FDM 2025 TARIK 18,000 PENGUNJUNG, LEBIH 500 PEMPAMER DARI 60 NEGARA!
PAMERAN perdagangan makanan dan minuman terbesar di Malaysia, Food and Drinks Malaysia by SIAL Network 2025 (FDM2025), mencatatkan kejayaan luar biasa apabila menarik lebih 18,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa sepanjang berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), bermula 1 Julai lalu.
Pameran edisi kali ini menghimpunkan lebih 500 pempamer dari 60 negara, selain menampilkan lebih 20 pavilion antarabangsa termasuk dari rantau ASEAN, Eropah dan Amerika Utara.
Kehadiran meluas pemain industri global membuktikan keyakinan berterusan terhadap peranan Malaysia sebagai pusat perdagangan dan inovasi makanan serantau.

PRODUK chocalate/gula gula dari ROSHEN ini sering menjadi viral di media sosial antara yang mendapat kunjungan ramai di FDM 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Pengarah Comexposium Asia Tenggara, Henri Tan, menyatakan bahawa FDM bukan sekadar acara pameran biasa, sebaliknya sebuah platform strategik yang membuka laluan kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran eksport serta menjalin hubungan perniagaan berimpak tinggi dengan pembeli antarabangsa menerusi jaringan kukuh SIAL yang beroperasi di lebih 50 negara.
FDM2025 turut memperkukuh komitmen terhadap pemerkasaan amalan halal, kelestarian dan pemodenan industri makanan, seiring matlamat Malaysia untuk menonjolkan diri sebagai hab makanan halal dan berinovasi di Asia Tenggara.
Pameran ini menyaksikan pelbagai produk tempatan dipertontonkan kepada pembeli luar negara, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama dan peluang pelaburan.
Antara acara utama yang mencuri tumpuan termasuk The Chocolate Show, yang dianjurkan dengan sokongan Lembaga Koko Malaysia, sebagai usaha mempromosi produk berasaskan koko tempatan kepada pasaran global.
Turut berlangsung ialah SIAL Innovation Awards, forum masa depan pertanian, sidang wacana halal dan pertandingan memasak peringkat antarabangsa.
Dalam acara anugerah berprestij SIAL Innovation Awards Malaysia, produk keluaran tempatan Symphony Spread Black Sesame Cream oleh Symphony Confection telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas.
Tempat kedua dimenangi oleh MusaWa Puffs dari Musarium Co. Ltd (Thailand), manakala Barley Fresh Noodle dari Kosmode Health Singapore menerima Anugerah Gangsa.
Ketiga-tiga produk dinilai berdasarkan tahap inovasi, potensi pasaran dan nilai tambah kepada pengguna.
Menurut Henri Tan, kejayaan penganjuran FDM2025 turut memperkukuh jalinan strategik antara Malaysia dan negara-negara luar menerusi acara seumpamanya di peringkat antarabangsa seperti SIAL Shenzhen di China, yang menyediakan platform padanan perniagaan, perkongsian teknologi dan pemindahan ilmu.
Dengan pencapaian menggalakkan tahun ini, FDM2025 dilihat terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem makanan dan minuman negara, di samping meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran serantau dan global.
#SIALNetwork #FDM2025 #SIALInnovationAwards #LembagaKokoMalaysia #fyp








Tiada ulasan:
Catat Ulasan