup. 



“Harapan kita ialah agar TBG bukan sahaja berfungsi sebagai hab pengangkutan moden, tetapi juga sebagai model pembangunan mampan yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon negara,” tambah Anthony Loke.


Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan komited untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, berdaya saing dan mesra rakyat demi kesejahteraan negara. 



Sementara itu, Anwar Ibrahim dalam platform facebooknya berkongsi harapan agar kewujudan prasarana serba lengkap ini menuntut amalan budaya bersih dan penyelenggaraan yang berterusan, bukan sahaja daripada pihak pengurusan, malah juga daripada para pengguna.


“Moga pembangunan ini membawa limpahan manfaat kepada warga Gombak, memperkasa kehidupan mereka, dan seterusnya menjadi salah satu tunjang penting dalam jaringan pengangkutan awam negara,” tulisnya.



#TerminalBersepaduGombak #Pengangkutan #MOT #TEGAS #CTS #TOS #TOD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan