PENGGIAT SENI SOKONG GARIS PANDUAN MyIPO, BANTAH TINDAKAN UNDANG-UNDANG DIAMBIL!



KUALA LUMPUR, 29 Jun 2025
– Penggiat industri muzik tanah air menyatakan sokongan penuh terhadap Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan pelaksanaan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025.

Mereka turut meluahkan bantahan terhadap tindakan mahkamah oleh beberpa badan kutipan royalti yang cuba menghalang pelaksanaannya.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Presiden Persatuan Karyawa Malaysia (KARYAWAN), Dato Freddie Fernandez pada majlis sidang akhbar yang berlangsung di Matic Kuala Lumpur semalam, menjelaskan beberapa faktor mengapa mereka menyokong garis panduan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan 3PMuzik Malaysia, Zaim Zaidee bersama dua lagi anggota barisan Exconya, Cheb Ali dan Ad Samad.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai penggiat industri kreatif seperti penulis lagu, komposer, penyanyi dan pemuzik, Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 memberikan pelbagai manfaat penting yang telah lama dinantikan. 


Garis panduan ini mewajibkan semua Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) untuk lebih telus dalam urusan kutipan dan pengagihan royalti. 


"Ini bermakna para pemegang hak dapat mengetahui secara jelas bagaimana royalti dikutip, dibahagi, dan siapa yang menerimanya, iaitu sesuatu yang sebelum ini kabur dan tidak telus," jelas Freddie.


Selain itu, garis panduan ini juga memperkukuh tadbir urus dalam organisasi, memastikan setiap ahli diberi hak suara yang adil dalam mesyuarat agung dan pemilihan lembaga. 


Ia menghapuskan sistem pengundian yang berat sebelah dan memperkenalkan mekanisme aduan yang jelas bagi ahli yang tidak berpuas hati.


Berkongsi lanjutnya, katanya, garis panduan ini melindungi hak lebih kurang 8,000 pemegang hak, tidak kira tahap populariti mereka di mana semua ahli dilayan dengan lebih adil dan setara. 


Secara keseluruhan, Garis Panduan MYIPO 2025 adalah satu pembaharuan yang memperkukuh kedudukan pemegang hak dan memulihkan kepercayaan terhadap sistem kutipan royalti di Malaysia. 


Ia meletakkan hak pencipta sebagai keutamaan di samping melindungi kepentingan para pengguna karya muzik yang menjadi para pembayar lesen.


Para pengguna karya muzik adalah punca pendapatan utama para pencipta muzik.


Garis Panduan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh semangat pemerkasaan harta intelek di Malaysia dan seharusnya menjadi langkah berterusan.


"Kami membantah dengan sekeras-kerasnya tindakan mahkamah yang telah diambil oleh badan kutipan royalti yang cuba menghalang perlaksaan Garis Panduan MyIpo (Perbadanan Harta Intelek Malaysia)," kenyataan bersama itu menyebut.


Untuk rekod, Akta Hak Cipta Malaysia 1987 merupakan asas utama dalam sistem perlindungan hak cipta di negara ini. 


Ia memberikan hak eksklusif kepada para pencipta ke atas hasil kerja asli mereka, termasuk penulis, komposer, pelaku (performers), dan pemegang hak lain.


Hak eksklusif ini direka bagi menggalakkan kreativiti dan memastikan mereka mendapat imbuhan yang adil daripada eksploitasi karya kreatif mereka. 


Akta ini telah beberapa kali dipinda untuk disesuaikan dengan keperluan semasa dan perkembangan industri kreatif global.


Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) dan Public Performance Malaysia Sendirian Berhad (PPM – Sdn Bhd) tertubuh sejurus selepas, daripada Akta Hak Cipta 1987.



DARI kiri: Cheb Ali, Freddie Fernandez, Ad Samad dan Zaim Zaidee.

Pindaan penting kepada Akta Hak Cipta telah dibuat pada tahun 2000, yang membawa kepada pengukuhan hak para pelaku (performers), iaitu pemuzik dan penyanyi.


Pindaan ini mengangkat kedudukan pelaku agar lebih hampir kepada pencipta dari segi pengiktirafan hak cipta.


Antara perubahan utama adalah memberi pelaku hak yang lebih seimbang berbanding pemilik bunyi rakaman (sound recording), yang biasanya dimiliki oleh syarikat rakaman.


Namun begitu, pelaksanaannya sehingga ke hari ini masih belum mencapai tahap yang diharapkan.


Contohnya, agihan royalti antara pelaku dan pemilik bunyi rakaman masih jauh daripada nisbah adil 50:50. 


Realitinya, syarikat rakaman (pemilik rakaman bunyi) menerima bahagian pendapatan yang jauh lebih besar daripada pelaku dalam kutipan royalti persembahan awam.

Namun begitu, pelaksanaan garis panduan berkenaan kini berdepan cabaran apabila beberapa badan kutipan royalti mengambil tindakan mahkamah bagi menyekat langkah tersebut daripada diteruskan.

“Kami mempersoalkan tindakan CMO yang mewakili ahli  yang mengambil tindakan undang undang sebelum mereka berbincang dengan para ahlinya. Tiada komunikasi dilakukan di antara CMO dengan ahli secara rasmi.

'Kami mempersoalkan bahawa tindakan mahkamah CMO tidak mendapat persetujuan atau mandat ahli keseluruhannya." 

Pindaan 2022 menyambung usaha sebelumnya dengan menambah baik mekanisme pelaksanaan, memantapkan hak pelaku, dan memperketatkan kawal selia terhadap CMO.


Salah satu kemasukan penting ialah, Seksyen 27M memberikan kuasa kepada Pengawal Hak Cipta (Copyright Controller) untuk mengeluarkan Garis Panduan yang wajib dipatuhi oleh semua CMO.


Berdasarkan aduan berterusan daripada penggiat muzik dan pengguna karya, serta hasil sesi libat urus bersama pemegang hak, MyIPO telah menerbitkan Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 pada 17 Januari 2025.


Garis panduan ini bertujuan memperkukuh:


* Ketelusan (Transparency)

* Pertanggungjawab (Accountability)

* Tadbir urus yang baik (Good Governance)



Foto: Raja Yusof Ariffin.

Sementara itu, untuk langkah selanjutnya, Freddie memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu memorandum sokongan terhadap garis panduan Organisasi Pengurusan Kokektif 2025 dan bantahan terhadap tindakan mahkamah yang cuba menghalang pelaksanaannya.

"Kami membantah dengan sekeras-kerasnya tindakan mahkamah yang telah diambil oleh badan kutipan royalti yang cuba menghalang perlaksaan Garis Panduan MyIpo (Perbadanan Harta Intelek Malaysia)."  jelas Freddie mewakili semua berpandukan kata-kata semangat,  'Majulah Hak Cipta dan majulah MYIPO untuk negara!

#KARYAWAN #CMO2025 #GarisPanduan #MyIPO #3PMuzikMalaysia #ForYouPage




Tiada ulasan:

Catat Ulasan