AUTOMECHANIKA KL 2025 PACU PERALIHAN TENAGA, TEKNOLOGI AUTOMATIF TERKINI
PAMERAN perdagangan automotif terkemuka, Automechanika Kuala Lumpur 2025 (AMKL2025), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sejak 15 Mei dan berakhir 17 Mei 2025 lalu terus menjadi tumpuan utama industri automotif serantau.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan seramai 311 pempamer dari 21 negara, memperluas pameran ke enam dewan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dalam sektor automotif Malaysia sekali gus memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 untuk menonjolkan peranannya sebagai peneraju pembangunan automotif di rantau ini.
Majlis perasmian AMKL2025 telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Faizal Mohd Yusof mewakili Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI.
Turut hadir Michael Johannes selaku Naib Presiden Mobilti & Logistik Messe Frankfurt Exhibition GmbH dan Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew.
Pelbagai jenis kenderaan dipamerkan, termasuk model Pasaran Domestik Jepun (JDM), kereta klasik, dan kereta modifikasi audio, menggabungkan elemen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan pengguna.
Jenama-jenama terkemuka seperti Alienworld, Areon, Emerald, EV Connection, Kineta, Hans Tools, King Hup Motors, Rimbunan Kuasa, Launch, OBD, Schmaco, TecAlliance, Vanli, dan YonMing Group turut mengambil bahagian.
Salah satu tarikan utama pameran ini adalah bengkel latihan praktikal dalam baik pulih kemalangan yang merangkumi teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan tenaga baharu (NEV).
Bengkel ini juga menekankan aspek keselamatan kenderaan elektrik (EV) serta demonstrasi langsung pembaikan voltan tinggi dan pengecatan kenderaan, selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah pelepasan bersih sifar karbon.
Sejurus majlis pembukaan, beberapa sesi dialog dan perbincangan dasar turut berlangsung, menyentuh topik kelestarian dan daya saing serantau dalam sektor automotif.
Persidangan Automotive Mobility Solutions menjadi platform utama bagi perbincangan mendalam mengenai peralihan tenaga, elektrifikasi dan pendigitalan, iaitu tiga tonggak utama masa depan mobiliti di ASEAN.
Forum-forum tersebut menekankan keperluan industri untuk beradaptasi dengan perubahan teknologi dan komitmen iklim, dengan kelestarian dilihat sebagai faktor penting untuk kelangsungan ekonomi jangka panjang, khususnya apabila rantau ini bersiap untuk penggunaan EV yang lebih meluas dan sistem pengangkutan yang lebih pintar.
“Automechanika Kuala Lumpur 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam memacu industri automotif yang mampan,” kata Hanafi dalam ucapan perasmian yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurutnya, dengan menghubungkan syarikat tempatan kepada peneraju global, acara seperti ini membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi dan masa depan yang lebih hijau dan bijak untuk rantau ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew, menambah kata bahwa Automechanika Kuala Lumpur telah menjadi platform perdagangan yang vital dalam industri automotif lokal selama lebih dari dua dekad.
“Matlamat kami adalah untuk menyerlahkan kekuatan Malaysia dalam rantaian bekalan serta mewujudkan pintu masuk ke pasaran antarabangsa,” tambah Fiona.
Selain itu, autoFEST@KL, yang lebih berorientasikan pengguna, menarik perhatian pengunjung umum dengan kombinasi pameran kenderaan yang diubah suai serta teknologi pasaran selepas jualan.
Ia turut menjadi saluran pendidikan yang mudah diakses tentang inovasi pembaikan dan penyelesaian mobiliti yang lestari.
Penyertaan yang memberangsangkan dalam edisi 2025 ini mencerminkan minat global yang semakin meningkat terhadap pasaran automotif Malaysia, memberikan peluang besar bagi syarikat tempatan untuk meneroka teknologi antarabangsa, memahami piawaian industri terkini, dan menjalin kerjasama strategik.
Dalam perkembangan berkaitan, acara Intelligent Manufacturing Kuala Lumpur yang memberi tumpuan kepada transformasi digital dalam sektor pembuatan turut berlangsung,
Acara ini memberi tumpuan kepada cabaran dan peluang dalam transformasi digital menerusi strategi perancangan, integrasi perisian dan penggunaan perkakasan.
#AutomehanikaKL2025 #KLCC #AutoFestKL #MITI #EV #Automobil #ForYouPage
Tiada ulasan:
Catat Ulasan