JOM! CIPTA SEJARAH BERSAMA TONTON 'KONSERT LEGASI P. RAMLEE' 20 SEPT. 2025!
Dianjurkan oleh syarikat produksi tempatan Tanahair Films Sdn. Bhd., yang diasaskan oleh dua nama besar dalam industri iaitu Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, konsert ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan warisan seniman agung Tan Sri P. Ramlee.
Konsert menjanjikan pengalaman persembahan yang luar biasa dan menyentuh emosi, dengan gabungan elemen klasik, kontemporari dan popular yang disusun dalam gaya persembahan yang dramatik, sinematik dan teatrikal.
Ia bukan sahaja membawa penonton menyusuri era kegemilangan seni Melayu, bahkan mentafsirkan semula karya-karya abadi Tan Sri P. Ramlee dengan pendekatan kreatif dan moden, menjadikannya lebih dekat dengan hati generasi masa kini.
Mengemudi persembahan muzikal malam itu ialah empat figura maestro muzik tanah air – Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen – yang bakal mengetuai lebih 60 pemuzik orkestra dalam menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee.
Lagu-lagu akan dipersembahkan dalam bentuk medley, duet dan solo, dengan susunan muzik klasik dan baharu yang memberi nafas segar tanpa menghilangkan keaslian karya.
Barisan artis yang akan menghiasi pentas turut menggabungkan ikon legenda dan bintang masa kini, antaranya Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera, dan Liza Hanim, masing-masing akan mempersembahkan lagu-lagu pilihan dengan gaya dan ekspresi mereka yang tersendiri sebagai penghargaan terhadap legasi seniman agung negara.
Lebih istimewa, konsert ini akan menampilkan tiga figura impersonator paling menyerlah – P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee – yang bakal menghidupkan semula persona dan suara Tan Sri P. Ramlee dalam suasana persembahan kontemporari yang penuh nostalgia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, konsert ini merupakan fasa kedua Projek Perdana P. Ramlee selepas pelancaran Legasi Podcast pada September 2024, dan dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha memperkasakan seni tanah air.
“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” katanya pada majlis sidang media Konsert Legasi P. Ramlee yang berlangsung di FINAS baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi FINAS, Dato Hans Isaac serta artis-artis terlibat.
Sementara itu, Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik konsert menegaskan bahawa malam tersebut akan menyajikan pengalaman yang bukan sahaja mengimbau kenangan, malah membangkitkan semula semangat seni Melayu dengan sentuhan segar dan penuh kekaguman.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat maestro muzik tersohor,” ujar beliau.
Tiket-tiket untuk menyaksikan malam penuh magis ini akan mula dijual bermula Khamis, 26 Jun 2025 menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my.
..Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan dan sorotan eksklusif konsert ini menerusi media sosial rasmi di @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms, dan @legasipodcast di Facebook, Instagram dan TikTok.
Konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik dan agensi kerajaan, antaranya Arkib Negara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Komunikasi Malaysia, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
![]() |
MERAKAMKAN kenangan bersama empat penyanyi lagenda tanah air - Jamal, Ella, Zainal Abidin dan Musly Ramlee. |
#KonsertLegasiPRamlee #ProjekPerdanaPRamlee #Artis #MaestroMuzik #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan