Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PERDANA BTR FC LANCAR JERSI BAHARU, KUKUHKAN KEDUDUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA


DARI
sebuah kelab komuniti yang ditubuhkan pada tahun 2024, Perdana BTR FC kini semakin mengukuhkan kedudukannya dalam bola sepak wanita tanah air. 


Kejayaan pasukan wanita ini menjuarai Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2024 pada penampilan sulung menjadi bukti kemampuan kelab ini bergerak ke tahap lebih tinggi.


Terbaharu, Kelab Bola Sepak Perdana BTR melakar satu lagi pencapaian penting apabila mengadakan Majlis Pelancaran Jersi 2025 bertempat di Decathlon MyTown Kuala Lumpur baru-baru ini.


Majlis  disempurnakan oleh Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri (gambar bawah, tengah) dengan kehadiran Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Kelab Bola Sepak Perdana BTR, Mohamad Mahathir.



Pelancaran ini turut membawa berita gembira apabila Perdana BTR mengumumkan penajaan rasmi daripada Decathlon, CRSC Group dan Rimbun Gabungan Sdn. Bhd. 


Kehadiran penaja-penaja ini bukan sahaja mengukuhkan lagi jenama kelab, malah menjadi tonggak penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan bola sepak komuniti di kawasan Bandar Tun Razak.



Dalam ucapan perasmian, Azman Abidin menzahirkan harapan agar kelab ini terus menjadi wadah pembangunan bakat tempatan. 


“Saya berharap Kelab Bola Sepak Perdana BTR dapat terus bergerak ke hadapan dan menjadi pemacu pembangunan bola sepak di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak. Kita ingin melihat lebih ramai bakat tempatan dilahirkan melalui program dan aktiviti di peringkat akar umbi, sekali gus membuka peluang untuk pemain-pemain ini melangkah ke tahap yang lebih tinggi.” ujar beliau.



Sementara itu, Mohamad Mahathir, menegaskan bahawa hala tuju kelab tidak hanya tertumpu kepada kejayaan pasukan wanita, tetapi juga kepada pembangunan akar umbi. 


“Kelab Bola Sepak Perdana BTR yang dinaungi oleh  Puan Nurul Izzah akan terus merancang dan melaksanakan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi di kawasan Bandar Tun Razak. Usaha penjenamaan kelab yang konsisten turut berjaya menarik minat para penaja untuk bersama-sama membangunkan pasukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” akhiri Mohamad Mahathir.


Untuk rekod, Perdana BTR merupakan sebuah kelab bola sepak komuniti yang ditubuhkan pada tahun 2024, berpusat di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.



Bagi musim 2025, Perdana BTR FC terus menaruh harapan besar apabila pasukan wanita akan kembali beraksi dalam KLWSL, selain merancang penyertaan dalam Liga Futsal Kebangsaan (Kategori Wanita) yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober ini.


Pelancaran jersi baharu pula menjadi lambang semangat dan identiti pasukan, mencerminkan falsafah kelab yang berani, fokus, dan tidak mudah mengalah. 


Reka bentuk baharu ini diharap menjadi simbol kekuatan serta kesatuan dalam setiap perlawanan yang bakal ditempuhi.


Dengan sokongan padu penaja, semangat pemain serta hala tuju yang jelas, Perdana BTR FC dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi antara pencabar utama bola sepak wanita bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah di peringkat kebangsaan. 



#PerdanaBTRFC #Bolasepak #BandarTubRazak #LigaFutsalKebangsaan #fyp


Tiada ulasan:

Catat Ulasan