PAVILLION EKSPO DUNIA HAKKA JADI TUMPUAN BAHARU DI MIBS 2025!
PAMERAN Jenama Antarabangsa Malaysia edisi ke-20 (MIBS 2025) menandakan satu tahun yang amat bermakna setelah berjaya dianjurkan selama 19 tahun berturut-turut.
Tahun ini, warisan budaya dan semangat keusahawanan masyarakat Hakka bakal mendapat perhatian dunia apabila Pavilion Ekspo Dunia Hakka diperkenalkan buat julung kalinya sebagai segmen istimewa dalam penganjuran MIBS 2025, yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Disember 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kembalinya edisi tahun ini menandakan dua dekad penganjurannya sebagai salah satu platform perdagangan dan penjenamaan antarabangsa terkemuka di rantau ini.
Penganjuran kali ini dijangka menjadi yang terbesar, menghimpunkan penyertaan pelbagai negara dengan lebih 500 reruai pameran disediakan, mewakili pelbagai sektor industri dan jenama global.
Anjuram bersama oleh Malaysia Promas International Business Society (PROMAS); Dewan Pembangunan China ASEAN Malaysia, Persekutuan Persatuan Barangan Am & Pakaian Am Tekstil Malaysia serta Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), ia turut menerima pengiktirafan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Hakka Malaysia serta diuruskan oleh ES International Event Management Sdn Bhd.
“Paviliun ini bukan sekadar ruang pameran budaya, tetapi simbol kepada jalinan antara warisan dan inovasi moden. Ia menggabungkan kekuatan tradisi dengan peluang ekonomi untuk memperkasa komuniti perniagaan antarabangsa,” ujar Presiden PROMAS, Datuk Chong Chong Tik pada sidang media di majlis pengumuman MIBS 2025 yang berlangsung di WTC Kuala Lumpur pada semalam. 10 Oktober 2025.
Turut hadir antaranya Presiden Kehormat Sepanjang Hayat PROMAS, Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah; Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor dan Pengerusi Zajas Sdn Bhd & rakan strategik Jakim dan ahli MIHA (Malaysia International Halal Academy), Datuk Zainal Abidin Jaffar.

ABU Hassan (kanan) sentiasa memberikan sokongan DPUM yang padu kepada setip penganjuran MIBS diusahakan Chong Tik.
Menurut Chong Tik, sidang media rasmi diadakan bagi memperkenalkan objektif utama pameran tahun ini, termasuk pengisian baharu yang menonjolkan hubungan antara budaya dan perdagangan.
Penubuhan Pavilion Ekspo Dunia Hakka dianggap sebagai langkah strategik yang bukan sahaja meraikan keunikan budaya Hakka tetapi turut memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat perdagangan global yang terbuka kepada kerjasama pelbagai negara.
Sepanjang tiga hari pameran, MIBS 2025 akan menampilkan enam segmen utama meliputi produk penjagaan kesihatan dan kecantikan, peralatan pintar dan komoditi pintar, makanan dan minuman serta budaya teh, fesyen dan barangan kulit, hiasan rumah, serta hadiah dan produk pengguna.
Edisi kali ini turut menampilkan penyertaan antarabangsa dari beberapa wilayah utama China seperti Zhejiang, Guangxi, Shenzhen, Yunnan dan Guangzhou, di samping penyertaan dari Korea, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Jepun dan beberapa negara lain.
Chong Tik yakin kehadiran peserta dari pelbagai latar industri dan budaya ini dapat membuka ruang lebih luas untuk kerjasama strategik serta pertukaran idea antara negara.
Sebagai platform perdagangan dan penjenamaan global, MIBS 2025 juga akan menganjurkan sesi padanan perniagaan, forum perdagangan serta aktiviti jaringan profesional bagi membantu usahawan dan pelabur meneroka peluang baharu di pasaran antarabangsa.
Dengan tema “Connecting Heritage with Global Trade,” MIBS 2025 bukan sekadar mempamerkan produk dan inovasi, tetapi turut mengetengahkan nilai warisan yang menjadi asas kepada kemajuan dan hubungan antara bangsa — menjadikan Kuala Lumpur sekali lagi pusat perhatian dunia dalam dunia perdagangan dan budaya.
Sementara itu, terdahulu, Zainal Abidin Jaffar. dalam ucapan ringkasnya berpendapat MIBS 2025 akan menjadi platform unggul untuk meneroka peluang serta mempamerkan inovasi dalam sektor halal global.
“Saya berdiri seiring dengan MIBS dalam usaha memperlihatkan bahawa kesejahteraan Malaysia, amalan perniagaan beretika dan lestari, adalah teras kepada falsafah halal sebenar,” ujarnya sambil menyatakan sokongan teguh menyokong visi Malaysia untuk mencul sebagai peneraju industri halal dunia.
Beliau percaya MIBS 2025 akan menjadi platform unggul untuk meneroka peluang serta mempamerkan inovasi dalam sektor halal global.
“Seperti yang kita semua maklum, industri halal merupakan salah satu sektor terpenting dan paling berpengaruh di Malaysia. Ia bukan sekadar merangkumi bidang makanan dan perkhidmatan, tetapi turut meliputi sektor kosmetik, farmaseutikal, logistik, serta gaya hidup,” akhiri Zainal (gambar atas, dua dari kiri).
Secara keseluruhannya, Pameran Jenama Antarabangsa Malaysia 2025 terus berperanan sebagai jambatan penghubung antara China dan Malaysia, memperkukuh kerjasama perniagaan, pertukaran budaya serta memperluas peluang inovasi di peringkat serantau dan antarabangsa.
#MIBS2025 #MalaysiaChina #ConnectingHeritageWithGlobalTrade #ProdukHalal




Tiada ulasan:
Catat Ulasan