Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KARYAWAN SAMBUT BAIK SERUAN DAMAI M.NASIR!


KUALA LUMPUR, 1 Julai  2025Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyambut baik saranan yang diutarakan oleh Dato’ Haji M. Nasir, Pengerusi Music Authors’ Copyright Protection (MACP), agar semua pihak yang terlibat dalam industri muzik mengambil langkah berunding secara damai. 


Saranan ini bertujuan menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku antara Karyawan, 3P Muzik Malaysia, dan tiga badan kutipan royalti (CMO) iaitu MACP, Persatuan Perusahaan Rakaman Malaysia (PPM), dan Recording Performers Malaysia (RPM).


“Kami bersetuju bahawa rundingan adalah penyelesaian terbaik, dan tindakan mahkamah seharusnya menjadi jalan terakhir, kerana sekiranya diteruskan, ia berpotensi menjejaskan kelangsungan serta masa depan para penggiat seni di negara ini.


“Kami sedar bahawa banyak isu yang timbul berpunca daripada kekurangan persefahaman antara pihak-pihak terlibat dalam ekosistem muzik tanah air. Maka itu, kami menyeru agar diadakan satu sesi perbincangan menyeluruh yang melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk persatuan seni, badan kutipan royalti, pihak berautoriti serta pemegang taruh utama bagi mencari penyelesaian yang adil dan realistik.


“Yang paling penting, semua pihak yang terlibat di sini yang menjadi paksi kepada industri muzik negara kita , perlu berdiri di atas asas yang betul mengikut fungsi masing-masing. Hanya dengan cara ini, industri muzik dapat terus berkembang secara harmoni, tanpa berlaku ketidakseimbangan yang akan merugikan mana-mana pihak,” ujar Dato’ Freddie Fernandez, Presiden KARYAWAN dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.


Sambungnya, “Kami berharap semua pihak dapat mencari jalan penyelesaian yang tidak bersifat berat sebelah, sebaliknya memberi manfaat menyeluruh dan seimbang kepada keseluruhan industri muzik negara.”


KARYAWAN berpandangan bahawa hanya melalui dialog terbuka yang demokratik, serta semangat toleransi dan kerjasama, ia dapat membina semula industri muzik tanah air secara mapan.


Biar semua pihak menang, demi masa depan muzik Malaysia!


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Freddie diundi secara sebulat suara untuik terus menerajui kepimpinan KARYAWAN oleh ahli-ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KARYAWAN Ke-24 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Selain Freddie, pemilihan Ahli Lembaga Eksekutif dibuat pada AGM kali ini termasuk pelakon Radhi Khalid sebagai Timbalan Presiden, Rozita Rohaizad sebagai Setiausaha Kehormat, Kamal Kassim sebagai Bendahari dan enam Ahli Jawatankuasa iaitu Norshila Amin, Jude Singho, Don Guerzo, Putri Balqish Agalan, Helmi Gimmick serta Haniah Hassan.



#KARYAWAN #MNasir $MACP #3PMuzikMalaysia #CMO #RPM #PPM #Royalti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan