Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KUMPULAN UNIC 9 ANGGOTA KEMBALI 'BERSATU' DALAM KONSERT REUNIC THE FINALE 8 OKTOBER


MENUBUHKAN
sesebuah kumpulan muzik tidak lah sukar mana pun namun mengekalkan anggota asalnya lebih menyukarkan waima masing-masing mempunyai komitmen tugasan hakiki yang perlu diutamakan.


Kumpulan nasyid UNIC, ditubuhkan pada tahun 2001,  yang berasal daripada singkatan “You And I See’  mengikut sebutan huruf di mana ia juga merupakan judul salah satu lagu yang dimuatkan dalam album pertama mereka  bermula 2002, tidak terkecuali menghadapi masalah sama.


Pun begitu, terkini sempena penubuhan 20 tahun mereka dalam industri yang seringkali mengalami pertukaran anggota dari satu album ke satu album, UNIC bakal bersatu sekali lagi dalam Konsert ‘REUNIC Live in Concert The Finale See You di IPT The Musical’ yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober, jam 8.00 malam.


Terdahulu, mereka pernah mengadakan konsert REUNIC yang pertama pada tahun 2017 di dewan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  yang mendapat sambutan memberangsangkan.


Bezanya, konsert REUNIC kali ini lebih istimewa apabila ia bakal menyatukan seluruh anggota UNIC dari tahun 2002 hingga kini di atas satu pentas seramai sembilan orang.



Wow! Pasti ‘happening;’ kan pentas  di Zepp Kuala Lumpur kelak.


Tetapi kenapa di Zepp, sebuah pentas hiburan yang terletak di kawasan Bukit Bintang yang terkenal dengan pelbagai aktiviti hangat di situ?


"Pemilihan tempat di Bukit Bintang membuktikan bahawa nasyid juga mampu bersaing setaraf muzik arus perdana yang pernah diadakan disitu seperti kumpulan Search, Bunkface dan artis-artis antarabangsa yang lain lantas menaikkan martabat nasyid di mata dunia," ujar Dr. Fitri Haris (gambar bawah, kiri) pada majlis sidang media  Konsert REUNIC  yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.



Turut hadir Dato Mohd Nafidz Abdul Razak (dua dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Megaklinik Zahran yang merupakan antara penaja utama konsert melibatkan kos keseluruhannya RM420,000, serta kesemua anggota UNIC serta Zizi Kirana.


Berkongsi lanjut,  selaku pengarah konsert bersama Fakhrul (dua dari kiri) dan Bazli UNIC, Dr. Fitri akui konsert-konsert nasyid memang sinonim dengan IPT namun membawanya ke satu lokasi bertaraf dunia seperti di Zepp mampu meningkatkan seterusnya genre muzik nasyid pada dunia global.


Malah dengan membawa telefilem ini ke atas pentas konsert nanti, kemunculan khas selebriti terkenal Bell Ngasri yang memainkan watak pelajar nakal dan Bienda pasti menggamit nostalgia.



Tema yang merupakan adaptasi telemovie ‘See You di IPT’ oleh UNIC pada tahun 2004 tidak asing bagi para peminat yang mengikuti perkembangan kumpulan ini sejak dari dulu lagi.


“Konsert ini juga mendapat sokongan dana melalui Geran DKD (Dana Kandungan Digital) yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) serta dikuasakan lagi oleh Kumpulan Megaklinik Zahran yang membuktikan usahasama kerajaan dan badan swasta perlu dalam memastikan sesuatu program itu mempunyai impak yang maksima,” tambah Dr. Fitri sambil mengakui bukan mudah untuk mengumpulkan kesemua anggota UNIC memandangkan komitmen masing-masing yang berbeza.


Sambungnya, dengan kemunculan ahli-ahli REUNIC yang lengkap, wajarlah jika konsert kali ini dinamakan 'The Finale’.



Khabarnya, sebaik jualan tiket dibuka kepada orang ramai pada bulan Ogos lepas, tiket berharga serendah RM109 hingga RM265 habis dijual dalam masa lima hari.


Namun, bagi memenuhi permintaan para peminat yang tidak dapat menghadiri konsert secara LIVE, bolehlah mendapatkan tiket konsert yang terhad melalui penstriman dalam talian (online streaming).


Penjualan tiket telah dibuka untuk mendekati lebih ramai peminat UNIC bukan sahaja dari Malaysia, Singapura dan Indonesia tetapi di serata dunia.


Para penonton boleh membeli tiket berharga RM52 sambil menderma di mana sebahagian daripada pembelian tiket akan disalurkan ke tabung kemanusiaan Cinta Gaza Malaysia.


Tiket konsert bagi tontonan dalam talian boleh dibeli melalui laman web DI SINI namun ditayangkan sehari selepas Konsert LIVE REUNIC The Finale iaitu pada 9 Oktober, jam 9.00 malam.


Bertahan selama 20 tahun dalam persada seni, sebanyak 20 lagu akan disajikan kepada para penonton. 


Persembahan yang dibahagikan kepada empat segmen iaitu permulaan, muzikal, srikandi dan persahabatan diserikan dengan lagu-lagu hits UNIC seperti Ainul Mardhiah, Ke Makam Bonda, Jalinan, termasuk lagu khas 'Sebuah Pertemuan 2.0' oleh REUNIC.


Selain itu, artis-artis jemputan seperti Zizi Kirana, Mawi dan Anas juga turut menyemarakkan konsert pada malam itu.



Sementara itu, Mohd Nafidz (gambar atas) dalam ucapan nya berkata, beliau begitu serius ingin bersama UNIC sebagai penggerak industri muzik Malaysia ke peringkat dalam dan antarabangsa sebagaimana penglibatan beliau dan kumpulan Megaklinik Zahran di dalam kejayaan filem ‘Mat Kilau’ baru baru ini.

 

“Jika filem kita ada 'Mat Kilau', muzik pula kita mahu UNIC menjadi ikon anak Melayu Muslim dalam membawa muzik dan kebaikan kepada masyarakat, ini adalah tanggungjawab kita’ ujar beliau.


Susulan itu, Demi Kebangkitan Nasyid’ adalah semangat yang dibawa oleh Kumpulan Megaklinik Zahran kepada konsert 'REUNIC The Finale'.


"Kita perlu ada usaha dalam memberi tahu kepada dunia bahawa Melayu dan Islam itu hebat dan mampu bergerak seiring malah lebih hebat dari negara-negara luar bukan islam lainnya," akhiri Nafidz  penuh semangat.




#REUNICLiveInConcertTheFinale #DrFitriHaris #MegaklinikZahran #Nasyid #UNIC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan