79 PELAJAR IPTA & IPTS TERIMA BANTUAN AWAL YWP!
SERAMAI 79 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menerima bantuan kewangan awal daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melalui Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS pada majlis penyampaian cek yang berlangsung di Dewan Masjid Jamek, Kampung Baru hari ini, 20 Ogos 2025.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 15 keluarga penerima Skim Khairat Kematian YWP, menjadikan keseluruhan agihan bantuan pada tahun ini berjumlah RM70,300.
Daripada jumlah tersebut, RM55,300 diagihkan kepada pelajar manakala RM15,000 diberikan kepada penerima khairat kematian.
Program disempurnakan disempurnakan oleh Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif YWP bersama Puan Nur Jalilah Md. Joha, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Titiwangsa selaku wakil Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Sejak diwujudkan pada 2014, Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS menyediakan sokongan kewangan one-off sebanyak RM700 untuk setiap pelajar.
Sehingga kini, lebih RM3.4 juta telah disalurkan kepada 5,291 pelajar dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di mana skim ini diwujudkan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menampung kos awal pengajian.
Selain itu, Skim Khairat Kematian pula bertujuan meringankan beban kewangan keluarga yang kehilangan ahli tersayang dengan pemberian sumbangan tunai segera bagi menampung perbelanjaan asas.
Menurut Dr. Abdul Basir, kedua-dua skim ini menjadi bukti komitmen yayasan untuk memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan kebajikan, selain memastikan setiap dana yang disalurkan diagihkan secara telus dan saksama kepada golongan yang benar-benar layak.
“Saya yakin bahawa kedua-dua skim ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan penerima, malah turut memberi semangat baharu untuk mereka berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” ujar Dr. Basir.
YWP turut menzahirkan penghargaan kepada DBKL, rakan korporat, NGO serta individu penyumbang yang sentiasa mendukung pelaksanaan program kebajikan ini.
Sokongan bersama, menurut yayasan itu, membuktikan bahawa kesejahteraan masyarakat hanya dapat dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak.
Majlis berakhir dengan penyerahan cek bantuan kepada penerima serta sesi ramah mesra.
“Walaupun bantuan yang diberikan mungkin tidak besar, namun saya percaya ia mampu memberi impak dan sinar harapan serta peluang untuk para penerima membina masa depan yang lebih baik,” akhiri Dr. Basir.
#YayasanWilayahPersekutuan #DewanBandarayaKL #SkimBantuanAwalIPTSIPTS







Tiada ulasan:
Catat Ulasan