'LEBIH INDAH BERPISAH' CERMINAN JIWA BELLA, KOLABORASI BERSAMA ADE GOVINDA!
“LEBIH Indah Berpisah’ … begitu luahan hati bekas isteri penyanyi berasal Singapura, Alif Aziz, Bella Astillah yang dijadikan judul single terbaharunya ‘feat’ Ade Govinda, maestro muzik Indonesia.
Ade Govinda, bukan sahaja menggalas tugas sebagai pencipta lagu tetapi turut menerbitkan "Lebih Indah Berpisah", telah mengukir melodi yang penuh makna, menceritakan tentang kekuatan hati untuk melepaskan ikatan cinta yang tidak lagi dihargai, lantas membuka lembaran baru yang lebih indah.
Secara tidak langsung itulah juga gambaran yang diberikan Bella selepas perceraiannya bersama Alif.
Untuk rekod, pemilik bernama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, ini berkahwin dengan Alif Aziz setelah berkenalan selama dua tahun dan bertunang hampir 9 bulan pada akhir 2016.
Pasangan ini memfailkan perceraian pada 16 Mei 2019 namun pada April 2020, Bella mengesahkan telah rujUk kembali pada tahun 2019 ketika dalam tempoh iddah.
Hasil perkongsian bersama, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Mohamed Aden, 8. dan Ara Adreanna, 5 tahun.
Pun begitu, jodoh mereka terhenti apabila Bella sekali lagi memfailkan perceraian sehinggalah Alif Aziz melafazkan talak satu pada 13 Jun 2024. Berakhirlah episod cinta mereka..
Kini kata Bella, ‘Lebih Indah Berpisah’ menerusi lagu terbaharunya itu di mana lagu tersebut tampil dengan inti pati emosi yang mendalam, membungkus naratif tentang keberanian dan kekuatan untuk memilih kebahagiaan diri di sebalik sebuah perpisahan.
Bella Astillah berkongsi bahawa lagu "Lebih Indah Berpisah" ini membawa makna yang sangat peribadi baginya.
"Pada awalnya, tajuk yang dicadangkan sedikit berbeza, namun kami sepakat untuk memilih perkataan 'indah' sebagai tunjang utama judul, yang secara langsung menggambarkan aspek positif di sebalik sebuah perpisahan. Ade telah menggarap lagu ini dengan sepenuh jiwa dan semangat, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan hati yang ikhlas,” ujar Bella pada majlis eksklusif bersama media baru-baru ini, yang turut dihadiri Ade Govinda.
Mengimbas kembali pengalaman berkolaborasi dengan Ade dan pasukannya, Bella menyifatkan ia sebagai kenangan yang tidak ternilai dan sukar dilupakan.
Beliau memuji profesionalisme tinggi yang dipamerkan oleh pasukan tersebut.
"Mereka sangat menghormati masa, bakat, dan setiap individu tanpa mengira latar belakang. Layanan yang diberikan penuh hormat dan profesionalisme. Suasana positif di studio rakaman turut menyumbang kepada kelancaran projek ini," jelasnya.
Bella menambah, "Sewaktu proses rakaman, suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan, menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan. Malah, dengan semangat dan sokongan mereka, saya rasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik.”
Bella menzahirkan harapan agar "Lebih Indah Berpisah" dapat menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada mereka yang sedang menempuh fasa sukar dalam percintaan.
"Saya mahu lagu ini diterima baik dan menjadi teman setia kepada sesiapa yang sedang berhadapan dengan kesedihan. Harapan saya agar lagu ini bukan sahaja mendapat tempat di Malaysia, malah turut menembusi pasaran Indonesia," katanya.
Bella turut menegaskan bahawa projek ini merupakan platform untuk beliau mencabar diri sendiri, meningkatkan kualiti vokalnya, dan terus berkembang sebagai seorang artis.
“Saya hasilkan lagu ini bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak, tetapi untuk diri saya sendiri dan untuk menjadi lebih baik," tegasnya.
Sementara itu, Ade Govinda menghuraikan bahawa "Lebih Indah Berpisah" bukan sekadar gubahan melodi, sebaliknya adalah luahan jiwa tentang keberanian melepaskan dan memilih haluan baharu demi kebahagiaan diri.
"Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang berani mengambil keputusan untuk berpisah apabila cintanya tidak lagi dihargai. Ia membawa mesej bahawa perpisahan bukanlah sebuah kegagalan, tetapi sebaliknya adalah satu langkah berani menuju kehidupan yang lebih indah, berbanding terus berjuang sendirian dalam hubungan yang tidak seimbang," jelas Ade.
Beliau turut menyeru, "Jika cinta anda tidak dihargai, semoga lagu ini memberi keberanian untuk mengambil keputusan yang tepat. Kehidupan selepas berpisah boleh menjadi jauh lebih indah daripada apa yang kita bayangkan. Bella memperlihatkan kesabaran, keikhlasan, dan ketulusan yang luar biasa, namun setiap individu pasti ada batasnya. Lagu ini adalah penghormatan kepada kekuatan hati itu.”
Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Bella, Ade melahirkan rasa kagum terhadap profesionalisme tinggi yang dimiliki oleh artis muda tersebut.
"Bella sangat profesional, bukan sahaja dalam nyanyian malah dalam lakonan video muzik juga menunjukkan kesungguhan yang luar biasa. Tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya. Bella memang hebat," puji Ade.
Sejak dilancarkan pada bulan lalu, lagu "Lebih Indah Berpisah" telah berjaya mengumpul lebih 700,000 strim di platform YouTube, membuktikan resonans yang kuat dengan pendengar.
#LebihIndahBerpisah #BellaAstillah #AdeGovinda #MalaysiaIndonesia #Lagu #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan