Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SLEEPSALOT: MENYANYI BERSAMA SONAONE IMPIAN JADI REALITI


ARTIS muda ini berasal dari kota singa - Singapura. Jadi barangkali tidak ramai yang mengenali pemuda yang menggelarkan dirinya YHB Sleepsalot ini.


Tentu korang nak tahu lanjut kan apa nama sebenarnya YHB Sleepshot? 


Kak Fas pun semasa mendapat siaran akhbar dari rakan PR, Joe Saiful tentang penyanyi yang menghampiri usia 20 tahun pada tanggal 30 Ogos ini tertanya-tanya juga siapa gerangannya.


Nak tahu juga nama sebenarnya kan. Tetapi cari punya cari tak jumpa pula kerana dalam satu laporan disebut bahawa YHB Sleepshot ini memang mahu merahsiakan namanya.


“Kalau orang lain dengar nama saya sekali imbas, mungkin kedengaran seperti golongan kerabat diraja. Tapi sebenarnya itu singkatan nama penuh saya yang tidak boleh saya dedahkan," ujar Sleepsalot ketika diwawancara dalam sebuah portal tempatan, getaran.my.


Mungkin Sleepsalot ada alasannya tersendiri tidak mahu mendedahkan identiti sebenarnya. Biar lah rahsia ya?


Apa pun, yang perlu korang tahu adalah kemunculannya dalam industri seni bertitik tolak dari obsesinya terhadap lagu 'Baby' nyanyian bintang remaja popular, Justin Bieber ketika beliau berusia 12 tahun.


Sejak itu dirinya kerap mengimpikan untuk menjadi seorang penghibur setelah membesar dengan muzik persembahan  ikon-ikon nyanyian tersohor dunia seperti bintang legenda Elvis Presley, Raja Pop Michael Jackson serta nama-nama lain termasuk Drake, Travis Scott dan juga kumpulan One Direction.  


Pengaruh muzik aneka warna ini telah menyemarakkan lagi cintanya terhadap dunia muzik yang mana sepanjang persekolahan menengahnya, dia mula mencipta lagu di dalam fikirannya dan akhirnya merakam sebuah lagu semasa berumur 17 tahun.


“Mencipta lagu tidak susah buat saya. Ia seperti minda pra-sedar saya yang mengambil alih dan saya hanya perlu menterjemahkan idea tersebut ke dalam lagu. Saya dapat cetusan ilham sedikit demi sedikit dan pada bila-bila waktu di mana sahaja. Jadi saya akan masukkan semua itu ke dalam nota saya dan saat idea tergendala seketika saya hanya perlu merujuk semula catatan saya dan kemudian ia menjadi seperti sebuah pintu penuh ilham,” cerita YHB.


Bila guna singkatan YHB ni mula teringat akronim  YB lak yang bermaksud 'Yang Berhormat' haha...


Okey, berbalik kepada YHB, siapa sangka sedutan rakaman ringkas lagu ciptaannya, ‘Karabujan' mengubah kehidupannya kala ia mencuri perhatian dua bintang hip hop ternama iaitu ALYPH dan juga SonaOne melalui kuasa media sosial.



Pertemuan itu telah merealisasikan impiannya saat Def Jam Asia Tenggara memberikannya peluang dan menjadikannya salah seorang artis rakaman mereka.


Sejak itu, YHB tidak pernah menoleh ke belakang dan terus bersemangat untuk membuat perubahan dalam dunia muzik pop serta hip hop.


Mampu berbahasa Melayu dan Inggeris dengan lancar telah memberikannya kelebihan dalam menyampaikan muziknya kepada segmen pendengar yang lebih luas. 


Masa lapangnya yang dihabiskan dengan melukis, menonton siri drama bertema, dan bermain bola sepak juga menyumbang kepada keutuhan aliran seni di dalam dirinya.



Menyimpan hasrat untuk membawa seninya ke luar tanah dari pulau Singapura, YHB Sleepsalot nampaknya mempunyai semua kelengkapan yang diperlukan untuk bertarung di gelanggang seni persembahan.


Dianugerahkan dengan paras rupa yang kacak di samping suara yang merdu berserta bakat mencipta lagu dan lirik dengan baik, dunia pasti akan mengenali kehebatannya apatah lagi terkini, YHB tampil dengan lagu terbaharu 'Jatuh Boi' bersama penyanyi rap terkenal, SonaOne.


Khabarnya, peluang menyanyi bersama SonaOne merupakan impian menjadi realiti kerana sudah lama beliau memasang hajat untuk bekerjasama dengan SonaOne.


'Jatuh Boi' cuba mengadaptasi kegagalan kepada sesuatu yang lebih positif sebagaimana komen SonaOne, konsep lagu itu dekat dengan kehidupan kita sekarang ini terutama dalam tempoh menghadapi cabaran pandemik COVID-19 dan berharap ramai yang terinspirasi untuk tidak menyerah kalah dan bangkit semula ketika mereka jatuh.


Wah! Mendalam mesej lagu itu. Jom kita dengar dan hayatinya ya...



#YHBSleepsalot #SonaOne #JatuhBoi #DefJamSEA #Singapura #JustinBieber


Tiada ulasan: