Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MALAYSIA BERSAMA GAZA: HIMPUNAN MEGA BAKAL GEGAR DATARAN MERDEKA 24 OGOS!


LAMBANG
 perpaduan dan tekad rakyat Malaysia bakal terukir pada 24 Ogos ini apabila Dataran Merdeka dijangka bertukar menjadi 'lautan putih' yang mengalirkan gelombang solidariti untuk perjuangan rakyat Gaza. 


Himpunan mega yang dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 peserta ini merupakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang dianjurkan bersama oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).


Dengan semangat yang merentas batas geografi dan perbezaan ideologi, acara ini dinaungi oleh Dato’Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang teguh mempertahankan suara Palestin di pentas dunia.


Beliau turut disokong oleh empat menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Hj Mohd Naim Mokhtar.


Ia adalah manifestasi jelas suara hati rakyat Malaysia yang teguh berdiri di belakang Palestin, sekali gus menjadikan acara ini lebih dari sekadar perhimpunan, tetapi sebuah deklarasi aman penuh makna.


Acara kemuncak pada malam 24 Ogos akan dimulakan dengan solat Maghrib dan solat Hajat perdana yang akan dipimpin oleh Sheikh Abdul Karim Al-Makki.



Para peserta juga akan disajikan dengan tausiah peduli Ummah oleh tokoh pendakwah, disusuli dengan syarahan khas oleh Perdana Menteri dan himpunan ini akan diakhiri dengan Deklarasi Sumud Nusantara untuk Gaza, Flag-off delegasi Flotilla Sumud Nusantara dan Bacaan Qunut Nazilah untuk pembebasan Gaza. 


Malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah dari kumpulan Majelis AzZahir yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.


Selain daripada acara kemuncak itu, Karnival Sumud Nusantara yang berlangsung selama tiga hari turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik. 


Antara tarikan utama termasuklah VR Gaza Time Tunnel, sebuah inovasi kemanusiaan oleh MAPIM, pertunjukan belon panas serta Havoc Food Festival. 


Para pengunjung juga berpeluang mengunjungi pameran agensi, menyaksikan pelancaran Ensiklopedia Himpunan Projek Malaysia di Gaza (Gaza 101), Kids World Hall dan menikmati tayangan filem-filem yang mengisahkan perjuangan rakyat Gaza.


Delegasi dari seluruh Malaysia serta lapan negara lain akan turut menyertai konvoi darat melibatkan lebih 1,000 kenderaan membawa bendera Palestin menuju ke Dataran Merdeka, mewujudkan panorama solidariti yang jarang dilihat di tanah air.


Dalam pada itu, MAPIM juga memperkenalkan SKMM sebagai rakan strategik utama karnival yang akan membuka reruai kesedaran digital melalui Hall Rafah dengan pameran Kempen Internet Selamat, Nexus, dan juga Nadi. 


Media Malaysia menjadi aset utama dalam perjuangan pembebasan Palestin ini kerana keberanian pihak Menteri dan Kementerian untuk menyatakan fakta dalam lautan propaganda regim zionis untuk dunia. 


Karnival ini juga disokong oleh jenama minuman lokal yang tidak asing lagi dalam usaha-usaha kemanusiaan iaitu ZUS Coffee. 



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dato’ (Dr) Sani Araby, Dataran Merdeka sengaja dipilih untuk menjadi "lautan putih" sebagai simbol perpaduan rakyat Malaysia bersama perjuangan Gaza. 


"Bersempena bulan kemerdekaan negara, sangatlah bererti untuk kita sebagai rakyat yang sudah merdeka menghayati keperitan dan membantu memerdekakan saudara kita di Gaza dan Palestin," tegasnya, sambil mengajak orang ramai untuk menggunakan dua tanda pagar, #GazaBangkit dan #GazaYouAreNotAlone bagi menghebahkan semangat ini.


Bagi Nadir Al-Nuri, Ketua Pegawai Eksekutif CGM dan Ketua Pengarah Projek Sumud Nusantara, himpunan ini adalah gema suara rakyat Malaysia dan diterjemahkan dalam aksi delegasi aktivis yang akan menyertai gerakkan menghantar bantuan menerusi Global Sumud Flotilla, melibatkan 39 negara untuk cubaan aksi aman berlayar ke lautan Gaza seperti Madleen dan Handalah.


Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga, berpakaian putih bertema Gaza dan Palestin. 


Surau dan kemudahan awam disediakan namun dinasihatkan membawa tikar, sejadah dan payung serta menggunakan pengangkutan awam bagi memastikan setiap yang hadir selesa untuk bersama-sama mengukir detik sejarah di tengah nadi ibu kota bahawa Malaysia bersama Gaza dan Palestin hingga merdeka.


GAMBAR Hiasan....


#GazaBangkit #GazaYouAreNotAlone #DeklarasiSumudNusantara #Gaza #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan