Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KONSERT U.K'S REUNION 25 TAHUN DIBUAI NOSTALGIA 'CINTA'?


TANGGAL
17 dan 18 Jun 2022, pastinya menjadi tarikh bersejarah yang terindah untuk dikenang bagi kumpulan muzik yang sinonim dengan lagu-lagu ‘cinta jiwang’ seperti kata vokalisnya, Amir U.K’s ketika mempersembahkan 'Konsert U.K’s Reunion 25 tahun' di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budayam (IB) Kuala Lumpur.


Betapa tidaknya, kesempatan beraksi di pentas yang menjadi impian pencinta seni tanah air itu bukan mudah untuk ditembusi namun siapa sangka U.K’s yang asalnya dikenali sebagai Ukays berjaya menjadikan impian mereka satu realiti.


Sebagaimana kata Amir pada sidang media terdahulu, beraksi di Istana Budaya adalah impian setiap artis rakaman dan peluang seperti ini tidak harus dilepaskan U.K’s. waima dapat membuktikan lagi pencapaian dan tanda aras yang lebih tinggi dalam kerjaya muzik mereka selama ini.


Jika U,K’s rasa teruja, sebagai peminat lagu-lagunya, Kak Fas turut berkongsi terharu apabila berpeluang bersama-sama meraikan momen yang bersejarah itu pada malam hari pertama persembahan konsert mereka tanggal 17 Jun lalu.


Apa yang dapat Kak Fas simpulkan ‘ia sebuah konsert yang membangkitkan nostalgia pada ketika lagu-lagu popular mereka seperti lagu persembah pertama mereka, ‘Kau Satu-Satunya’ disusuli kemudian dengan ‘Rhythm Si Jantung Hati’, ‘Seksa’, ‘Sesak’, ‘Panas Berpanjangan’ dan tentu sekali yang paling Kak Fas percaya ramai yang suka ketika lagu ‘Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu’ berkumandang.


Sewaktu lagu tersebut didendangkan, Amir memberi kebebasan kepada penonton untuk membuka kamera masing-masing bagi merakamkan gambar buat kenangan.



Apa lagi, masing-masing yang ada telefon pintar berkamera tidak melepaskan peluang keemasan yang diberi termasuk lah Kak Fas yang memang menanti saat lagu tersebut sehingga Panggung Sari bergema dengan nyanyian semua penonton.


Keseluruhannya, U.K’s menyampaikan 25 buah lagu selari dengan judul konsert reunion 25 tahun kemunculan mereka apabila kesemua anggota asal kembali bergabung  iaitu Mohd Azmir Muhammd Yusuf atau Amir selaku vokalis, Rozdenil Toni (Denil)- pemain gitar, Mohd Saleh Mohd Alias (Olley) – pemain bass serta Amiruddin Sharif (Amirul) – pemain dram. 



Konsert yang berdurasi selama dua jam itu turut dibantu dua pengarah muzik berkaliber iaitu Mohd Rafi Bin Shafie (Rafi) dan Ahmad Firdaus Mahmud (Firdaus) serta Mustafa Kamal Ahmad (Mus Satira) sebagai pemain gitar undangan. 


Apa yang menarik, ketiga-tiga pemuzik hebat ini adalah antara insan-insan seni yang kerap terlibat dalam hampir kesemua proses rakaman album studio U.K’s, dibantu Allahyarham Izhar selaku penyusun muzik. 


Rafi dan Firdaus bukan sahaja bertindak sebagai Pengarah Muzik tetapi mereka juga turut menjadi pemuzik undangan bersama kumpulan Mohram yang terdiri daripada Mohar dan Ramli serta kumpulan vokal latar terkenal, Jad Lobo dan pasukannya. 


Dalam pada itu, UK’s juga sinonim dengan lagu-lagu ciptaan komposer tersohor, Saari Amri yang menghasilkan tujuh album studio Tinggal Irama (1989), Mencari (1992), Bisa Berbisa (1994), Tajam Menikam (1995), Panas Berpanjangan (1996), Cuma Aku Yang Hidup (1997) serta Pijar Kasmaran (2000).



Sehubungan itu, sebagai tanda penghargaan kepada Saari Amri, konsert yang berdurasi selama dua jam tidak ketinggalan menyaksikan penampilan komposer tersebut ke pentas dengan menyampaikan lagu duet bersama Amir, ‘Kita Sama Sahaja’.


Sesungguhnya, pada pendengaran Kak Fas, Amir masih bertenaga dan mantap menyampaikan 25 lagu-lagu pilihan apa tah lagi khabarnya beliau menjalani pemeriksaan tekak sehingga merelakan kamera disalurkan dari bahagian hidung ke tekak untuk memastikan tiada kecederaan,


“Bayangkan selama empat jam saya berlatih tanpa henti jadi saya perlu melakukan pemeriksaan takut nanti tekak cedera dan tak boleh menyanyi. Alhamdullilah, tiada apa apa dan jika malam ini saya mampu buat terbaik, malam esok lagi mantap dan lagi terbaik,” ujar Amir ketika ditemui pada sidang media selesai konsert pada malam pertama.



Memang masih merdu dan gemersik vokal Amir  atau nama sebenarnya, Mohd Azmir bin Muhammad Yusof dalam usianya yang kini sudah berusia 53 tahun. 


Melahirkan rasa puas dan gembira dapat bergabung semula dengan rakan anggota seleps 25 tahun, Amir tidak ketinggalan menghargai usaha penganjurnya, Mac Training Centre Sdn Bhd bersama RCD Concepts Sdn Bhd, membawa mereka ke pentas IB.


Dengan jualan lima ketegori tiket berharga antara RM111 hingga RM999, Kak Fas dimaklumkan kehadiran penonton pada kedua-dua malam cukup membanggakan.


Ramai juga di kalangsn rakan artis yang hadir memberikan sokongan antaranya Dato M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Muss, Ezad Lazim, Rahmad Mega dan Acong Sweet Child termasuk bekas Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar dan isteri, Datin Norma Norell (tiga dari kanan) yang dah lama Kak Fas tak jumpa serta lain-lainnya.



Sesungguhnya lagu-lagi UK’s memang mempunyai impak tersendiri kepada pendengar.


Seperti kata Amir berseloroh,’Ada mendengar U.K’s  kerana putus cinta, Yang bercinta kerana lagu U.K’s pun ada. Semua orang punya nostalgia masing-masing dengan lagu U.K’s.


Memang benar lontaran kata-kata Amir tu… korang rasa pernah tak merasai pengalaman sebegitu? 


Alaa...dah tahu jawapnnya,,..“Biarlah rahsia’  bak kata Tok Ti ya tak?



#AmirUK'S #IstanaBudaya #KonsertUKsReunion25Tahun #SaariAmri #LaguJiwang


Tiada ulasan: