'MOKA POT CAFE': DARI AKAR KOPI ACEH KE HARUMAN KEJAYAAN DI AMPANG!
DI tengah hiruk-pikuk kota Ampang, terselit sebuah kafe baharu yang memancarkan aura tenang dan aroma kopi yang menggamit nostalgia.
Di situlah terletaknya 'Moka Pot Café', hasil ketabahan dan keberanian Yulia A. Hamid, wanita berketurunan Aceh, Indonesia tetapi dilahirkan di Malaysia, yang membina impiannya dari bawah dengan penuh semangat.
Tidak hairanlah raut wajahnya tiada iras wanita Indonesia apatah lagi percakapannya pun tiada slanga Indonesia tetapi lebih 'lidah Melayu', kata orang.
'Moka Pot Cafe' diasaskan dengan modal RM100,000 untuk pengubahsuaian sahaja tidak termasuk aset yang tersedia hasil titik peluh sendiri tanpa sebarang pinjaman bank, Yulia mengakui perjalanan membangunkan kafe ini penuh cabaran.
“Saya buka kafe ini dengan duit simpanan sendiri. Tiada pelabur, tiada bantuan. Saya bergolok-gadai, jual apa yang ada — asalkan impian ini jadi kenyataan,” katanya yang mula berniaga produk kecantikan dibawah jenama Nadhly Cosmetic dan perniagaan bunga hiasan di bawah Sofia Florist bersama suami.

KAK Fas (kiri) bersama teman blogger, Azura (kanan sekali) bergambar kenangan di ruang pameran produk dari Aceh bersama Yulia dan tetamunya, Fatimah.
Cerita Yulia, idea menubuhkan 'Moka Pot Café' tercetus ketika tempoh sukar pandemik COVID-19.
Pun begitu, sebelum itu, Yulia memberitahu beliau mula berkecimpung dalam dunia perniagaan pada tahun 1990 dengan membuka empat buah kedai runcit sebelum berkembang ke dunia perniagaan kecantikan dan pemakanan di mana keseluruhannya beliau mempunyai enam buah kedai perniagaan.
Namun siapa sangka apabila negara dilanda pandemik COVID-19, semua kedai dan cawangannya terpaksa gulung tikar disebabkan 'lock down'.
“Masa PKP, saya mula jual lasagne secara dalam talian dan ada juga pelanggan tetap yang tidak ketinggalan membeli kopi yang saya jual kat rumah sahaja. Ramai yang suka kopi Aceh sebab aromanya kuat dan rasanya lain daripada biasa. Dari situlah saya dapat semangat untuk buka kafe sendiri selepas COVID-19 berkakhir, ” jelasnya ketika ditemui pada majlis pra pelancaran ‘Moka Pot Cafe’ baru-baru ini.
Sebagai ahli Peniagawati, ramai di antara tetamu yang hadir terdiri daripada rakan dan ahli ahli persatuan termasuk isteri kepada produser terkenal, Dato Yusof Haslam iaitu Datin Fatimah Ismail.
Menurut Yulia, sebelum ini beliau mempunyai kafe seumpama yang dinamakan 'Mokapot_KL' di Taman Melawati selama tiga tahun sebelum berpindah ke Ampang.
Ceritanya lagi, nama “Moka Pot” lahir daripada perjalanan awalnya yang mula belajar membuat kopi menggunakan Moka pot, alat penyeduh kopi klasik berbentuk cawan yang menjadi simbol permulaan kecilnya.
“Saya mulakan segalanya dengan Moka pot di dapur rumah. Dari situ datang nama Moka Pot’ — tanda saya bermula dari bawah,” kenangnya tersenyum.
Menariknya, sebelum memutuskan untuk menggunakan nama sama, Yulia pernah bercadang menamakan kafe baharunya sebagai “Daun Pisang Twin Tower”, kerana dari celah kedainya di Taman Putra Sulaiman, Ampang itu jelas terserlah pemandangan indah Menara Berkembar Petronas dari kejauhan.

YULIA menunjukkan pemandangan Bangunan Berkemnar Petromas dicelah-celah daun pisang yang menghadap kedainya.
“Setiap kali saya berdiri depan kedai, saya nampak Twin Tower di celah-celah bangunan yang dilindungi tanaman dedaun pisang dilereng bukit. Ia jadi lambang harapan saya untuk terus tinggi dan bersinar seperti menara itu,” katanya penuh makna.
Kini, ''Moka Pot Café menjadi tumpuan baharu untuk pencinta kopi yang mencari suasana santai dan eksklusif bagi penghuni di kawasan tersebut.

RUANG dalaman yang mampu memuatkan kira-kira 20 orang untk acara berasingan.
Dengan kapasiti yang mampu memuatkan pelanggan sehingga 50 orang, kafe ini turut dibuka untuk tempahan majlis kecil seperti sambutan hari lahir, perjumpaan keluarga, atau sesi korporat waima ia mempunyai ruang tertutup yang bercermin.
Antara menu minuman istimewa yang menjadi tarikan utama ialah Kopi Terbalik, Kopi Aceh Asli, dan Kopi Wine tanpa alkohol — minuman unik hasil fermentasi biji kopi pilihan yang memberikan rasa lembut dan aroma mendalam tanpa sebarang kandungan alkohol.
“Jika nak rasa kopi yang dihidangkan terbalik dan bagaimana meminumnya sila lah ke Moka Pot Cafe kerana hanya di sini terdapat minuman ‘kopi khop', ujar Yulia.
Melihat pada menu yang tersedia, ‘Kopi Khop' yang unik itu berharga RM10 malah turut tersedia pelbagai perisa kopi lain seperti dalam kategori Matcha, Cokelat mahu pun kopi berasal Jepun yang dinamakan 'Houjicha'. Rabun juga mata nak memilih yang mana sesuai tekak sebab semuanya macam menarik belaka.
Apa lagi tentu Kak Fas mahu mencuba 'Kopi Khop' dan belajar cara meminumnya di mana untuk mengeluarkan kopi daripada bawah cawan, ia harus ditiup menggunakan straw.
Seronok pula mencubanya, memang satu kelainan dan begitu juga kopi daripada Aceh yang dinamakan Aceh Gayo Wine Coffee (tanpa alkohol). Yang ini Kak Fas belum sempat mencuba...
Pun begitu, memandangkan Kak Fas pernah beberapa kali ke Aceh waima menantu pun berasal dari sana, kemungkinan pernah merasainyaa walau pun di sana ia tidaklah disebut ‘Kopi Wine’ al maklum Aceh kan digelar ‘Serambi Mekah’, agak tidak sesuai meletakkan nama ‘wine’.
Di sini pun jika sekadar ‘gimik’ barangkali ok sama seperti nama 'kopi ganja' yang popular di negeri kelahiran Kak Fas di Ipoh.

YULIA bersama anaknya, Nadhira dan Sofia.
Berkongsi lanjut, Yulia memberitahu, dalam menguruskan kafe, beliau dibantu oleh dua anak perempuannya, Nadhira Ilyana Ridwan, 28, dan Sofia Ridwan, 20 tahun yang masih menuntut di Universiti Teknologi Petronas (Perak) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia.
Memandangkan Sofia sedang bercuti jadi dia membantu kakaknya, Nadhira seorang lulusan Sarjana Muda dalam Keusahawanan dari Universiti Antarabangsa Malaya Wales.
“Anak-anak saya banyak tolong. Kami buat semua bersama-sama, dari bancuh kopi sampai urus media sosial. Mereka saksi perjuangan saya sejak mula,” tambah Yulia sambil memaklumkan Moka Pot Cafe diserahkan kepada Nadhira sebagai Pengarah dan pemilik bersama.
Dengan semangat yang tidak pernah pudar, Yulia kini menyasarkan pendapatan RM50,000 sebulan — satu impian besar yang ingin dicapai melalui kualiti, layanan mesra dan keaslian rasa kopi Aceh yang dibawanya.
“Saya tak kejar kemewahan, saya kejar kepuasan pelanggan. Bila orang datang balik sebab rindu rasa kopi kami — itu kemenangan sebenar,” katanya menutup bicara.
‘Moka Pot Cafe’ yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam bukan sekadar menghidangkan minuman dan makanan tetapi turut dihiasi dengan ruang pameran produk-produk daripada Aceh seperti pakaian pengantin, perhiasan, kosmetik dan sebagainya yang boleh ditempah secara dalam talian.
Pendek kata, singgah di 'Moka Pot Cafe' umpama ‘menjamu mata’ sekali gus dan Kak Fas percaya pasti ada yang memikat jiwa untuk membelinya, .setidak-tidaknya membawa pulang juadah yang tersedia seperti rojak Aceh, Croffle dan pelbagai jenis pastri ‘home made’ yang dimasak seperti masakan air tangan sendiri, cukup rasa, cukup segalanya!
Untuk menempah atau pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 013 3086898!
#MokaPotCafe #KopiAceh #TamanPutraSulaimanAmpang #Makanan #AcehGayo







Tiada ulasan:
Catat Ulasan