KUMPULAN SURIA KLCC PAMER 'LOTUS OF LIGHT', SERIKAN DEEPAVALI DI TIGA PUSAT BELI-BELAH!
Kumpulan Suria KLCC telah melancarkan kempen Deepavali 2025 mereka bertemakan ‘Lotus of Light’, sebuah manifestasi visual yang memukau mata di ketiga-tiga pusat beli-belah utama, iaitu Suria KLCC, Alamanda Shopping Centre dan Mesra Mall.
Sambutan perayaan cahaya yang jatuh pada 20 Oktober 2025 ini diraikan dengan hiasan berinspirasikan bunga teratai, melambangkan keindahan budaya, perpaduan, dan semangat komuniti.
Kempen ini dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 22 Oktober.
Pusat tumpuan utama, Centre Court Suria KLCC, telah bertukar wajah sepenuhnya menjadi sebuah taman yang menawan, disulami dengan inspirasi keanggunan bunga teratai. Hiasan utama yang pasti mencuri perhatian adalah sebuah bunga teratai gergasi bercahaya, yang berdiri megah di tengah-tengah ruang. Hiasan ini diperindahkan lagi dengan kehadiran kolam berwarna-warni serta pencahayaan interaktif yang bermain-main di sekelilingnya, sekali gus mencipta pengalaman yang sungguh imersif buat pengunjung.
Hiasan berlapis dua kolam teratai di sisi, bersama gerbang teratai besar di bahagian belakang, menyediakan latar belakang yang sempurna dan estetik untuk sesi fotografi perayaan.
“Bunga teratai merupakan inspirasi yang sempurna untuk Deepavali tahun ini. Tema ‘Lotus of Light’ kami bertujuan untuk mencipta pengalaman yang imersif dan tidak dapat dilupakan, yang menyatukan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat," kata Francis Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd.
Beliau turut menambah, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan semua untuk berkongsi kegembiraan sempena Deepavali, bermula dari hiasan yang gah di Suria KLCC sehinggalah kepada sambutan yang bertumpukan komuniti di lokasi lain.
Selain itu, Suria KLCC turut menawarkan persembahan kebudayaan termasuk tarian klasik Bharatanatyam sepanjang tempoh kempen, di samping Bengkel Lukisan Inai khas yang akan diadakan pada Hari Deepavali, 20 Oktober 2025.
Bagi menghargai pembeli, ganjaran eksklusif turut ditawarkan. Pembeli yang berbelanja RM1,000 ke atas dalam dua resit berpeluang menerima e-Baucar Suria KLCC bernilai RM50. Promosi tambahan turut diberikan bagi pembelian e-Baucar bernilai RM1,000 di laman web Suria KLCC, yang akan melayakkan pembeli menerima e-Baucar tambahan RM100.
Di Putrajaya, Alamanda Shopping Centre turut menyemarakkan sambutan dengan dekorasi 'Lotus of Light' di Centre Court, menampilkan reka bentuk kolam bunga teratai dan gerbang bunga bercahaya yang sesuai sebagai latar bergambar untuk seisi keluarga.
Pembeli di Alamanda boleh menikmati ganjaran apabila berbelanja RM500 ke atas dalam dua resit untuk menerima e-Baucar Alamanda bernilai RM30, manakala perbelanjaan RM1,500 ke atas dalam dua resit pula melayakkan mereka menerima e-Baucar bernilai RM80.
Dalam pada itu, Alamanda turut meneruskan inisiatif Jualan Pin Reben Hijau, sebuah usaha kecil tetapi bermakna bagi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental melalui kerjasama bersama NGO terpilih.
Mengakhiri kempen perayaan ini, Mesra Mall di Terengganu akan mengadakan sambutan Deepavali dari 16 hingga 26 Oktober.
Dengan dekorasi berinspirasikan bunga teratai yang serupa, ruang legar pusat beli-belah ini akan dihiasi dengan suasana penuh warna dan kegembiraan.
Kempen ini menzahirkan komitmen Mesra Mall dalam mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, memastikan semangat Deepavali dapat dinikmati oleh setiap pengunjung tanpa mengira latar belakang.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan promosi kempen ‘Lotus of Light’, orang ramai dijemput untuk melayari laman web rasmi Suria KLCC, Alamanda dan Mesra Mall.








Tiada ulasan:
Catat Ulasan