JEJAK SENI BUDAYA MALAYSIA MADANI 2025 WARNAI DATARAN KERIS, ALOR GAJAH!
ALOR GAJAH - Jajaran keindahan seni, irama gendang tradisional dan warna-warni warisan Malaysia telah menghiasi Dataran Keris, Alor Gajah, apabila program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2025 menutup tirainya dengan penuh gemilang.
Program lima hari yang berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober 2025 ini telah berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Alor Gajah merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Haji Adly Zahari.
Edisi kedua penganjuran ini merupakan kesinambungan kejayaan edisi pertamanya di Kuala Lumpur tahun lalu.
Tahun ini, Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia (PABWAM), dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta, memilih Melaka sebagai tuan rumah bertepatan dengan statusnya sebagai negeri bersejarah dan mercu tanda pelancongan budaya negara.
Program ini menampilkan pelbagai pengisian yang mempamerkan keindahan seni, budaya dan warisan Malaysia.
Antara tarikan utama festival ini ialah “Jom Ngap Festival”, iaitu festival makanan yang menghimpunkan pelbagai cita rasa tempatan dari seluruh Malaysia.
Acara ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah turut memberi peluang kepada pengusaha makanan dan usahawan belia tempatan untuk memperkenalkan produk mereka.
Majlis perasmian diserikan dengan persembahan istimewa melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tarian kebudayaan Melayu oleh kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Tangga Batu, tarian klasik India, tarian Portugis tradisional, serta persembahan nyanyian daripada alumni ASWARA.
Kesemua persembahan ini bukan sahaja memukau penonton, tetapi turut menjadi simbol keharmonian serta kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang Malaysia Madani.
Menurut Timbalan Presiden PABWAM, Nor Zaily Hasjadi, kejayaan penganjuran ini membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan domestik.
“Kami amat berbesar hati melihat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, pelancong dan komuniti seni. Lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang lima hari, sekali gus membuktikan minat tinggi rakyat terhadap acara berteraskan budaya. Jejak Seni Budaya Malaysia Madani bukan sekadar festival seni, tetapi satu platform penyatuan dan penghargaan terhadap identiti bangsa,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa edisi seterusnya akan diteruskan di negeri Perak pada tahun hadapan, dengan skala yang lebih besar dan pengisian yang lebih pelbagai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Edisi di Perak nanti akan membawa pembaharuan dari segi konsep dan pengisian bagi memperluas jaringan seni budaya di seluruh negara. Kami yakin ia akan menjadi satu lagi mercu tanda dalam kalendar pelancongan budaya Malaysia,” tambah beliau.
Program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani kini diiktiraf sebagai antara inisiatif budaya paling berimpak tinggi di peringkat nasional yang berjaya menggabungkan elemen pelancongan, pendidikan, warisan dan ekonomi kreatif.
Ia terus menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang bangsa serta simbol komitmen negara dalam melestarikan warisan seni Malaysia untuk generasi akan datang.
#JejakSeniBudayaMalaysiaMadani2025 #MelakaBandarBersejarah #Kebudayaan







Tiada ulasan:
Catat Ulasan