DPUM SARAN KERAJAAN WARTA HARI USAHAWAN NEGARA SEBAGAI HARI RASMI TAHUNAN!
DEWAN Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) menggesa kerajaan mewartakan Hari Usahawan Negara (HUN) sebagai acara rasmi tahunan, sepertimana sambutan Hari Guru, Hari Pekerja dan lain-lain, bagi menghargai jasa dan pengorbanan usahawan yang berdepan pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan.
Presidennya, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor berkata, langkah itu bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada golongan usahawan, malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan penting para usahawan dalam pembangunan ekonomi negara.
“Usahawan adalah nadi penggerak ekonomi dan wajar diraikan,” tambahnya.
Sebagai penganjur, DPUM mengambil tanggungjawab besar untuk memastikan acara ini diraikan oleh setiap usahawan yang aktif dan berdaya saing.
“Hari Usahawan Negara wajar dijadikan simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para usahawan dalam menghadapi pelbagai dugaan serta memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran HUN 2025 di Saloma KL, yang disempurnakan bersama oleh Raja Saidatul Mardiah Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC), Dato Shaharuddin bin Abu Sohot.
Turut hadir Ketua Pengarah MARA, Dato Zulfikri Osman dan Ketua Penolong Pengarah E5 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Yusni Mohd Jamil serta para usahawan jemputan antaranya seperti Datin Ruby Hasim dari Ruby Travel & Tours serta Dr. Suzana Hasnan, pakar aesthetic dan pengasas Klinik Suzana dan ramai lagi.
![]() |
| KIRI: Dr. Suzana dan Ruby (dua dari kanan). |
Keselurahannya, seramai tujuh usahawan menerima sijil penghargaan usahawan di bawah DPUM manakala acara MoU antara DPUM dan Anjungku Malaysia diwakili Ramley Zainal (gambar bawah, kanan) turut diadakan.
HUN 2025 dijadualkan berlangsung meriah di kawasan tempat letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari 11 hingga 16 September ini, bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, dijangka menjadi platform perhimpunan terbesar usahawan dalam dan luar negara, melibatkan pelbagai kluster perniagaan.
“DPUM menyasarkan 500,000 pengunjung bakal memeriahkan acara ini, yang buat pertama kali membabitkan penyertaan antarabangsa dengan penglibatan negara seperti China, Indonesia, Vietnam, Singapura, Kemboja dan Timur Tengah,” ujar Abu Hassan ketika ditemui.
Menurut beliau, selepas kali pertama dianjurkan pada 2022 dengan hanya melibatkan usahawan tempatan berikutan kekangan pandemik Covid-19, edisi kedua tahun ini bakal mencatat sejarah apabila turut disertai usahawan dari negara luar selama enam hari.
Bertemakan “Usahawan Nadi Negara”, HUN 2025 akan menghimpunkan lebih 1,000 lot pameran daripada usahawan tempatan dan antarabangsa, daripada pelbagai peringkat usahawan, daripada peniaga kecil hinggalah kepada jenama terkenal tempatan dan antarabangsa.
Lot pameran itu ditawarkan pada harga bermula RM1,500 hingga RM20,000 bergantung kepada saiz dan kemudahan, memandangkan struktur bangunan khas akan dibina bagi acara tersebut,” tambah Abu Hassan sambil mengalu-alukan penyertaan kementerian dan agensi berkaitan bagi memeriahkan program.
Abu Hasan turut mendedahkan bahawa penyertaan dari China sahaja merangkumi sekitar 200 lot pameran, manakala FAMA akan menyertakan 40 lot jualan hasil tani.
“Lot pameran masih terbuka untuk ditempah yang mana setekat ini 40% lot telah dipenuhi. Jadi para usahawan di jemput bersama mengisi kekosongan yang ada dan orang ramai juga dipersilakan hadir untuk menikmati tawaran harga kilang, peluang perniagaan, dan aktiviti menarik yang bakal memeriahkan suasana sempena sambutan Hari Malaysia,” tambahnya.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai barangan terus dari kilang pada harga yang lebih murah dan berpatutan serta 50% diskaun saman mahupun mendapatkan pinjaman tanpa faedah.
Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti lain juga diadakan termasuk Majlis Makan Malam dan Anugerah Usahawan, jualan Agro Madani oleh Ladang FAMA, persembahan artis, pertandingan mewarna kanak-kanak, acara berbasikal beramai-ramai dengan hadiah utama basikal lipat bernilai RM28,000, serta “Fun Run”.
Forum dan simposium keusahawanan pula akan menghimpunkan tokoh perniagaan dari pelbagai negara, sekali gus membuka peluang pasaran dan meningkatkan kadar eksport produk tempatan.
Abu Hassan memaklumkan, pihaknya mahu menjadikan HUN sebagai pentas utama bagi memperluas jaringan ekonomi dalam sektor import-eksport, pelancongan, kebudayaan, makanan warisan, perindustrian, pertanian, pelaburan dan perkhidmatan hingga ke peringkat antarabangsa.
Tidak mahu menjadikan sesuatu acara seperti melepaskan batuk di tangga, walau pun tanpa geran dan modal yang besar, melalui HUN 2025, DPUM tetap berusaha gigih demi memberi peluang sama rata kepada semua – daripada peniaga kecil sehinggalah pengusaha besar bertaraf global.
“Inilah platform terbaik untuk membina jaringan, mempamerkan produk, dan membuka peluang eksport,” akhiri Abu Hassan.
Majlis pra pelancaran yang berlangsung turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh penari dari Saloma Entertainment dan nyanyian oleh penyanyi Keena Mentor atau nama sebenarnya, Suriana Adul Wahab dan Cat Farish bersama isterinya, Shikin Maembong.
#HUN2025 #UsahawanNadiNegara #StadiumBukitJalil #Motac #ImportEksport










Tiada ulasan:
Catat Ulasan