Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MIMF 2025 PERKUKUH PERANAN MALAYSIA DALAM INDUSTRI GLOBAL!

 


EDISI ke-36 Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF 2025) dijangka menjadi medan penting bukan sahaja sebagai himpunan industri, tetapi juga sebagai platform strategik yang menyerlahkan peranan Malaysia dalam landskap industri global yang terus berkembang.


Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah, dalam ucapan alu-aluanya pada sidang media MIMF yang berlangsung di MITEC KL, menegaskan bahawa MIMF bukan sekadar pameran perdagangan, malah berfungsi sebagai pintu masuk kepada pelbagai peluang perniagaan.


“MIMF 2025 adalah lebih daripada sekadar pameran perdagangan; ia merupakan gerbang kepada peluang – menjadi pemangkin kepada padanan perniagaan, pertukaran teknologi dan pengembangan pasaran antarabangsa,” katanya.


Turut hadir Presiden PROMAS, Datuk Chong Chong Tik; Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor; Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Keemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Muhyidin Aziz @Saari dan Setiausaha Agung Persatuan Perdagangan Jentera Makanan & Pembungkusan Guangdong, Zou Xin Rui.



PROMAS melalui kerjasama berterusan dengan China dan negara-negara lain terus memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan antara syarikat Malaysia dengan pembeli, pengeluar dan pelabur global. Hubungan ini bukan sekadar urus niaga tetapi melibatkan usaha sama jangka panjang yang mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi mampan.


Edisi tahun ini turut mencatat pencapaian penting apabila lebih 800 gerai pameran dijangka menghiasi ruang pameran dengan tumpuan kepada teknologi tinggi, transformasi industri dan kolaborasi rentas sempadan. 



Pameran ini turut menyokong agenda Industri 4.0 negara dengan menekankan pendigitalan, pembuatan pintar, serta pertumbuhan lestari.


Pendek kata, MIMF 2025 yang bakal berlangsung di MITEC pada 10 hingga 12 Julai 2025 ini dijangka menjadi hab baharu kerjasama rentas sempadan, pemindahan teknologi, dan kemajuan industri.


“Kami berbangga melihat bagaimana MIMF telah berkembang menjadi salah satu pameran industri paling dihormati di Malaysia. Kami akan terus komited menyokong pertumbuhan PKS tempatan, menggalakkan kerjasama serantau dan menjadikan Malaysia peneraju dalam ekosistem global perindustrian dan pembuatan,” akhiri Dr. Susan.



Dalam pada itu, Chong Tik turut mengumumkan MIMF buat julung kalinya diperkasakan dengan sokongan strategik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM, dengan tumpuan utama terhadap inovasi dalam pemprosesan dan pembungkusan makanan.


Menurutnya, peranan JAKIM adalah sebagai rakan kerjasama utama yang mempromosikan agenda halal dan memudah cara proses pensijilan bagi syarikat yang mengambil bahagian.


“Kerjasama ini amat kritikal dalam memacu kedudukan Malaysia sebagai hab halal global, terutamanya dalam membimbing syarikat-syarikat antarabangsa, khususnya dari China, untuk memahami dan mematuhi piawaian halal Malaysia yang ketat,” ujar Chong.



Menurutnya, PROMAS melalui kerjasama berterusan dengan China dan negara-negara lain terus memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan antara syarikat Malaysia dengan pembeli, pengeluar dan pelabur global. 


“Hubungan ini bukan sekadar urus niaga tetapi melibatkan usaha sama jangka panjang yang mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi mampan,” tambahnya.


DARI kiri: Abu Hassan, Chong Ttik dan Xin Rui.

Berkongsi pandangan sama, Abu Hassan berpendapat, memandangkan pameran ini berfokus pada pemprosesan dan pembungkusan makanan, ramai pempamer dari China, Taiwan, Korea, dan Jepun mungkin kurang arif tentang halal.


"Jadi, kami gunakan peluang ini untuk mendidik mereka dan menggalakkan mereka melabur dalam industri makanan di Malaysia,” tambah Abu Hassan.


Selain itu, MIMF turut menampilkan forum seperti "Industri Bakeri Halal," yang menekankan kepentingan piawaian halal dan potensi pasaran global. 


“Ini menonjolkan JAKIM sebagai pemudah cara utama dalam mempromosikan piawaian halal kepada peserta pameran, sekali gus memperkukuh reputasi pameran sebagai platform mesra halal,” sambung Abu Hassan.



Sokongan JAKIM kepada MIMF adalah sejajar dengan matlamat nasional untuk mengukuhkan ekosistem Halal Malaysia sebagai kuasa besar global. 


Pameran seperti MIMF, yang menumpukan pada jentera dan teknologi pemprosesan makanan, berfungsi sebagai platform strategik untuk mempromosikan teknologi halal dan menyokong usahawan dalam pasaran eksport. 


Menurut Pelan Induk Industri Halal 2030, industri halal dijangka menyumbang kira-kira 10.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, atau mencecah RM231 bilion menjelang tahun 2030. 


Untuk rekod, pada tahun 2024 sahaja, eksport produk halal Malaysia telah mencapai RM61.79 bilion, menunjukkan peningkatan 15% berbanding tahun sebelumnya. 


Melalui kerjasama strategik seperti ini, Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai hab halal dunia, yang telah dibangunkan sejak empat dekad yang lalu. 

Ini secara langsung meningkatkan keyakinan pelabur asing dan permintaan pasaran ekspot.



#MIMF #JAKIM #DPUM #MITEC #PROMAS #China #IndustriBakeriHalal  #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan