MYDIN LANCAR 'MISI MEOW PRIHATIN' BANTU KUCING TERBIAR !
MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, ‘Misi Meow Prihatin’, dalam usaha membantu kucing terbiar di seluruh negara.
Program yang dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di MYDIN Subang Jaya baru-baru ini merupakan kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) bersempena sambutan Hari Kucing Sedunia.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, bank makanan kucing yang turut dirasmikan akan ditempatkan di 27 cawangan pasar raya besar MYDIN bagi membolehkan orang ramai, terutamanya pelanggan, menyumbang makanan untuk haiwan-haiwan jalanan.
Pada majlis yang sama, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan melancarkan rangkaian produk makanan dan kesihatan kucing di bawah jenama MYDIN sendiri, SmartCat dan SuperCat diringi bersama Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin dan isteri, Datin Wira Dr Hajah Siti Hawa Mohd selaku Pengarah Mydin Mohamed Holdings Berhad.
Turut hadir Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin, dan Jonathan Yeoh dari PAWS.
Produk-produk ini bertujuan memenuhi keperluan pemilik haiwan peliharaan dengan menawarkan harga mampu milik dan kualiti terjamin, sekali gus menandakan langkah MYDIN untuk memperluaskan tawaran jenama sendiri ke dalam segmen penjagaan haiwan.
Dalam ucapan aluannya, (Dr) Haji Ameer Ali Mydin menyatakan, bahawa program ini adalah yang pertama seumpamanya dan mencerminkan komitmen berterusan syarikat bukan sahaja kepada masyarakat, tetapi juga kepada haiwan yang menjadi sebahagian daripada komuniti.
“Program ini juga memberikan peluang kepada pencinta kucing untuk membawa kucing mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan memberi peluang kepada orang ramai untuk menjaga kucing terbiar yang telah diselamatkan oleh Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS),” ujar Dr Hj Ameer Ali Mydin.
Beliau turut menegaskan pentingnya penglibatan setiap individu dan organisasi korporat dalam menyayangi dan melindungi haiwan, dan inisiatif ini membuka ruang kepada masyarakat untuk turut serta.
“MYDIN sentiasa komited untuk menyokong usaha kebajikan rakyat jelata serta menjaga kesejahteraan komuniti,” tambah Hj Ameer.
Sehubungan itu, dalam semangat keprihatinan, MYDIN menerusi inisiatif MYDIN Prihatin turut menyampaikan sumbangan barangan makanan dan keperluan haiwan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) bagi membantu meringankan perbelanjaan persatuan tersebut dalam menjaga kebajikan haiwan terbiar.
#MYDIN #PAWS #TengkuPermaisuriSelangor #MisiMeowPrihatin #Kucing #fyp








Tiada ulasan:
Catat Ulasan