TIGA DEKAD MENYEPI, THE ZIKR BUAT 'COMEBACK', LANCAR SINGLE 'KEMBALI'!
SUASANA industri muzik tempatan kembali dihangatkan dengan kemunculan semula kumpulan nasyid tersohor tanah air, The Zikr.
Selepas lebih tiga dekad tidak merakamkan sebarang karya, The Zikr kini kembali beraksi dengan single terbaharu berjudul “Kembali”.
Lagu ini membawa mesej mendalam tentang keinsafan, harapan, dan kepulangan kepada fitrah, sejajar dengan nilai spiritual yang telah sinonim dengan nama The Zikr sejak penubuhan mereka pada tahun 1989.
Kemunculan semula The Zikr kali ini menampilkan barisan ahli lama dan baharu terdiri daripada Nazrey, Amran, Syam, Shawal, Afizan, Achik, dan Amy.
Mereka juga diperkuatkan dengan dua anggota baharu, iaitu Amin dan Hafiz.
Gabungan pengalaman ahli lama dan tenaga segar ahli baharu ini memperlihatkan semangat kesinambungan The Zikr dalam mengekalkan warisan nasyid yang klasik, namun tetap relevan dengan perkembangan semasa.
Selain “Kembali”, The Zikr turut mengumumkan bahawa mereka telah menyiapkan empat buah single baharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Single-single tersebut termasuk “Mengemis Kasih” (kolaborasi bersama Yabang Khalifah), “Isteri Solehah”, versi baharu lagu ikonik mereka “Secerah Pawana”, dan “Iktikad” (turut menampilkan Yabang).
Lagu-lagu ini dijangka akan menghidupkan semula minat pendengar terhadap nasyid kontemporari yang mendalam dan menyentuh hati.
Video muzik rasmi untuk lagu “Kembali” kini boleh ditonton di saluran YouTube Smart Audio Music Malaysia, yang juga menjadi platform rasmi penerbitan lagu-lagu baharu mereka.
Dengan kemunculan semula ini, The Zikr turut menerima pelbagai undangan persembahan dan konsert di seluruh negara.
Sambutan luar biasa daripada peminat lama dan baharu membuktikan bahawa aura The Zikr masih kukuh dan terus relevan dalam dunia seni Islamik sekali gus mempunyai tempat di hati peminat.
#TheZikr #Kembali #SmartAudioMusicMalaysia #YabangKhalifah #LaguNasyid




Tiada ulasan:
Catat Ulasan