Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'PAGARI BULAN' KISAH 'WANITA PENGHIBUR' ASKAR JEPUN DI PAWAGAM 5 OKT!



PADA
12 September 2023 lalu ketika Kak Fas hadir ke majlis pelancaran treler dan The Making of Filem Pagari Bulan’ di TGV Pavilion Bukit Jalil, hati berbisik, ‘nampak best treler filem ini, tak sabar nak tonton filem sepenuhnya’.


Dan ‘story’ berkaitannya  sudah pun ditulis dalam ruangan Kak Fas,Impak Maksima’ dalam portal ‘KitaReporters’. 


Sila baca kembali LINK INI.



Lebih kurang dua minggu kemudian, Kak Fas terima sekali lagi undangan daripada PR MIG yang sentiasa mesra melayan media, Hazmie untuk hadir ke Malam Gala Filem Pagari Bulan tetapi kali ini ia berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.


Sudah tentu Kak Fas tidak menolak undangan yang diterima waima ingin menonton sepenuhnya filem ‘Pagari Bulan’ yang seperti kata penerbitnya, Sharifah Shahora, sebuah filem yang lain daripada pengisian yang ditonjolkan dalam filem-filem yang memaparkan zaman ketika negara diserang tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua pada tahun 40-an.


Jika ‘Sarjan Hassan’ (1958) atau ‘Embun’ (2002) mahu pun ‘Paloh’ (2003) berkisar tentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu, bezanya ‘Pagari Bulan’ meletakkan kisah wanita sebagai intipatinya.



“Kisah mengenai wanita yang menjadi ‘comfort women’ atau ‘hamba nafsu’ askar Jepun ini tidak diketengahkan secara mendalam dalam mana-mana filem bergenre sama sebelum ini dan itulah antara faktor yang menyebabkan saya berjaya memperoleh dana daripada FINAS setelah dua kali percubaan saya ditolak,” ujar penerbit Eleven Field Creative Sdn Bhd., Sharifah Shahora Syed Akil terhadap filem terbitannya, ‘Pagari Bulan’ arahan suaminya, Ts Raja Mukhriz yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 5 Oktober depan.



Memang benar bagai dikatakan Sharifah Shahora, ‘Pagari Bulan’  mengisahkan kekejaman tentera Jepun terhadap orang-orang kampung sehingga anak-anak perempuan mereka ditahan untuk menjadi ‘comfort women’ dan di sinilah timbulnya semangat juang wanita ditonjolkan demi maruah agama, bangsa dan negara.


Bab ini mengingatkan Kak Fas pada cerita arwah emak dahulu yang pernah memberitahu, zaman ketika Jepun jelajah Malaya, ramai orang-orang Melayu terseksa tidak kira lelaki, perempuan mahu pun kanak-kanak.



Jadi apabila menonton ‘Pagari Bulan’ ini teringat kembali kisah itu dan memang betullah cara Jepun seksa orang-orang kampung baik Melayu, Cina atau pun India nampak kejam sekali. 


Barangkali yang ditonjolkan baharu sedikit sahaja kekejamannya. Mengikut cerita arwah emak, lebih teruk Kak Fas bayangkan. Tak mahu ceritalah... gerun!


Terasa tegang bila menonton babak-babak diseksa seperti potong tangan dan sebagainya sehingga Kak Fas terpaksa tutup mata sebab terlalu ngeri dan rasa ngilu nak tengok.


Bagaimana agaknya perasaan orang Jepun sekarang bila melihat filem ini agaknya? 


Memang itu sejarah dan realiti yang tidak dapat dipertikaikan..orang-orang Jepun sekarang tidak boleh menyangkalnya... askar Jepun dulu memang ganas dan kejam kecuali seorang dua seperti watak Leftenen muda, Miura, lakonan Aniq Durar yang menentang cara pegawai atasannya, Kuzawa menyeksa penduduk kampung.



Dan daripada watak ‘Bulan’ lakonan Nazeera Sardi, ditonjolkan semangat dan perjuangan wanita Melayu yang akan terus melawan walau pun hingga ke titisan darah terakhirnya.


Kak Fas tabik pada Nazeera yang sanggup berlakon dalam filem yang penuh cabaran bagi dirinya ini apatah lagi pernah menolak tawaran berlakon watak ‘Bulan’ disebabkan beberapa faktor seperti takut air, tak pandai berlawan mahu pun kesukaran berdailog loghat Kelantan memandangkan beliau berasal Negeri Sembilan.


Pendek kata, hampir sebahagian besar dari pelakon ‘Pagari Bulan’ menghadapi masalah bertutur loghat Kelantan apatah lagi berbahasa Jepun. seperti Aniq Duraa yang berasal dari Melanau, Sabah.


"Boleh dikatakan setiap hari saya berlatih bercakap guna bahasa Jepun juga menguasai slanga Melayu Semenanjung memandangkan di rumah saya sering cakap bahasa Melayu Sarawak atau Inggeris," ujar Aniq.


Lebih menarik apabila melalui Instagramnya dilihat Aniq sanggup cukur rambutnya demi watak Leftenan Miura. 



Rata-rata mereka terpaksa menjalani kelas bahasa Jepun dalam sebulan dan loghat Kelantan untuk menjiwai watak masing-masing. 


"Saya pula tak pandai cakap Kelantan dan Hokkien cuma boleh bahasa Mandarin sahaja  dan pergerakam watak Sui Li tu dari awal masa kanak-kanak dan seterusnya meningkat umurnya serta menanam perasaan dendam  itulah yang sukar tetapi pengarah dan pelakon lain banyak tolong Trisha," ujar pemilik nama sebenar, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi ini yang juga berpengalaman sebagai pelakon lagak ngeri ini.  Jadi babak lawan memang sesuai dan tidak menjadi masalah baginya.



Bak kata pelakon Andy Teh yang pertama kali memegang watak antagonis sebagai askar Jepun dan orang kanan Kuzawa, siang malam beliau terpaksa mendengar dan hafal dailog bahasa Jepun melalui telefon sehingga terlena tidur.


"Setiap waktu saya dan Aniq yang berkongsi bilik berlatih cakap Jepun," kenang Andy.


Banyak lagi sebenarnya yang boleh diteladani daripada filem ini khususnya tentang perjuangan dan pengorbanan terutama semangat juang nenek moyang kita dahulu kala yang perlu dicontohi generasi intelek sekarang.


Jadi beringatlah.. jangan biarkan tanah tumpahnya darah kita ini sekali lagi dijajah tetapi memelihara keharmonian yang dimiliki ini sehingga akhir zaman.


Nak tahu lanjut apa kisah Bulan dan Miura yang jatuh hati pandang pertama  dan siapa anak dalam kandungan Bulan, pastikan ke pawagam mulai 5 Oktober 2023 ini ya….



Sebuah filem epik sejarah yang boleh dibanggakan apatah lagi arahan Ts Raja Mukhriz ini berkualiti sejajar dengan kos pembikinannya melebihi dana RM2.5 juta yang diperoleh dari FINAS.



Walau pun ada kanak-kanak ditampilkan melalui watak adik Bulan, namun sebaiknya tinggalkan anak-anak terutama yang lemah semangat melihat darah dan babak-babak tikam menikam. 


Kak Fas pun tutup mata inikan pula kanak-kanak kan? Cuma agak terganggu bila terpaksa membaca 'subtitile' sebab tak faham 'kelik' Kelante... tetapi orang-orang Kelantan pasti suka kan?


Tahniah Sharifah Shahora dan Raja Mukhriz serta semua team produksi terbabit!  Tumpang bangga dengan kualiti filem Melayu terkini selepas kejayaan ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’….. sekali gus menyaksikan  kebangkitan filem Melayu tempatan! 



#PagariBulan #11FeildCreative #Metrowealth #FilemEpikSejarah #ComfortWomen 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan