Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MYDIN LANCAR KOTAK SARA RAHMAH, PELOPORI SEMANGAT IHSAN MALAYSIA MADANI !


DALAM usaha terbaharu untuk meringankan beban golongan memerlukan, MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) memperkenalkan inisiatif tanggungjawab sosial yang inovatif, Kotak SARA RAHMAH. 


Program yang menggunakan konsep 'beli dan derma' ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), menjadikannya satu langkah holistik dalam membantu masyarakat.


Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr Hajah Fuziah Salleh, di MYDIN Subang Jaya, menandakan satu lagi langkah dalam Inisiatif Payung RAHMAH kerajaan. 



Menerusi program ini, orang ramai yang berkemampuan boleh membeli Kotak SARA RAHMAH, yang ditawarkan pada harga RM100, mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, bihun, serta makanan dalam tin. 


Uniknya, kotak ini turut menyertakan produk daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan, selari dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang digerakkan oleh KPDN.


Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN dalam ucapan aluannya berkata, program ini selaras dengan inisiatif 'SARA Untuk Semua' oleh kerajaan, membolehkan mereka yang menerima bantuan RM100 tetapi tidak memerlukan, menyumbangkan kembali kepada masyarakat.



“Kami percaya kejayaan perniagaan bukan sahaja diukur daripada keuntungan, tetapi juga daripada sejauh mana kami dapat memberi kembali kepada masyarakat. Kotak SARA RAHMAH ini bukan sahaja meringankan beban golongan rentan, malah menggerakkan ekonomi kecil tempatan melalui produk IKS,” katanya sambil memaklumkan bahawa MYDIN turut berbesar hati menyumbang sebanyak 50 kotak makanan melalui JKM Subang Jaya sebagai sebahagian daripada usaha murni ini. 



Beliau percaya dengan menyokong produk keluaran tempatan, ia bukan sahaja membantu pengguna menikmati harga yang lebih berpatutan, malah turut memberi nilai tambah kepada usahawan khususnya Industri Kecil dan Sederhana. 


“Semoga pelaksanaan Kotak SARA RAHMAH ini menjadi bukti solidariti kita bersama rakyat dan mampu membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” jelas Hj Ameer.


Sementara itu, Dr Fuziah Salleh dalam ucapannya menyeru semua pasar raya dan gedung membeli-belah di Malaysia untuk mencontohi inisiatif MYDIN. 


Beliau menegaskan bahawa penyertaan kolektif sektor swasta akan memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan memperluaskan impak Inisiatif Payung RAHMAH. 


Menurutnya, inisiatif ini adalah cerminan falsafah Malaysia MADANI, di mana kerajaan menyediakan dasar, syarikat swasta menyumbang kepakaran dan sumber, dan masyarakat bersama-sama menjayakannya.


“Tahniah juga diucapkan kepada MYDIN atas ulang tahun ke-68 penubuhannya dan semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan menjayakan aspirasi Malaysia MADANI,” akhiri  Dr. Fuziah.



Program Kotak SARA RAHMAH ini akan bermula pada 31 Ogos 2025 di semua cawangan pasar raya besar MYDIN di seluruh negara. 


Misi untuk mengumpul 200,000 kotak ini akan berlangsung sehingga hujung tahun, dengan siri lori jelajah ke pelbagai kementerian, agensi kerajaan, dan institusi swasta akan digerakkan mulai 2 September 2025 untuk menggalakkan lebih ramai pihak membeli dan menyumbang kotak ini. 


MYDIN yakin usaha ini mampu memberi impak besar kepada masyarakat sekaligus memperkukuh nilai kebersamaan rakyat Malaysia. 


Inisiatif ini juga dianggap sebagai kotak harapan dan kasih sayang, mencerminkan prinsip keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang melangkaui keuntungan semata-mata.


Sebarang maklumat lanjut mengenai promosi pembukaan ini, orang ramai boleh mengunjungi laman media sosial atau laman sesawang rasmi MYDIN Malaysia di www.mydin.my. 



#MYDIN #KotakSaraRahmah #KPDN #BeiiDerma #PayungRahmah #LoriJelajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan