GGR MOTOR PERKENAL MOTOSIKAL EV HARGA 'RAHMAH' SASAR JUALAN 30,000 UNIT BERAKHIR 2025!
Inisiatif mega ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri permotoran elektrik serantau, di samping memacu pembangunan motosikal elektrik (EV) buatan tempatan.
Program dianjurkan GGR Legacy (M) Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai GGR Motor bersama rakan strategik utamanya, Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd. bakal dilancarkan secara rasmi pada 28 Jun ini.
Gabungan dua nama besar ini diyakini bakal menjadi pemangkin perubahan dalam landskap automotif negara, sekaligus membuka lembaran baharu ke arah mobiliti hijau dan mampan.
GGR Motor, sebuah pengilang pemasangan motosikal EV milik penuh usahawan Bumiputera, mengetengahkan motosikal keluaran tempatan berkualiti tinggi pada harga mampu milik.
Ia juga bertindak sebagai pengeluar motosikal EV Bumiputera pertama negara, dan kini bergerak aktif memperluaskan rangkaiannya melalui kerjasama eksklusif bersama PMH MOTOR selaku pengedar sah utama di seluruh Malaysia.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem motosikal EV, GGR Motor turut menjalin kerjasama strategik dengan Bateriku.com untuk menyediakan khidmat selepas jualan dan penyelenggaraan di seluruh negara.
Program ini juga menjadi pemangkin kepada penubuhan Pusat Latihan Kemahiran TVET bersama PMH MOTOR yang bakal menyumbang kepada pembangunan modal insan negara, melahirkan tenaga mahir belia tempatan dalam bidang automotif hijau, khususnya melibatkan pemasangan, penyelenggaraan, dan jualan motosikal EV.
Selain itu, program turut mendapat sokongan padu pelbagai agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), TVET@KKDW, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) dan VECTRIX.
Antara kemuncak acara ialah pengenalan model motosikal elektrik terbaru Lion G1, yang ditawarkan pada harga asas RM3,999 dan serendah RM1,599 selepas subsidi di bawah skim MARiiCas - menjadikannya motosikal EV paling mampu milik untuk pelajar, penghantar makanan dan pengguna bandar.
Dikuasakan oleh motor 3,000 watt, Lion G1 mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 120 kilometer bagi satu pengecasan penuh dan menyokong pengecasan pantas hingga 50% dalam tempoh hanya 30 minit.
Motosikal ini turut didatangkan dengan waranti menyeluruh sehingga 50,000 kilometer, meliputi bateri, motor dan sistem kawalan elektronik (controller).
“EV Rider Malaysia ialah platform transformasi menyeluruh untuk memperkasa pendidikan pengguna, merangsang pelaburan, dan memperkukuh jaringan industri EV. Ini peluang besar untuk menjadikan Malaysia peneraju utama dalam revolusi mobiliti serantau,” ujar Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi pada majlis sidang media yang berlangsung.
![]() |
FOTO: Zaman. |
Turut hadir antaranya tetamu kehormat Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail selaku Pengerusi GGR Motor; Dr. Nizar Abdul Jalil, rakan kongsi utama GGR Motor; Pengarah Urusan bateriku.com Azarol Faizi; Timbalan Pengarah 1 MARA Negeri Selangor, Azuan Md Ghazali; Pengarah Urusan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn. Bhd., Mohd Izwan Mazlanl; Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM), Mohd Zameer Zahur Hussain dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Cape EMS Berhad (VECTRIX), Leong Lup Yan.
Bersama meraikannya terdiri daripada beberapa rakan artis seperti antaranya Farid Kamil, Cat Farish, Johan Raja Lawak dan Kumpulan Gerhana Ska Cinta.
Berkongsi lanjut, Muhammaf Mussadiq memaklumkan, sejak diperkenalkan dalam masa seminggu pihaknya telah berjaya menjual sebanyak 2,400 unit Lion G1.
Jelasnya, sasaran awal sebanyak 3,000 unit bagi bulan Jun kini telah dinaikkan kepada 5,000 unit, susulan permintaan meningkat termasuk dari China.
Sebagai sebahagian daripada pelan perluasan kapasiti bagi mencapai sasaran 30,000 unit menjelang Disember 2025, GGR Motor kini merancang pembangunan sebuah lagi kilang baharu hasil kerjasama dengan pelabur dari China, melibatkan kos lebih kurang RM20juta.
Tapak kilang itu yang terletak berhampiran kemudahan sedia ada iaitu di Kampung Sq Penchala, Damansara KL, bakal dibina di atas tanah milik Tengku Syarif Temenggong Perlis, yang juga dilantik sebagai pengerusi projek kerana sumbangan strategiknya dalam perkembangan syarikat.
Pelabur dari China akan membina kilang komponen motorized dan menghantar komponen untuk dipasang berdasarkan keupayaan jualan semasa.
Seramai 50 belia lelaki, khususnya yang lahir pada tahun 2000 dan ke atas, akan diserap masuk ke dalam latihan teknikal ini sebelum ditawarkan jawatan tetap dalam syarikat.
“Kami bukan sahaja ingin menjual motosikal, tetapi mahu membina ekosistem EV tempatan yang menyeluruh – dari penyelidikan dan pembangunan, pemasangan, latihan kemahiran, penyelenggaraan, hinggalah ke peluang keusahawanan,” jelas Muhammad Mussadiq.
Sasaran pasaran GGR Motor adalah golongan belia, penjawat awam, warga FELDA, anggota keselamatan serta komuniti bandar dan luar bandar yang memerlukan alternatif mobiliti kos efektif dan mesra alam.
EV Rider Malaysia 2025 juga membuka ruang kepada kerjasama MARA untuk melantik usahawan pengedar EV dalam kalangan lepasan TVET, disusuli latihan SKM Tahap 3 dalam bidang R&D, pemasangan dan perkhidmatan teknikal.
Program ini turut menyaksikan penyertaan aktif daripada negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan China, serta kehadiran influencer dan media sosial EV terkenal dari dalam dan luar negara.
Dengan pendekatan bersepadu yang merangkumi kolaborasi strategik tempatan dan antarabangsa, pembangunan tenaga kerja tempatan dan penekanan terhadap teknologi lestari, GGR Motor yakin programnya bakal menjadi penanda aras baharu bagi acara permotoran elektrik di Asia Tenggara dan bukti bahawa produk keluaran anak tempatan mampu bersaing di peringkat global.
Sementara itu, sempena pelancaran rasmi Program EV Rider Malaysia 2025 pada 28 Jun ini, GGR Motor tampil sebagai salah satu penaja rasmi Festival Aku Muzik dan Kamu (AMK) Indie 2025, dengan menawarkan dua unit Lion GI sebagai hadiah kepada peminat bertuah.
AMK Indie 2025 yang bakal berlangsung selama dua hari pada 26 hingga 27 Julai 2025 di Sepang Interntional Circuit membariskan 21 band tempatan dari pelbagai genre muzik antaranya Cromok, Hujan, Meet Uncle Hussein, 6ixth Sense, Butterfingers, Monoloque, Gerhana Ska Cinta dan ramai lagi.
Dengan RM80++ penonton dapat menyaksikan lebih 10 persembahan dalam satu malam bermula dari jam 5 petang hingga 11 malam.
Tiket boleh didapati melalui http://ilassotickets.com/amk2025.
#EVRiderMalaysia #AMKIndie2025 #AkademiGCR #GGRMotor #PMHMotor #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan