Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

“KOTA INI TAK SAMA TANPAMU', KOLABORASI BERSEJARAH TIGA NEGARA!


DALAM
semangat meraikan muzik tanpa sempadan, tiga artis muda paling menyerlah di Asia Tenggara, Nadhif Basalamah dari Indonesia, Aisha Retno dari Malaysia, dan Aziz Harun dari Brunei, telah bersatu tenaga menghasilkan sebuah single terbaru berjudul “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”. 


Lagu penuh emosi ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama, menandakan sebuah kolaborasi yang bersejarah.


Lagu "Kota Ini Tak Sama Tanpamu" dicipta bersama oleh ketiga-tiga artis ini pada tahun 2024. 


Melalui lirik yang mendalam, karya ini membawa makna bahawa sebuah kota bukan sekadar latar tempat, tetapi cerminan perasaan dan perjalanan hidup seseorang. 


Ungkapan "kota ini tak sama tanpamu" merujuk kepada bagaimana sebuah kota boleh terasa pudar atau penuh warna, bergantung pada kehadiran individu istimewa yang menemani kita. Ia menegaskan bahawa 'rumah' bukanlah soal lokasi, tetapi tentang siapa yang berada di sisi kita.


Proses penciptaan lagu ini bermula secara spontan ketika kunjungan singkat Nadhif ke Kuala Lumpur semasa Hari Raya Aidiladha tahun lalu. 


Dalam sesi santai di studio Faithful Music, beliau bertemu dengan Aisha dan Aziz tanpa dirancang, lalu mereka mula menulis lagu tersebut. 


Beberapa bulan kemudian, Aziz dan Aisha terbang ke Bali untuk bertemu Petra Sihombing, seorang produser terkemuka dari Indonesia. 


Di sana, mereka merakam versi awal lagu ini sebelum rakaman akhir disempurnakan secara berasingan di negara masing-masing, dan kemudian disatukan oleh Petra.


Petra Sihombing, yang terkenal dengan sentuhannya yang moden, segar dan penuh emosi, pernah bekerjasama dengan artis-artis ternama seperti Bernadya, Isyana Sarasvati, dan Raisa. 


Sentuhan beliau menjadikan "Kota Ini Tak Sama Tanpamu" sebuah karya pop yang istimewa dari awal hingga akhir.



Dalam kenyataan media, Aziz Harun berkongsi, secara peribadi, lagu ini mengingatkannya akan kenangan indah bersama kawan-kawan rapat di Kuala Lumpur, di mana dia tidak mahu hari itu berakhir. 


 “Secara peribadi, lagu ini buat saya teringat semua kenangan indah bersama kawan-kawan rapat di KL, saat kita tak mahu hari tersebut berakhir. Sebagai seseorang yang baru tinggal di sini, saya sedar KL mempunyai pesona yang sangat istimewa. Jadi bila Nadhif datang dengan idea menulis tentang KL untuk pasangannya (kini tunang), saya rasa saya faham betul apa yang dia maksudkan. Proses rakaman di Ubud, Bali dengan Petra juga sangat menyenangkan. Satu pengalaman yang saya tak lupa adalah ketika saya, Nadhif dan Aisha keluar rehat sekejap dan bila kami masuk semula ke studio Petra sudah siap hampir semua gubahan muzik termasuk solo gitar!”


Nadhif Basalamah pula menjelaskan lagu ini bermula dengan sangat santai, daripada niat untuk menghabiskan masa di KL sambil menulis lagu bersama rakan baru. 


Beliau tidak menyangka idea kecil itu akan berkembang menjadi sebuah lagu yang kini menghubungkan tiga negara. 


 “Lagu ini bermula dengan sangat santai dan natural. Waktu itu saya cuma mahu menghabiskan masa di KL sambil menulis lagu bersama kawan baru. Tak sangka idea kecil di studio itu berkembang menjadi sebuah lagu yang kini menghubungkan tiga negara. Saya sangat bersyukur kerana Aisha dan Aziz dapat membawa emosi dan warna mereka sendiri ke dalam lagu ini.”



Sementara itu, Aisha Retno menambah bahawa bekerja dengan Nadhif dan Aziz terasa seperti pertemuan kawan lama. 


“Bekerja dengan Nadhif dan Aziz memang rasa macam pertemuan kawan lama walaupun ini kali pertama kami bertiga berkolaborasi. Lirik lagu ini ada rasa manis dan sedikit ‘cheeky’ bila seseorang cuba memujuk untuk sambung cuti di kota itu. Saya rasa semua orang pernah lalui perasaan itu, bila kita jatuh cinta dan tidak mahu masa itu berakhir.”


Dengan lirik yang menyentuh hati, harmoni vokal yang lembut, dan produksi pop kontemporari, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” berjaya menangkap rasa rindu yang menjadikan sebuah kota terasa berbeza tanpa insan istimewa di sisi. 


Lagu ini kini boleh didengarkan di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan semua platform penstriman digital utama.



 #KotaIniTakSamaTanpaMu #AishaRetno #AzizHarun #NadhifBasalamah #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan