Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'RUMAH 107' MUSIM KE-2 LEBIH 'HAPPENING', RAMAI ARTIS TERSOHOR



BERMULA  4 Jun lalu, program sketsa dan bual bicara komedi, ‘Rumah No. 107’  yang bersiaran di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD, pasti sudah pun mengisi masa lapang anda di rumah ketika tempoh PKP sedang dikuatkuasakan.


Bakal bersiaran sebanyak 7 episod lagi pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam,  program berdurasi 90 minit ini seperti yang ditonton mengekalkan watak asal musim pertama dengan Khir Rahman sebagai ‘Tok K’, seorang datuk berumur dalam lingkungan 50-an yang mempunyai penyakit mudah lupa namun tetap meminati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini industri seni tanah air. 


Beliau ditemani Joey sebagai ‘Joey’, cucu kepada Tok K yang agak nakal, memiliki mulut yang agak ‘laser’ dan gemar menyakat anak-anak gadis. 


Ropie, juga memegang watak sebagai ‘Ropie’, jiran dan turut merupakan rakan karib kepada Tok K, yang kini telah mengahwini Bibik Cha (lakonan Vicha). 


Bibik Cha adalah pembantu rumah kepada Tok K yang turut menggemari gosip terkini dan diumpamakan sebagai ‘Mami Jarum’ dalam keluarga Tok K. 


Menariknya. untuk musim ini, ‘Rumah No. 107’ menampilkan seorang lagi ahli keluarga baharu Tok K, pengacara dan pelakon komedi, Shuk yang  melakonkan watak ‘Shuk’, merupakan anak saudara Tok K yang kini menetap bersama kerana mendapat peluang pekerjaan di kampung Tok K. 


“Pada setiap episod, penonton akan menyaksikan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan,” ujar Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh.



Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato’ Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar), Catriona Ross, Zarina Zainuddin, Saiful Apek, Dato’ Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato’ Aznil Hj. Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi nama-nama yang disegani ramai. 


Wah! Semakin menarik lah lagi ya episod-episod yang akan datang ya tak?


Walaupun berlatarbelakangkan sketsa komedi, topik-topik perbincangan yang diketengahkan ‘Rumah No. 107’ terutamanya dalam segmen ‘Pillow Talk’ telah berjaya membuka hati selebriti jemputan untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing yang tidak pernah diceritakan di mana-mana platform sebelum ini, sehingga ada ketikanya membuatkan mereka (selebriti jemputan) dan keluarga Tok K menitiskan air mata. 


“Kami di barisan penerbitan berasa berbesar hati dan amat berterima kasih kerana diberikan kepercayaan oleh barisan selebriti jemputan ini untuk berkongsi secara eksklusif pengalaman masing-masing di platform ‘Rumah No. 107’, “ jelas Norzeha.


Menurut beliau, segmen berkenaan terus dikekalkan di musim ini dengan harapan  kisah-kisah menarik dari tetamu jemputan dapat membuka mata dan memberi pengajaran buat semua, lagi-lagi di musim PKP ini, yang mana ramai di antara kita memerlukan kisah-kisah berbentuk inspirasi untuk dijadikan sebahagian dari panduan hidup.


“Besar harapan saya agar program ‘Rumah No. 107’ ini sedikit sebanyak memberi iktibar buat kita semua, di sebalik gelak tawa yang kami sajikan ini kelak,” sambung Norzeha.



‘Rumah No. 107’ menampilkan tiga (3) segmen utama sebagai sajian utamanya. “Sembang Secawan Kopi” yang diandaikan sebagai segmen pembuka atau ‘pemanas’ program menyaksikan tetamu jemputan berbual santai bersama Tok K selaku Tuan Rumah mengenai perkembangan terkini industri seni tanah air. 


Segmen kedua pula, “Dapur Panas Berapi” memperlihatkan Bibik Cha menjemput tetamu jemputan ke dapur untuk turut sama memasak dan beraksi dengan skil masing-masing dalam menyediakan masakan kegemaran mereka. 



Untuk musim ini, Bibik Cha juga akan mengutarakan soalan-soalan yang lebih ‘panas’ dan sensasi kepada tetamu jemputannya. 


Seterusnya, diikuti pula dengan “Pillow Talk”, segmen yang dilihat agak berat sedikit berbanding dua segmen yang terdahulu di mana selebriti akan berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing dalam usaha menempa nama di persada seni tanah air. 


Di antara topik-topik yang diperdengarkan termasuklah pengalaman jatuh bangun dalam industri, kehilangan orang tersayang, ditinggalkan pasangan di kala meniti hari bahagia, dan banyak lagi. 


Pembinaan set Rumah 107 berlangsung dalam 36 jam. Kredit video: Mior_carpenters.


Berlatarkan rumah agam Tok K sebagai set utama penggambaran yang dijalankan di Cinegear Studio, Sungai Buloh, sedikit kelainan turut diterapkan apabila produksi menampilkan kumpulan pemuzik jemputan sebagai salah satu elemen penting dalam menceriakan lagi ‘Rumah No. 107’. 


KRISTAL yang diketuai oleh Mohd Rodi Baharudin @ Rody yang juga merupakan gitaris utama kumpulan bersama ahlinya yang lain mengiringi perjalanan produksi sepanjang berlangsungnya musim yang kedua ini. 


Jadi kepada peminat program ini, sekali lagi jangan lupa saksikan ‘Rumah No. 107’ pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.  


Untuk pilihan yang lebih fleksibel, anda juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.



#Rumah107 #AstroWarnaHD #KhirRahman #AstroGo #OnDemand #Komedi

Tiada ulasan: