PEMPENGARUH ADELYN HENG BUKTI KEJAYAAN MELALUI TIK TOK!
BAGI generasi muda yang aktif menerokai pelbagai platform media sosial khususnya yang sering menggunakan platform sosial media, sudah pasti mengenali seorang pencipta kandungan Tik Tok bernama Adelyn Heng.
Bagi yang baharu mengenalinya tentu ingin mengetahui lanjut siapa kah gerangannya Adelyn yang mempunyai pengikut melebihi 199,600 rib dan 963.9 ribu tanda suka ini.
Kata orang tak kenal maka tak ‘cinta’ kan?
Jadi apa kata Kak Fas coret sedikit sebanyak perihal latar belakang gadis berusia 31 tahun ini yang ditemui ketika menghadiri sidang media pengumuman KamiSempoi Golden Award 2024 yang bakal diadakan pada 12 Mei 2025 anjuran KamiSempoi International Agency (KSIA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir Pengasas KSIA, Pakcik To Chin Swee, Duta KSIA, pelakon Riezman Khuzaimi dan Penyanyi Bulan Asyraff.
DARI kiri: Bulan, Pakcik Chin Swee, Riezman dan Adelyn.
Bermula tanpa sebarang pengalaman dalam dunia digital, Adelyn kini mencipta nama di peringkat antarabangsa sebagai salah seorang penyiar langsung terbaik di platform TikTok.
Sebelum menempah kejayaan dalam dunia penstriman langsung, Adelyn melalui pelbagai liku dalam kerjayanya.
Selepas menamatkan pengajian di universiti, beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) di negeri kelahirannya, Melaka, selama tiga bulan.
Kemudian, beliau berhijrah ke Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai eksekutif jualan bank di Standard Chartered Bank selama tiga tahun sebelum menyertai RHB Bank sebagai pegawai bank dalam bidang jualan produk, namun hanya bertahan selama tiga bulan kerana mendapati bidang tersebut tidak sesuai dengannya.
Nampak gayanya angka ‘tiga’ merupakan titik tolak terakhirnya sebelum menukar pekerjaan.
Selepas tiga bulan di Melaka, tiga tahun di Pulau Piinang dan tiga bulan lagi di sebuah bank lain, Adelyn mengambil keputusan menceburi pula bidang keusahawanan dengan menubuhkan perniagaan pakaian atas talian berjenama sendiri.
“Itu pun, saya tidak dapat bertahan lama disebabkan pelbagai cabaran yang dihadapi,” cerita Adelyn.
Menurutnya, pada Disember 2019, beliau kembali ke kampung halamannya dan berkhidmat sebagai ejen unit amanah bersama Public Mutual. Namun, wabak pandemik COVID-19 yang melana negara ketika itu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan tamparan hebat kepada kerjaya dan pendapatannya.
Dalam keadaan serba mencabar itu, peluang yang tidak disangka hadir — TikTok!
Adelyn mengambil keputusan berani untuk mencuba platform TikTok sebagai penyiar langsung setelah diperkenalkan oleh PakCik Chin Swee dari KamiSempoi International Agency.
Menerusi bimbingan dan dorongan daripada Pakcik Chin Swee di mana agensi tersebut jug adalah rakan rasmi Tik Tok , Adelyn mendapat sokongan penuh untuk terus menjadi penyiar langsung (live streamer).
Susulan itu, pada 4 Januari 2022, beliau memuat naik video pertamanya di TikTok dan memulakan siaran langsung pertamanya pada 13 Januari 2022 hanya dengan satu lampu cincin sambil duduk di atas lantai.
Ketika itu, beliau hanya mempunyai 69 pengikut dan masih belum aktif secara konsisten.
Langkah kecil itu membawa perubahan besar.
Sokongan agensi dan dedikasi Adelyn untuk belajar dan memperbaiki diri membuahkan hasil.
Pengikutnya meningkat kepada 384 dalam masa singkat, dan sejak itu, beliau secara konsisten menghasilkan kandungan yang kreatif dan menarik.
Adelyn terus berusaha mengasah kemahirannya dalam bidang penyiaran langsung dengan menjalani latihan intensif dan kajian tentang strategi penyiaran bertaraf antarabangsa serta menghasilkn kandungan secar berkala di bawah bimbingan KSIA.
Beliau juga telah membina komuniti yang digelar Peach Family dalam menyokong beliau sehingga mendapatkan markah 1 juta sewaktu bersiaran secara langsung, sekaligus membuktikan walau apa jua latarbelakang anda, jika disusuli dengan sokongan komuniti, ia pasti menghasilkan sesuatu.
Hasilnya, beliau bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan, malah berjaya menembusi pasaran global.
Selepas dua tahun berjuang menempuh pelbagai cabaran, Adelyn yang telah merangkul gelaran ‘Top Host of the Year KamiSempoi Golden Award 2023, kini diiktiraf sebagai salah seorang penyiar langsung terbaik dunia di TikTok — satu pencapaian membanggakan yang membuktikan bahawa kesungguhan dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu mampu membuka pintu kejayaan.
“Perjalanan hidup saya bukan semata-mata demi trofi tetapi berkisar tentang Keluarga Peach saya yang telah berkongsi kasih sayang serta kekuatan dengan saya. Daripada permiulaan yang sederhana hinggalah kepada pencapaian luar biasa, ini adalah cerita yang berkisarkan minat, ketabahan dan semangat tidak mudah mengalah, bersama-sama kita mampu terbang ke tahap yang lebih tinggi,” memetik kata-katanya yang dilaporkan kala terpilih sebagai salah seorang daripada tiga wakil dari Malaysia yang berjaya bersama bakat lain dari 90 negara dalam Kejohanan Global Live Fest 2024.
Pendek kata, daripada seorang wanita biasa yag memperoleh pendapatan RM20,000 sebulan kepada lebih kurang RM50,000 sebulan, beliau kini menjadi inspirasi ramai — bukti bahawa tidak kira di mana titik permulaan kita, impian tetap boleh dikejar dan dicapai!
Sementara itu apabila ditembak dengan soalan apakah Adelyn minat terjun dalam bidang lakonan memandangkan beliau mempunyai 'pakej' penampilan yang serba lengkap untuk mengisi kekurangan pelakon bukan Melayu?
"Oh tidak, saya tidak berminat berlakon," jawab Adelyn ringkas sambil mengukirkan senyuman meleret sekali gus mencerminkan kehidupannya kini cukup bahagia apatah lagi dikenali bukan sahaja di Malaysia bahkan di Singapura dan Indonesia persis seorang selebriti gayanya.
#AdelynHeng #KamiSempoiGoldenAward2024 #GlobalLiveFest2024 #ForYouPage
Tiada ulasan:
Catat Ulasan