Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SEPOTONG KEK, SEJUTA HARAPAN, AJWA BAKERY-ADINA CHARITY CIRCLE BERSATU DEMI MEMBANTU KANAK-KANAK KANSER!


Di SEBALIK
sepotong kek yang manis, tersembunyi niat yang jauh lebih besar daripada sekadar rasa — ia adalah lambang kasih, harapan, dan perjuangan. 


Inilah yang cuba disampaikan menerusi program “Care Cake - Hidangan Yang Membawa Harapan”, kolaborasi istimewa antara Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle.


Inisiatif ini bukan sekadar projek jualan amal, tetapi gerakan komuniti yang lahir daripada keikhlasan untuk membantu kanak-kanak pesakit kanser di seluruh negara. 


Melalui ‘Care Cake’, 30% daripada setiap hasil jualan kek akan disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina Charity Circle — memberi sinar kepada mereka yang sedang bertarung nyawa di hospital.


Diasaskan pada tahun 2021, Adina Charity Circle kini menjadi antara pertubuhan paling aktif dalam membantu kanak-kanak pesakit kanser di Malaysia. 


Dengan kekuatan 24 sukarelawan tetap, mereka menyalurkan bantuan bulanan seperti lampin, susu khas bernilai RM100 hingga RM300 seorang serta hadiah kecil untuk menceriakan anak-anak ini.


Namun, kerja kebajikan bukanlah jalan yang mudah.


“Kami pernah lawat seorang anak umur tiga tahun yang menghidap kanser otak. Kali pertama kami jumpa, dia masih berlari-lari. Kali kedua kami datang, dia dah lemah. Belum sempat kami sampai rumah, kami terima berita dia dah pergi. Itu antara momen yang sukar dilupakan,” kongsi Pengerusi Adina Charity Circle, Nurdieana Mohd Mardzi ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Adina Charity Circle dan Ajwa Bakery Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Dahlia Nadzmi di Kota Damansara pada pagi Sabtu, 4 Oktober 2025.


DAHLIA (kiri) bersama Nurdieanna memperlihatkan MoU yang telah ditandatangani.


Turut hadir Timbalan Pengerusi Adina Charity Circle, Siti Marieyam Wearzana,  Setiausahanya, Farah Mardzi dan Bendaharinya, Norazura MS. 


Sementara itu, berkongsi mengenai MoU yang dimeterai, Dahlia memaklumkan kolaborasi yang ditandatangani akan berlanjutan sehingga hujung tahun 2025.


“Kami selalu lihat bagaimana makanan, terutama kek, menyatukan keluarga. Jadi bila Adina datang dengan misi membantu pesakit kanser di kalangan kanak-kanak, kami terus setuju untuk buat sesuatu bersama. Kek ini bukan sekadar hidangan, tapi simbol kasih dan keprihatinan,” ujar Dahlia.



Menurutnya, setiap paket ‘Care Cake’ berperisa tiga jenis dijual pada harga RM22 (atau RM40 bagi pembelian dua paket), dan boleh didapati di semua cawangan Ajwa Bakery termasuk di Taman Melawati. 

Program ini disasarkan untuk penjualan sekurang-kurangnya 5,000 paket kek dalam tempoh tiga bulan di mana 30% daripada hasil jualan akan disalurkan kepada tabung yang diusahakan Adina Charity Circle.


Sehubungan itu juga, melalui ‘Care Cake’, Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle membuka peluang kepada orang ramai untuk beramal dengan cara paling mudah — menikmati kek sambil menyumbang kepada tujuan murni.


“Kita boleh bantu bukan hanya dengan duit. Melalui makanan, sukan, seni, apa sahaja yang menggembirakan pun boleh jadi saluran kebajikan,” sambung Nurdieana.


Dalam pada itu, Adina Charity Circle turut berharap agar kerajaan dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus terhadap bantuan nutrisi dan sokongan psikososial kepada keluarga pesakit kanser. 


DARI kiri: Siti Mariam, Dahlia, Nurdieana dan Farah.


Kos rawatan dan keperluan harian seperti susu khas dan lampin pakai buang semakin meningkat, dan banyak keluarga kini bergantung kepada sumbangan awam untuk terus bertahan.


“Kita selalu bercakap tentang inovasi dan kemajuan, tapi ukuran sebenar kemanusiaan adalah bagaimana kita menjaga mereka yang paling lemah,” kata Nurdieana dalam nada penuh makna.


Pendek kata, program 'Care Cake' bukan sekadar kempen amal — ia adalah peringatan bahawa setiap kebaikan, walau kecil, mampu membawa perubahan besar.



Sesungguhnya, setiap kali seseorang membeli kek ini, mereka bukan sekadar menikmati manisan, tetapi turut menyumbang kepada perjuangan anak-anak kecil yang berjuang dengan semangat luar biasa.


Kerana di sebalik rasa manis itu, ada harapan yang sedang tumbuh — dan setiap potongan kek menjadi doa agar tiada lagi anak yang perlu berjuang sendirian.


Untuk maklumat lanjut kepada yang ingin menyumbang boleh menghubungi talian

019-980 7181 (Farah-Setiausaha) atau emel ke adina.charitycircle@gmail.com  mahu pun ikuti laman sosial Facebook/Instagram/TikTok/Threads/X: @adinacharitycircle.



#AdinaCharityCircle #AjwaBakery #PesakitKanserKanakKanak #Sumbangan #fyp





Tiada ulasan:

Catat Ulasan