Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PEMBINAA SURAU AL-JANNAH TERBANTUT, RAYU INFAQ ORANG RAMAI


HASRAT
membangunkan Surau Al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam di lokasi dengan kapasiti lebih luas dan selesa masih terbantut kerana kekangan kos yang belum mencukupi.


Maka tercetuslah idea tabung infaq surau berkenaan pada pertengahan 2018 dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Al -Jannah, Arif Abdullah (gambar atas, kanan).


Idea dicetuskan  itu bagaimanapun  hanya dilancarkan pada Mac 2020, sekali gus terbantut saat dunia dilanda pandemik COVID-19, dua tahun lalu.


Kempen tabung infaq dijalankan itu hingga kini hanya berjaya mengumpul dana sekitar RM1.6 juta sedangkan jumlah lengkap kos pembinaan semula surau itu diperlukan dalam RM4 juta.


"Walaupun ada RM1.6 juta, kami masih berdepan dengan banyak masalah. Termasuklah tidak dapat memulakan pembinaan bangunan surau baharu yang tertangguh.


"Jadi pihak kami memerlukan baki RM2.4 juta lagi untuk mendapatkan jumlah kos keseluruhan.  Kami pun hanya boleh melakukan penyerahan Kebenaran Merancang (KM) membangunkan surau baharu kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) jika jumlah kutipan dana menjangkau 50 peratus yakni sebanyak RM2 juta.


"Kemudian hanya selepas kelulusan diberikan MBSA dengan melepasi kutipan RM2.8 juta, baru boleh mula kerja fizikal. Tapi itulah kekangan kami untuk terus cari dana," katanya.


LAKARAN pelan pembangunan Surau Al-Jannah.


Arif berkata, dia dan ahli jawatan kuasa (AJK) surau mengakui pandemik yang menerjah dunia mengundang rasa bimbang.


"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ketika itu tabung infaq baru seminggu dijalankan.


"Masa itu kita sempat menghasilkan video bersama masyarakat setempat dan AJK surau. Dalam masa sama jemaah di surau itu sendiri bekerja dan menjalankan bisnes sendiri," katanya.


Kata Arif, pihaknya mahu memulakan misi meraih perhatian dan bantuan masyarakat melalui hebahan media saat ini.


"Kalau menerusi saluran media ini boleh tembus ke masyarakat, kami harap dapat kutip sekurang-kurangnya sebanyak RM400,000 dan boleh melakukan penyerahan yang diperlukan bagi melaksanakan misi awal pembangunan surau ini kepada MBSA.


"Sepatutnya kerja pembangunan ini bermula Jun tahun lalu. Tapi kini sudah lewat setahun. 


"Sekarang sudah menyaksikan 2022 hampir berlabuh. Tapi kami mengharapkan keajaiban dan dengan izin-Nya kutipan yang diperlukan dapat dipermudahkan dengan menyalurkan kutipan ke https://infaqsuraualjannah.com," katanya.


Menurut Arif yang tinggal di seksyen berdekatan, masanya memang memang banyak dihabiskan di surau.


"Saya banyak menerima pandangan jemaah surau itu yang menyuarakan rasa tidak sesuai lagi kapasiti asal menampung jumlah masyarakat yang bertambah.


"Pada satu tahap, solat Jumaat pun hanya mampu menampung 300 ke 400 jemaah. Namun jemaah yang hadir dua kali ganda.


"Lalu ketika itu, sebagai alternatif pantas, pihak kami hanya mampu menambah enam buah kanopi 20'x20' untuk menampung kehadiran jemaah. Memang nampak daif sangat ketika itu," katanya.


REKAAN tiga dimensi bangunan surau Al-Jannah  di Shah Alam.


Surau Al-Jannah ini dibina pada 2004. Ia hanya beroperasi setahun selepas itu.


"Dalam tempoh 2005 ke 2018, kita ada buat penambahan kemudahan surau dengan serba kekangan.


"Pada 2018 juga kita memanggil MSR Architect untuk merekabentuk surau yang baru. Hasil perbincangan bersama AJK surau dan pasukan kerja arkitek juga pasukan perunding, mereka syorkan perlu dibina bangunan surau baharu dengan anggaran keluasan 14,000 kaki persegi.


"Keluasan tapak bangunan baru itu dijangka dapat menampung lebih 1000 jemaah dalam satu masa. Untuk semua itu, kita perlu bina bangunan surau baharu selepas merobohkan yang lama," katanya.


Tambah Arif lagi, kawasan tapak asal surau itu bersaiz kecil sekitar 1 ekar sahaja.


"Jadi keputusan merobohkan bangunan surau lama dibuat pada mulanya untuk mewujudkan kawasan parkir kereta dan beberapa kemudahan lain.


"Usaha awal saya dan AJK surau bermula dengan memohon kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuklah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Reka bentuk baharu surau dicadangkan ia bangunan surau dengan dua tingkat," katanya.


Kata Arif, usaha menaik taraf surau itu turut memastikan banyak ruang baharu dan pelbagai kemudahan diwujudkan.


"Yang utama ialah ruang solat, bilik utiliti, bilik mesyuarat dan  bilik pengurusan jenazah akan ditempatkan di bangunan yang baru. 


"Kelas mengaji masih dibincangkan lagi kerana ruang terlalu terhad selain keluasan tapak yang agak kecil.


"Kita sendiri perlu 'piling' sedalam 21 meter ke dalam tanah dan mungkin itu menyebabkan  kos pembinaan jadi tinggi. Seksyen 23 sendiri berasal dari kawasan loji," katanya.


Keadaan jemaah yang hadir ketika solat Jumaat di surau Al-Jannah.


Dalam masa sama serentak menaik taraf, surau berkenaan juga mahu dijadikan sebagai pusat komuniti setempat untuk penduduk berhampiran.


"Bagaimanapun JAIS belum benarkan pihak surau buat aktivti memasak kerana beberapa kekangan.


"Sebelum PKP, surau ini turut dijadikan tempat berkumpul dan makan. Malah setiap  Jumaat aktiviti  merewang turut diadakan termasuk memasak untuk jemaah yang hadir," katanya.


Besar harapan Arif melihat usaha ini jadi kenyataan dalam kadar segera.


"Hati saya sangat terkesan melihat jemaah beribadat dalam serba kekurangan. Pernah tambah enam kanopi pun masih belum memadai.


"Melihat jemaah bersolat di bawah kanopi di bawah tempias terik panas  matahari dan juga terkena hujan ketika solat, sangat menyedihkan.


"Saya bersungguh-sungguh untuk pembinaan surau baharu ini demi keselesaan dan kesenangan bersama. Apabila terbinanya bangunan baru bagi surau ini, kita juga berhasrat menaik taraf menjadi masjid pula," katanya.


JEMAAH bersolat Jumaat di bawah kanopi...


#SurauAlJannah #Infaq #JAIS #PWS #TabungInfaq #MSRArchitect #MBSA #Rayu

Tiada ulasan: