DARI FELDA KE PUNCAK INDUSTRI, AMNIFOOD INSPIRASI BELIA MALAYSIA!
DARI akar umbi FELDA di Johor, bangkitlah sebuah kisah inspirasi yang bukan sahaja menggegarkan industri makanan tempatan tetapi turut menyalakan obor harapan buat ribuan anak muda luar bandar!
Abdul Razis bin Md Salim, seorang anak peneroka FELDA yang dahulunya hanya bermimpi, kini berdiri megah sebagai Pengarah Urusan Amnifood Industries, sebuah empayar makanan sejuk beku yang sedang melonjak naik, bersedia menawan selera setiap rakyat Malaysia.
Hari ini, (31 Julai 2025) di pentas utama Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di MITEC Kuala Lumpur, Abdul Razis bukan sahaja berjaya melontarkan jenama Amnifood ke persada nasional, malah beliau telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa latar belakang seseorang bukanlah penamat impian, tetapi permulaan sebuah legenda kejayaan yang luar biasa.
"Saya lahir di Johor sebagai anak peneroka FELDA. Hari ini, saya berdiri sebagai Pengarah Urusan Amnifood – syarikat yang berpusat di Selangor dan kini dalam perancangan untuk membuka 150 cawangan di seluruh Malaysia," ujar beliau penuh bangga, merumuskan perjalanan luar biasa yang dilakar dengan keringat dan tekad.
Berkongsi lanjut pada majlis pelancaran dua produk terbaharunya, Popia Carbonara dan Drumet Ayam Perap, yang disempurnakan bersama oleh Pengerusi FELDA, Dato Sri Ahmad Shabery Cheek, Abdul Razis memberitahu, keunikan Amnifood terletak pada komitmen tinggi syarikat terhadap konsistensi, kualiti, dan teknologi pemprosesan moden.
Antara produk utama Amnifood lainnya selain Popia Carbonara yang unik serta Drummet Ayam Perap meliputi Kambing Perap yang menjadi kegemaran ramai, Chicken Chop yang lazat serta Drummers Series yang inovatif.
Popia Carbonara ini tidak hanya hadir dengan rasa asli, tetapi juga dalam variasi rasa tempatan seperti dendeng dan rendang, hasil daripada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang giat bersama institusi pengajian tinggi tempatan.
“Kami telah menjalankan lebih 800 ujian rasa. Hasilnya amat memberangsangkan. Setiap popia kami ditimbang tepat 30 gram, memastikan setiap unit kekal konsisten dan berkualiti,” tambah Abdul Razis.
Menurutnya lagi, Amnifood menyasarkan pengukuhan pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum melebarkan sayap ke pasaran eksport.
Hasrat murni ini didukung oleh beberapa pihak penting termasuk Jabatan Pembangunan Ekonomi Kualiti (JPEK Beredar) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang menjadi rakan strategik dalam memperkasa inovasi makanan halal berasaskan cita rasa rakyat Malaysia.
Kerjasama ini bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi juga menjadi tunjang kepada pembangunan produk yang relevan dan berkualiti tinggi untuk pasaran halal global.
“Produk ini bukan sekadar hasil dapur. Ia adalah simbol perjuangan, lambang harapan dan manifestasi mimpi seorang ayah yang kini menjadi realiti,” tambah Abdul Razis penuh emosi, meluahkan rasa syukurnya.
Tambahnya, setiap bungkus produk Amnifood membawa bersama semangat ketabahan dan aspirasi untuk masa depan yang lebih baik.
Kejayaan Abdul Razis adalah bukti jelas bahawa anak FELDA juga mampu melakar nama dalam dunia keusahawanan nasional.
Lebih daripada sekadar membina empayar perniagaan, beliau membawa mesej penting kepada generasi muda luar bandar.
Dengan nada penuh semangat, Abdul Razis menutup ucapannya dengan seruan, ”Jangan malu dengan asal-usul. Jangan takut untuk bermimpi besar. Tiada siapa terlalu kecil untuk bermimpi, dan tiada siapa terlalu lemah untuk berjaya,” sekali gus memberi inspirasi kepada semua yang hadir.
Untuk rekod, Amnifood Industries diasaskan oleh Abdul Razis, seorang anak peneroka FELDA dari Johor, dengan ibu pejabatnya di Selangor.
Syarikat ini mempunyai kapasiti pengeluaran yang tinggi dengan kilang berteknologi moden dan sistem pembungkusan automatik.
Daripada 55 produk halal berdaftar, lima daripadanya dikomersialkan secara aktif, dengan produk unggulan seperti Kambing Perap, Chicken Chop, Drummers Series, dan pelbagai perisa Popia.
Dalam langkah pembangunannya, syarikat mensasarkan pembukaan 150 cawangan seluruh Malaysia bagi tahun 2025-2026, diikuti dengan pengembangan ke pasaran eksport, menjanjikan masa depan yang cerah buat Amnifood dan industri makanan halal Malaysia amnya.
Bagi mereka yang ingin mencuba produk Amifood atau pun pelbagai jenama tempatan lain bolehlah berkunjung ke Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang kini sedang berlangsung sehingga 3 Ogos 2025 di MITEC Kuala Lumpur.
Baca artikel berkaitan di LINK INI.
#MegaKarnival3Dimensi(MK3D) 2025 #AmnifoodIndustries #FELDA #ForYouPage








Tiada ulasan:
Catat Ulasan