AEON X IZZATI SUZA PERKENAL KOLEKSI 'GADIS GADANG'', FOKUS FESYEN 'PLUS SIZE'!
MENERUSKAN komitmen mereka dalam mempelbagaikan pilihan dalam dunia fesyen, AEON Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan pelukis Malaysia, Izzati Suza dengan memperkenalkan koleksi ‘Gadis Gadang’.
Sejujurnya bila sebut ‘Gadang’ terlintas pula watak ‘Badang’ lakonan Allahyarham Wahid Satay dalam filem bertajuk sama pada tahun 1962 arahan pengarah Allahyarham S. Roomai Noor.
Walau pun saiz badan Wahid Satay kecil namun Badang mempunyai kekuatan bersamaan 10 orang manusia gayanya sekali gus mencerminkan watak seorang berbadan besar ala ala karakter ‘Hulk’ dalam filem Hollywood, ‘Incredible Hulk’.
Apa pun yang pasti, di tengah arus perdana fesyen yang sering kali menonjolkan standard kecantikan tertentu, koleksi "Gadis Gadang" berani tampil dengan mesej "Setiap Saiz itu Indah", secara langsung memenuhi keperluan pasaran plus size yang sebelum ini mungkin kurang mendapat perhatian setara.
Koleksi ini bukan sekadar menawarkan pilihan pakaian baharu, tetapi ia membawa mesej yang kuat tentang penerimaan diri dan keindahan dalam setiap saiz.
Pelancaran koleksi ‘Gadis Gadang’ yang berlangsung semalam (10 Mei 2025) di Aeon Mall, Shah Alam, menandakan usaha AEON untuk terus meraikan positif badan dan keterangkuman melalui fesyen.
Dihoskan oleh pengacara yang sentiasa ‘celoteh’ dengan bahan jenaka, siapa lagi jika bukan Fiza Frizzy (tetapi rambutnya dah tak freezy haha), pelbagai acara eksklusif disediakan antaranya sesi Meet & Greet bersama Izzati Suza serta perkhidmatan ‘patchwork’ percuma dan pelbagai promosi menarik termasuk baucar AEON bernilai RM50 untuk pembelian koleksi (dengan pendaftaran), hadiah baucar AEON bernilai RM200 bagi peserta Berpakaian Terbaik, dan cenderahati menarik untuk Kapsyen Terbaik bagi Dinding "Gadis Gadang”.
Kak Fas seperti biasa tidak ketinggalan menyokong aktiviti yang disediakan sekadar suka suka tetapi tak sangka pula menjadi antara salah seorang daripada lima pemenang yang menerima baucer RM20 berserta produk lain, selepas memuat naik gambar dan kapsyen pada Dinding ‘Gadis Gadang’ dalam platform Instagram. Terima kasih daun keladi…!
Meninjau koleksi ‘Gadis Gadang’ yang menawarkan rangkaian pakaian bergaya, diinspirasikan seni reka khas untuk saiz badan plus size, ia menegaskan bahawa kecantikan hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Sesungguhnya, koleksi "Gadis Gadang" yang muncul susulan kejayaan kolaborasi pertama mereka, membawa maksud yang mendalam, melambangkan cita-cita, impian, dan kekuatan wanita.
Ia didedikasikan untuk meraikan wanita di setiap peringkat kehidupan – dari remaja, ibu, hinggalah wanita bekerjaya, mencerminkan komitmen berterusan AEON terhadap kepelbagaian, keterangkuman, dan meraikan budaya Malaysia.
Menampilkan rekaan eksklusif oleh Izzati Suza yang dikenali dengan karya seninya yang bertenaga dan diinspirasikan budaya, setiap helai pakaian mencerminkan gaya artistik unik beliau yang diselitkan unsur jenaka dan elemen kebudayaan Malaysia.
Antara ciri utama koleksi ini adalah tumpuannya terhadap positif badan, menyampaikan mesej "Setiap Saiz itu Indah" bagi menggalakkan rasa cinta diri dan keyakinan melalui fesyen.
Rekaan yang menggabungkan warna berani dan motif budaya ini tidak hanya menarik secara visual, tetapi juga mempromosikan warisan tempatan.
Tambahan pula, penyediaan saiz yang luas dari 18 hingga 24 atau 2XL hingga 7XL menunjukkan komitmen AEON untuk memastikan fesyen yang bergaya dapat diakses oleh pelbagai bentuk badan.
Disasarkan kepada pengguna plus size yang mencari pakaian yang moden, inklusif saiz, dan selesa dipakai, koleksi "Gadis Gadang" menampilkan pelbagai jenis kategori pakaian seperti T-shirt, sweater, kardigan, kemeja bersaiz besar, skirt denim, jaket, dan seluar jeans, kesemuanya dihiasi dengan rekaan unik Izzati Suza.
Pengguna boleh menjangkakan penggunaan warna-warna cerah, corak berani, dan rekaan ceria yang mampu menonjolkan gaya peribadi masing-masing.
Jadi tunggu apa lagi jika selama ini sukar mencari palaian plus size yang cantik apa kata melihat koleksi 'Gadis Gadang' yang kini boleh di dapati di 18 cawangan AEON terpilih di seluruh negara.
![]() |
IZZATI memperkenalkan ibunya yang menjadi inspirasi baginya mencipta koleksi 'Gadis Gadang'. |
Lokasi-lokasi tersebut termasuklah AEON Taman Maluri, Melaka, Wangsa Maju, Bandar Utama, Ipoh, Mid Valley, Bandar Puchong, Seremban 2, Tebrau City, Cheras Selatan, Queensbay, Bukit Tinggi, Rawang, Shah Alam, Kuching Sentral, Nilai & Putrajaya.
Secara keseluruhannya, koleksi ‘Gadis Gadang’ ini tentunya satu aspek praktikal yang sangat dihargai oleh pengguna plus size yang sering berhadapan dengan cabaran mencari pakaian yang sesuai dan selesa.
Ia dilihat sebagai lebih daripada sekadar koleksi fesyen edisi terhad tetapi satu kenyataan tentang kepelbagaian, penerimaan dan pemberdayaan wanita, membuktikan bahawa fesyen boleh dan seharusnya meraikan semua individu, tanpa mengira saiz.
Inisiatif seumpama ini penting untuk mengubah persepsi dan memupuk budaya fesyen yang lebih inklusif dan positif dalam masyarakat kita.
Percaya lah memang cantik-cantik belaka malah harga pun mampu bayar. Jom beli...
Tetapi, jika nak tahu lanjut terlebih dahulu boleh melayari halaman media sosial AEON Retail Malaysia di Facebook, Instagram, TikTok, dan X, AEON Malaysia di XHS, serta AEON Group Malaysia di LinkedIn.
Maklumat terperinci juga tersedia di laman web AEON Retail: https://aeonretail.com.my/fashion/pluscollection/ atau klik DI SINI bahkan jika nak tahu lanjut tentang Izzati Suza pun boleh klik INI (www.kedaisuza.com) dan www.instagram.com/izzatisuza.
#GadisGalang #AeonRetailMalaysia #PlusSize #Fesyen #IzzatiSuza #ForYouPage
Tiada ulasan:
Catat Ulasan